Sunday 12 August 2018

Isteri Menteri Besar – Datin Sri Burhah rasmi Majlis Jalinan Kasih Persatuan Amal Wanita Pahang di Ibu kota (PERAWAN) bersama asnaf warga Pahang

Seramai 170 asnaf warga Pahang di Kuala Lumpur telah diraikan

DALAM UCAPANNYA PADA MAJLIS PETANG HUJUNG MINGGU... Datin Sri Burhah Mohammed. 


HOTEL GRAND CONTINENTAL, KUALA LUMPUR – Isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri Burhah Mohammed telah hadir merasmikan Majlis Jalinan Kasih Persatuan Amal Wanita Pahang di Ibu kota (PERAWAN) bersama asnaf warga Pahang petang Ahad, 12 Ogos di sini.

Kehadirannya yang juga Pengerusi, Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) disambut Pengerusi PERAWAN, Dato’ Norashikin Taib serta Ahli-ahli Jawatankuasanya.

Sempena majlis ini, seramai 170 asnaf yang berasal dari Pahang tetapi tinggal di Kuala Lumpur telah diraikan, selain masing-masing turut menerima sumbangan wang tunai oleh PERAWAN.

Dalam ucapannya, Datin Sri Burhah menyatakan terharu dan bangganya dengan PERAWAN, yang belumpun usia ‘setahun jagung’ telahpun mampu menjalankan kerja-kerja amal sepertimana petang hujung minggu ini.

“Baharu sahaja ditubuhkan kira-kira lima (5) bulan lepas pada 14 Februari (2018), beberapa kerja amal telahpun dilaksana dan dijayakannya, sungguhpun dengan keterbatasan punca kewangan yang dihadapinya. 

]
MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


TAHNIAH BUAT PENGERUSI KELAHIRAN ROMPIN  

“Pada hari ini sahaja, saya difahamkan, seramai 170 orang asnaf warga Pahang di Ibu kota, diraikan termasuk menerima sumbangan wang daripada persatuan ini.

“Oleh itulah, sukacita saya ucapkan syabas kepada puan-puan dan tuan-tuan sekalian, terutamanya kepada YBhg Pengerusi, Dato’ Norashikin – anak kelahiran Rompin,” katanya tentang persatuan dengan keahlian setakat ini, 80 orang.

Beliau juga memuji PERAWAN kerana bijak mendapatkan kerjasama Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mempunyai segala maklumat termasuk dalam menentu dan mengenal pasti golongan asnaf di Kuala Lumpur ini.

Dengan maklumat yang sahih inilah, Bahagian Baitulmal dan kini dengan penyertaan PERAWAN katanya, dapat bertindak dengan wajar dan berkesannya.

“Misalnya, dengan data yang dikumpulkan oleh Bahagian Baitulmal ini maka kita ketahui bahawa, terdapat kira-kira 800 orang golongan asnaf warga Pahang di Ibu kota ini.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Semuanya kelihatan ceria setelah selesai dengan lancar dan jayanya majlis anjuran PERAWAN ini.   


PERJALANAN SERIBU BATU…

“Sudah tentulah bukan kesemua mereka yang dapat dibantu oleh PERAWAN. Namun kata orang, ‘perjalanan sejauh seribu batu bermula dengan langkah yang pertama’. Dan PERAWAN hari ini saya dapati; bukan sahaja telah mengorak langkah pertama tetapi sudah dua (2), tiga (3) langkah ke depan.

“Moga-moga langkah-langkahnya yang akan datang – dengan kerjasama Bahagian Baitulmal serta para penyumbang yang budiman; akan terus mengecapi kejayaan,” katanya lagi.

Pada peringkat awal ini kata Datin Sri Burhah lagi,, mungkin tumpuan PERAWAN ialah kepada golongan asnaf dalam kalangan orang Pahang sahaja, tetapi, apabila kedudukan PERAWAN sudah kukuh kewangannya katanya, haruslah dilebarkan lagi penerima-penerimanya kepada yang bukan warga Pahang pula.

“Dengan ini, PERAWAN – dalam pada memberi perhatian kepada hal-hal melibatkan anak negeri Pahang di ibu kota ini, tetapi turut mengutamakan aspek kebangsaan yang  dengan inilah juga saya percaya, PERAWAN akan akhirnya meletakkan dirinya setanding dengan persatuan-persatuan amal lain, yang lebih ‘established’ kedudukannya,” katanya.

Demi meluaskan lagi fungsi dan peranan PERAWAN, beliau turut sarankan agar – sebagai permulaan, menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, dalam penganjuran aktiviti ‘soup kitchen’.

DIIRINGI MASUK... Datin Sri Burhah yang diiringi Dato' Norashikin, sedang memasuki dewan bagi merasmikan majlis ini.  


ANJURKAN ‘SOUP KITCHEN’ UNTUK SISWA/SISWI DAIF

Penganjuran ‘soup kitchen’ katanya, ialah untuk membantu mengadakan makanan dan minuman secara percuma, kepada golongan gelandangan di ibu kota yang PERAWAN boleh turut serta.

Ada berita melaporkan betapa dalam kalangan mahasiswa/mahasiswi di menara-menara gading di ibu kota ini, turut menghadapi kekangan kewangan hingga menyukarkan mereka untuk membeli dan mendapatkan makanan yang sempurna setiap hari.

“Di sinilah kepada saya, PERAWAN boleh turut membantu, yang dengan itu sekurang-kurangnya pada hari-hari tertentu dalam seminggu, aktiviti ‘soup kitchen’ dianjurkan di lokasi berdekatan dengan kampus-kampus mahasiswa/mahasisiwi ini.

“Yang dengan itu juga, para mahasiswa/mahasiswi berkenaan dapat menikmati dan memanfaati sumbangan makanan yang diberikan, insya-Allah,” katanya lagi. – Khabar