Friday 1 June 2018

Dedahkan lebih aktif ilmu tentang harta pusaka, titah KDYMM Pemangku Raja Pahang


“… saya mahu isu berkaitan pengetahuan urusan harta pusaka yang masih cetek diperbetulkan melalui pendedahan ilmu oleh pihak jabatan agama,” titah Baginda, yang buat hari kedua berturut-turut menyebut mengenai harta pusaka dalam Titah DiRaja.

MENITIPKAN TITAH DIRAJA... Diapit kanan dan kiri oleh Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Mohd Fakharuddin; KDYMM Baginda sedang melafazkan Titah DiRaja yang buat dua hari berturut-turut, hal berkaitan harta pusaka Baginda terus tekankan. 

Yang turut kelihatan di belakang, duduk di meja santapan ialah isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri Burhah Mohammed.  


PERKARANGAN MASJID JAMEK KOTA PERDANA, PEKAN – Begitulah beratnya penekanan KDYMM Pemangku Raja Pahang terhadap soal harta pusaka sehingga buat hari kedua berturut-turut, perkara itu dibangkitkan lagi dalam Titah DiRaja Baginda.

Ini sepertimana Baginda bertitah pada Majlis Berbuka Puasa petang Jumaat, 1 Jun di sini. Hal yang sama juga telah turut Baginda titahkan pada majlis serupa petang Khamis, 31 Mei di Kampung Batu Papan, Bera.

Pada majlis petang Khamis itu, Baginda turut memetik laporan akhbar yang menyebut tentang besarnya jumlah harta pusaka yang tidak dituntut pewaris dalam kalangan umat Islam seluruh negara, nilainya hingga mencecah kira-kira RM66,000 juta!

Sehubungan itu, Baginda menitahkan agar ilmu mengenai harta pusaka – terutamanya tentang kepentingan dan cara pelaksanaannya; didedahkan secara lebih aktif oleh pihak-pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurut maklumat yang dikumpul dan dilaporkan oleh JAIP titah Baginda, ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak tahu tentang cara untuk menuntut harta pusaka yang ditinggalkan oleh keluarga mereka.

YANG MEMERLUKAN, TERUS DIDEKATI DAN DIBANTU DENGAN SUMBANGAN YANG SEWAJARNYA... 


ILMU TENTANG HARTA PUSAKA YANG MASIH CETEK

“Sedangkan, harta yang ditinggalkan itu dapat membantu mereka meneruskan hidup. Berikutan itu, saya mahu isu berkaitan pengetahuan urusan harta pusaka yang masih cetek diperbetulkan melalui pendedahan ilmu oleh pihak jabatan agama,” tegas Baginda.

“JAIP juga perlu bagi nasihat sewajarnya kepada masyarakat termasuk mereka yang datang untuk bertanya mengenai urusan tuntutan harta pusaka,” titah Baginda lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad;

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff yang juga wakil rakyat setempat (BN – Bebar); dan Pegawai Daerah Pekan, Encik Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus.

LAGI SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN...  


CERIANYA... Tentu ada sesuatu yang dititah-bualkan oleh KDYMM Tuanku sehingga Dato' Sri Wan Rosdy dan lainnya termasuk Dato' Mohd Fakharuddin riang-gembira. Yang turut kelihatan ialah Encik Md Yusli Ibrahim (kiri sekali). – Khabar