Sunday 16 September 2018

Cabaran pertahankan Pahang, agar terus kekal di bawah BN


“… sepertimana yang kita semua maklum bahawa Pahang dengan Perlis sahaja yang masih di bawah BN.

“Jadi, apabila saya dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan (UMNO Negeri sekaligus, Pengerusi BN Negeri), cabaran saya ialah untuk mempertahankan Pahang supaya terus kekal di bawah BN, insyaAllah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

DARI SISI YANG LAIN PULA... 


NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri keenam dan terakhir, yang berkaitan dengan cabaran dan usaha UMNO/BN untuk terus kekal mempertahankan Pahang agar kekal di bawahnya menjelang Pilihanraya Umum (PRU)-15 kelak.


BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Cabaran yang dihadapi oleh Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar dan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri kini ialah untuk mempertahankan Pahang agar terus kekal di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU)-15 akan datang.

“Ini bukanlah satu cabaran yang – yalah, nak kata besarpun tidak, nak kata kecilpun tidak sebab, sepertimana yang kita semua maklum baahawa Pahang dengan Perlis sahaja yang masih di bawah BN.

“Jadi, apabila saya dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan (UMNO Negeri, sekaligus Pengerusi BN Negeri), cabaran saya ialah untuk mempertahankan Pahang supaya terus kekal di bawah BN, insyaAllah,” katanya.

Sungguhpun begitu katanya, bukanlah halangan yang besar bagi BN untuk melakukannya dengan syarat semua 25 wakil rakyat BN yang ada pada hari ini, berkerja kuat mendampingi rakyat, serta cuba menyelesaikan masalah mereka.

“Saya tidak nafikan, tidak semua masalah dapat diselesaikan dan rakyat akan faham. Kalau sekiranya wakil rakyat turun kawasan, turun padang jumpa rakyat, bagi penerangan, hadir program-program di kawasan masing-masing; tidak ada masalah BN untuk mempertahankan negeri Pahang.

ADAKAN MESYUARAT EXCO KE DAERAH-DAERAH

“Dengan syarat, kena kerja kuat kerana di sebelah sanapun, kerja kuat juga,” katanya lagi.

Beliau sendiri katanya, telahpun menggerakkan usaha-usaha tersebut menerusi pendekatan mengadakan secara berkala, mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang diketuainya, ke daerah-daerah.

Setakat ini katanya, mesyuarat-mesyuarat itu telah dimula dan diadakan di Cameron Highlands di susuli Pekan, kemudian Rompin dan mesyuarat yang akan datang ialah ke Maran pula.

“Disamping mengadakan mesyuarat bersama rakan-rakan Ahli-ahli Exco (MMK Negeri), saya juga mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan pegawai kerajaan.

“Sebagai contoh di Pekan baru-baru ini, saya (turut) pergi ke Pekan Sari, Pasar Tani dan di Rompin baru-baru ini, selain berjumpa dengan masyarakat, saya juga mengambil kesempatan berjumpa dengan Bahagian UMNO yang berkaitan.

BUKAN SEMUA – SEKURANG-KURANGNYA, ADA JUGA YANG DAPAT DISELESAIKAN

“Dengan ini saya fikir, dapat memberi peluang kepada saya untuk mendengar secara jelas apa yang dibangkitkan di peringkat akar umbi. Walaupun tidak semua dapat diselesaikan 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya ada perkara yang dapat saya selesaikan,” katanya.

Selain berjumpa secara semuka menurutnya, beliau juga memiliki lama sosial ‘Facebook’ - Wan Rosdi bin Wan Ismail yang kini mempunyai pengikut (followers) sudah hampir 30,000 orang, dan rakyat boleh membuat aduan menerusinya.

“Pada peringkat awalnya,” katanya, “Saya dapati begitu banyak aduan tetapi apabila kita kaji, kita lihat, bahawa aduan tersebut tidak ‘genuine’. Maknanya ada netizen yang menulis sesuka hati, tidak bertanggungjawab dan hanya membuat provokasi dan sebagainya.

“(Maka) saya telah mendapat idea baharu untuk membuat Aduan Rakyat. Dan Aduan Rakyat ini lebih ‘genuine’ kerana setiap aduan yang dikemukakan itu perlu ada nama, nombor kad pengenalan, nombor ‘handphone’ kerana kita akan hubungi semula mereka,” katanya lagi.

Setiap aduan itu menurutnya, akan dijawab sebaik mungkin, dengan merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan yang diminta menjawab dengan fakta lalu menerima tindak balas yang baik.

ADUAN TURUT DISALUR KE KERAJAAN PERSEKUTUAN

Beliau juga berkata betapa, ada juga aduan yang tidak dapat diselesaikan kerana di luar keupayaan Kerajaan Negeri, antaranya mengenai jalan yang diminta diperbesarkan yang memerlukan peruntukan besar.

“Yang dalam hal ini, aduan ini disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan (pimpinan PH) untuk bertindak ke atasnya.

“Kalau boleh, diluluskan (peruntukan untuknya), kerana ini adalah rakyat. Dan apa yang saya buat ini ialah untuk rakyat sebab saya faham, saya berada di sini bersama rakan-rakan yang lain ialah dari rakyat, kepada rakyat, untuk rakyat,” katanya. – Khabar