Saturday 9 June 2018

Hasrat dan Cabaran, serta Hala-tuju Pahang di bawah kepimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sebagai Menteri Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,” katanya.

DATO' SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL... 


NOTA EDITOR;

Asalnya, Menteri Besar baharu kita, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail agak ‘reluctant’ untuk memberikan temubual eksklusif sepertimana hasil/tulisannya disiarkan dalam halaman 9 akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad, 10 Jun.

‘Reluctant’nya beliau penulis boleh fahami. Sementelah beliau, sepertimana yang penulis kenalinya sejak berbelas-belas tahun lepas; bukanlah seorang yang suka kepada ‘limelight’. Sebaliknya, beliau seorang yang lebih suka ‘let one's work to do the talking’ kerana mempercayai betapa ‘actions speak louder than words’.

Namun, atas kesedaran betapa beliau kini ialah pemimpin eksekutif negeri yang ‘numero uno’;tentunya apa yang menjadi hasrat dan hala-tujunya dalam memimpin pentadbiran negeri, perlu turut diketahui oleh segenap penduduk negeri.

Dan, antara ‘platform’ terbaik untuk menguar-uarkannya tentulah menerusi pelbagai saluran media termasuklah Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia – ya, akhbar milik UMNO Malaysia tetapi, masih yang paling tinggi pengedarannya di seluruh negara.

Maka, dipersetujui dan berlangsunglah temubual eksklusif ini pada malam Jumaat lepas, 8 Jun bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 800, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Temubual berlangsung selepas Majlis Berbuka Puasa bersama-sama dengan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Berikut disiarkan sepenuhnya hasil temubual tersebut yang dikendalikan oleh Ketua Biro, Utusan Malaysia cawangan Pahang, Sdr Mohd Shariza Abdullah, dibantu oleh anak buahnya, wartawan Sdr Mohamad Shofi Mat Isa dan jurufoto, Sdr Ahmad Zakki Jilan. MSA merujuk kepada Mohd Shariza Abdullah manakala DSWR ialah Dato’ Sri Wan Rosdy.


MSA; Rakyat mungkin belum mengenali Dato’ Sri. Siapa sebenarnya Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini memegang jawatan Menteri Besar ke-15 ini?

DSWR; Saya sebenarnya anak kampung, menetap di kawasan pedalaman dan belajar di daerah Lipis. Saya melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang Diploma Pengajian Perdagangan.

Selepas itu, saya bekerja sekejap sebelum menyambung pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Maknanya, saya ini anak kampung yang duduk di Tanjung Gahai. Infrastruktur langsung tiada pada waktu itu, membaca buku pakai pelita dan kena menaiki bot untuk ke sekolah dan ke bandar.

MSA; Pernah menjadi pegawai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan Bernas, bagaimana Dato’ Sri boleh terlibat dalam politik dan mengapa memilih UMNO sebagai landasan perjuangan?

DALAM AKSI DAN 'ELEMENT'NYA... 


INGIN BALAS JASA KERAJAAN  

DSWR; Semasa bertugas dengan LPN sekejap kemudian dikorporatkan dan diswastakan, saya sedar bahawa saya boleh belajar, boleh buat diploma dan ijazah sebenarnya adalah disebabkan oleh Kerajaan yang ada pada ketika itu yang sediakan kemudahan pelajaran.

Sampai satu peringkat, saya terfikir untuk membalas semula jasa Kerajaan dan dengan sendiri berasa terpanggil untuk berbuat demikian.

Kebetulan pula bidang saya adalah Sains Kemasyarakatan pengkhususan Sains Politik. Saya ada minat tetapi tidaklah begitu ‘ambitious’ dalam politik. Saya sekadar berminat, bila ada peluang saya suka balik kampung. Apabila ada program politik, saya akan turut serta tetapi tidak menojolkan diri dan minat ada di situ.

Tetapi tanpa disangka, saya telah diminta oleh ramai ahli-ahli politik setempat untuk melibatkan diri dalam politik. Ketika itu saya Pengurus Bernas dan Bernas tiada halangan sebab ia sektor swasta.

Saya tidak boleh menolak sebab ramai yang minta saya turut serta dalam politik, mereka hanya mengatakan dapat persetujuan daripada saya. Saya masa itu tiada masalah. Sudah berkerja, gajipun sudah o.k dan anak-anakpun sudah besar.

Saya tidak menolak harapan rakan-rakan yang berada di kampung dalam bahagian Lipis ketika itu.


SAMA DALAM MATLAMAT, TAPI AKAN BERBEZA DARIPADA SEGI PENDEKATAN, 'METHODOLOGY'... 


TANPA DISANGKA-SANGKA, TIDAK PULA MERANCANG

Apabila saya menceburkan diri dalam politik di peringkat Bahagian, saya dapati ada penerimaan daripada masyarakat setempat dan ini dapat dibuktikan apabila saya telah diminta untuk bertanding jawatan.

Saya mendapat antara kedudukan paling tinggi dalam jawatan dan setiap kali ada pemilihan, saya mendapat tempat tertinggi. Ekoran itu, saya turut serta dan bila saya menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, saya keluarkan pandangan, pendapat, tidak mendesak, mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan ketika itu.

Apabila sampai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, nama saya tanpa disangka-sangka disebut untuk menjadi calon. Oleh sebab minat itu ada dan saya pula tidak merancang untuk menjadi wakil rakyat, tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa dan sebagainya; saya diminta untuk bertanding. Jadi, atas dasar tersebut saya menawarkan diri bertanding dalam PRU-11.

MSA; Difahamkan, Dato’ Sri hanya mengetahui tentang pemilihan sebagai Menteri Besar dalam perjalanan (ke Istana Abu Bakar, Pekan), sebelum pelantikan pada sebelah petang 15 Mei lepas. Bagaimana Dato’ Sri menerimanya?

DSWR; Penerimaan ini sepertimana saya menerima jawatan saya sebagai wakil rakyat, dicalonkan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan ditawarkan sebagai Menteri Besar. Ketiga-tiga ini saya rasa sama sahaja.

DALAM TEMUBUAL MALAM JUMAAT... 


TERIMA TANGGUNGJAWAB PENUH AMANAH/ ‘SENSE OF URGENCY’

Maknanya, tidak disangka-sangka. Saya serah kepada Allah SWT sebab kerja ini, kita hendak berkhidmat. Kalau kita ditawarkan, kita kena bekerja dan apabila mendapat berita, saya terima tanggungjawab ini dengan penuh amanah.

Saya akan pikul tanggungjawab ini lebih-lebih lagi dalam keadaan landskap politik yang berubah ketika ini.

MSA; Bagaimana Dato’ Sri melihat syarat pelantikan Menteri Besar selama dua (2) tahun atau satu tempoh yang diperkenankan oleh Istana Pahang?

DSWR; Saya ingat tempoh dua (2) tahun ini bagus. Ini mungkin KDYMM Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ingin lihat supaya kita ada ‘sense of urgency'.

Maknanya, dalam masa dua (2) tahun ini, ‘you must do something’, mungkinlah. Jadi bagi saya, ini tidak ada masalah sebab kita semua ingin menawarkan diri untuk berkhidmat.

BERSAMA ISTERI TERCINTA... Foto ini dirakam semasa Dato' Sri Wan Rosdy dengan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed di sisi; sedang menyampaikan perutusan Hari Raya Aidil Fitri yang dirakam oleh kru stesen televisyen RTM dan TV3. Ini disusuli kemudian dengan temubual eksklusif dengan Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tersebut.   


SAMA TAPI PENDEKATAN, ‘METHODOLOGY’ BERBEZA

MSA; Apakah pendekatan atau acuan pentadbiran yang Dato’ Sri mahu terapkan selepas menggantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menjadi Menteri Besar sejak empat (4) penggal lepas?

DSWR; Lebih kurang sama, untuk rakyat, tetapi mungkin pendekatan, ‘methodology’ berbeza dan sudah tentulah ada ruang-ruang untuk saya pertingkat dan perkemaskan lagi. Tetapi kita punya ‘core business’ itu untuk rakyat, sama sahaja tidak lari tetapi cara itu mungkin berbeza sikit.

Yang penting, matlamat sama, faedah dapat kepada rakyat, kita bantu rakyat dan beri kebajikan kepada rakyat.

MSA; Mengetuai Kerajaan Negeri Pahang pada saat berlakunya perubahan besar dalam landskap politik negara. Apakah cabarannya?

DSWR; Saya ingat tiada cabaran yang besar sangat sebab rakyat sudah membuat pilihan dan kedua-dua pihakpun ingin berkhidmat kepada rakyat.

BERSAMA RAKAN SEPERJUANGAN, DATO' SRI SHAFIK FAUZAN SHARIF... 


KERAJAAN PAHANG/PERSEKUTUAN SAMA-SAMA NAK BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT

Kita di Pahangpun ingin berkhidmat kepada rakyat dan di peringkat Persekutuanpun ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, demi rakyat saya ingat tiada masalah.

Kalau Kerajaan Negeri Pahang minta sesuatu untuk rakyat, saya ingat Kerajaan Persekutuan tidak akan menghalang, malah akan memberikan kerjasama yang baik.

MSA; Pentadbiran Dato’ Sri mungkin berdepan kekangan termasuk daripada segi kewangan kerana Pahang kini negeri berstatus pembangkang. Bagaimana hendak menyerap cabaran ini?

DSWR; Saya tidak menafikan apabila di peringkat Persekutuan tidak sehaluan dengan negeri, maknanya kita ini pembangkang. Tetapi di negeri Pahang, kita adalah Kerajaan.

Saya tidak fikir akan menimbulkan masalah yang begitu besar. Cuma untuk projek-projek besar, Kerajaan Negeri mungkin tidak ada kemampuan kewangan. Namun daripada segi untuk memberi kebajikan dan perkhidmatan yang kosnya tidak begitu banyak, tidak ada masalah.

MUKA DEPAN AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA TERBITAN 10 JUN... 


GLC NEGERI DIHARAP SUMBANG DANA KEPADA KERAJAAN NEGERI

Saya sendiri insyaAllah, akan memperkemaskan lagi kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Kita juga akan melihat anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dapat menyumbang kewangan kepada Kerajaan Negeri.

Saya harap mereka dapat meningkatkan kecekapan, mengurus kewangan dengan baik, mengelakkan pembaziran dan mencipta keuntungan yang lebih daripada sekarang.

MSA; Apakah perancangan Dato’ Sri untuk memajukan Pahang?

DSWR; Saya nampak, kita akan mempertingkatkan sistem penyampaian sebab kita dapat rungutan daripada bawah.

Contohnya, untuk mendapatkan pertukaran hakmilik (tanah) memakan masa yang agak lama dan saya telah menurunkan kuasa saya – yang sepatutnya perkara tersebut sampai ke Menteri Besar; kita turunkan kuasa tersebut ke peringkat pentadbiran sehingga ke peringkat Pegawai Daerah.

SIARAN PADA HALAMAN 9... 


MENURUNKAN KUASA KE PERINGKAT DAERAH SEKALIPUN

Tetapi perkara yang penting, contohnya pertukaran hakmilik daripada Bumiputera kepada bukan Bumiputera, itu mesti sampai kepada tangan Menteri Besar untuk keputusannya.

Tetapi, pertukaran hakmilik untuk kasih-sayang sebagai contohnya, daripada ayah kepada anak dan ibu kepada anak; kita boleh buat di peringkat daerah, dalam masa sehari atau dua hari perkara ini boleh diselesaikan.

Itu salah satu yang kita akan percepatkan dan saya juga melihat untuk meningkatkan hasil sebagai contohnya, jika daripada dahulu kita mengenakan cukai kawasan pertanian tetapi oleh sebab peredaran masa, tanah tersebut ada dimajukan dengan stor, yang sepatutnya dikenakan cukai perniagaan yang lebih tinggi daripada cukai pertanian. Itu pun kita akan lihat.

Jika benar ada perniagaan di situ, ada stor, cukainya kita akan naikkan serta merta. Dengan ini, secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan kepada negeri dan saya rasa pihak peniaga mereka tiada masalah sebab dahulu pertanian, bila dah buka perniagaan, mereka ada stor dan dapat keuntungan lebih daripada pertanian.

Matlamat saya, insyaAllah, kita akan cuba berdikari (sebab) negeri Pahang ada kedudukan kewangan yang stabil. Kita mampu untuk berdikari, untuk bayar gaji (para penjawat awamnya) dan untuk melaksanakan program-program tertentu dan sebagainya.

Tetapi untuk projek-projek mega memang tidak mampu untuk kita melaksanakannya.

FOKUS KEPADA PENTADBIRAN NEGERI

MSA; Menyentuh mengenai UMNO, lazimnya Menteri Besar menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri tetapi sehingga kini, Dato’ Sri DiRaja Adnan masih menjalankan tugas berkenaan. Apakah Dato’ Sri akan mengambil alih tugas ini?

DSWR; Di Pahang ini, semangat kerjasama kita ini macam keluarga. Saya sendiri sebenarnya, apabila Dato Sri DiRaja Adnan minta saya pegang jawatan tersebut, saya sendiri minta beliau pegang jawatan itu atas alasan, saya ingin memberikan tumpuan, fokus kepada pentadbiran negeri.

Dengan keadaan politik yang ada pada hari ini, kita kena komited dan bersungguh-sungguh. Kalau saya Menteri Besar dan saya juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, agenda dan fokus saya terbahagi kepada dua.

Keadaan politikpun tidak begitu tenteram dan sebagainya. Saya rasa saya akan beri perkhidmatan yang kurang berkesan. (Sebaliknya) kalau saya fokus kepada pentadbiran, Dato’ Sri DiRaja Adnan pegang jawatan Pengerusi Perhubungan, masing-masing memainkan peranan dan kita ada ‘synergy’.

Dato’ Sri DiRaja Adnan fokus kepada politik, beliau boleh berikan tumpuan yang sepenuhnya. Saya (pula) fokus kepada pentadbiran, tetapi dalam masa yang sama kita akan sekali.

TAK BERTANDING KERUSI MKT

Maknanya, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar akan duduk sekali, berbincang sekali dan sebagainya. saya ingat tidak ada masalah. Dalam erti kata lain, ia akan menjadi lebih berkesan.

Tiada tempoh ditetapkan untuk jawatan itu kerana kita satu keluarga dan kita bekerja sebagai satu kumpulan.

MSA; Dato’ Sri tidak bertanding untuk apa-apa jawatan tertinggi pada pemilihan UMNO kali ini. Mengapa mengambil keputusan ini?

DSWR; Saya sendiri menawarkan diri untuk tidak bertanding Majlis Tertinggi kerana bagi saya, untuk menjaga negeri lebih penting. Parti bukan tidak penting, tetapi ramai orang lain yang boleh jaga parti ini dan kita lihat di Pahangpun, ramai yang hendak bertanding Majlis Tertinggi.

Elok kita bagi peluang kepada rakan-rakan. Jadi saya sendiri, saya tidak fikir banyakpun, saya sendiri rasa tidak perlu untuk saya bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO.

KEWANGAN NEGERI BERTAMBAH BAIK

MSA; Harapan Dato’ Sri?

DSWR; Sebagai Menteri Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,

Kedudukan kewangan negeri bertambah baik, hutang dengan Kerajaan Persekutuan mungkin kita boleh kurangkan dan yang lebih pentingnya, rakyat akan mendapat banyak manfaat daripada Kerajaan yang ada di negeri ini.

Kita akan usahakan ke arah itu mengikut keupayaan kita, kedudukan kewangan sedia ada dan insyaAllah, jika semua berjalan dengan baik, Pahang akan menjadi lebih maju daripada sekarang. – Khabar