Sunday 16 September 2018

Kerjasama baik Kerajaan Negeri pimpinan BN dan Kerajaan Persekutuan pimpinan PH telah diterjemahkan secara realiti.


“… Kerajaan Negeri telah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan yang akhirnya ada satu perbincangan secara khusus di pejabat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier (Jayakumar) dan telah mendapat kata putus bahawa;

“Penstrukturan (sistem bekalan air) akan diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun ini. Dengan kata lain bahawa jumlah hutang (tertunggak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak) RM2.2 billion itu, akan dihapuskan,” kata Menteri Besar.

SEDANG DALAM SESI RAKAMAN AUDIO-VIDEO... Dato' Sri Wan Rosdy sedang bertemu bual khas dengan media tempatan.


NOTA EDITOR ;

Pada pagi Jumaat, 14 September, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah sudi memberi temubual kepada organisasi-organisasi berita tempatan yang telah sebelum itu, memohon mendapatkan temubual khas dengannya.

Temubual ini ialah bagi mendapatkan pandangan Menteri Besar tentang dasar dan hala tuju kepemimpinannya sempena dengan 100 hari beliau sebagai Ketua Eksekutif Negeri (pada 22 Ogos lepas), sejak Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar pada 15 Mei lepas.

Oleh kerana apa yang telah ditemubualkan itu meliputi pelbagai perkara maka dipecah-pecahkan artikel berkaitan dengannya kepada beberapa siri.

Berikut ialah ialah siri pertama yang berkaitan dengan hubungan antara Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) (dan Pahang ialah cuma satu daripada dua (2) negeri yang masih kekal di bawah BN) dengan Kerajaan Persekutuan yang kini di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
  

BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerjasama baik antara Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah diterjemahkan secara realiti.

Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menjawab soalan wartawan tentang hubungan antara kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan itu.

Ketika beliau ditemubual sebaik-baik selepas mengangkat sumpah jawatan pada 15 Mei lagi katanya, persoalan tersebut telahpun dibangkitkan dan beliau menjawab betapa, “Kerajaan Negeri ‘looking forward’ untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan”.

“Dan dalam masa 100 hari, kita pun telah terjemahkan (kepada reality),” tegasnya.

“Maknanya, usaha-usaha ke arah itu (menjalinkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan) telahpun dilaksanakan sebagai contohnya apabila kita berbincang masalah air di Pahang di mana kita ada RM2.2 billion hutang tertunggak.

“Dan kita, Kerajaan Negeri telah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan yang akhirnya ada satu perbincangan secara khusus di pejabat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier (Jayakumar) dan telah mendapat kata putus bahawa;

HUTANG KERAJAAN NEGERI BERKAITAN AIR, AKAN DILUPUSKAN... Maka selepas ini, bukan lagi isu tentang tunggakan hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,200 juta.


HUTANG KERAJAAN NEGERI RM2,200 JUTA BERKAITAN AIR AKAN LUPUS

“Penstrukturan (sistem bekalan) air ini akan diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun ini. Dengan kata lain bahawa jumlah hutang (tertunggak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak) RM2.2 billion itu, akan dihapuskan,” katanya lagi.

Begitulah juga kerjasama baik Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan katanya, yang berkaitan dengan usaha mengatasi masalah penyaluran air ke Empangan Sungai Kobat dekat sini, yang baru-baru ini hampir kering ekoran kebocoran akibat struktur ban yang rosak dekat situ.

Kerajaan Negeri telah mendapat kerjasama pihak industri utama di Kawasan Perindustrian Gebeng untuk menyumbang RM5 juta untuk kerja-kerja pembaikian ban tersebut yang masih tidak mencukupi tetapi ditokok-tambah lagi RM5 juta oleh Kerajaan Persekutuan.

“Keputusan tersebut (RM5 juta) sebenarnya tidaklah mencukupi dan Kerajaan Persekutuan telah tampil membantu Kerajaan Negeri memberi penambahan sebanyak RM5 juta lagi yang dibuat melalui YB Fuziah (Salleh), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Ini adalah usahasama yang kita nampak begitu baik,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

KERJASAMA MENENTUKAN KEAHLIAN MPKK

Begitu juga dalam hal pelantikan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau dulunya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mana katanya, Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah bersetuju bahawa satu penyelasaian ‘win win’ akan dilaksanakan.

Berikut disiarkan selebihnya temubual tersebut secara ‘verbatim’, yang intipatinya masih berkaitan dengan hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan termasuk yang berkaitan dengan aktiviti pengeluaran dan pengangkutan sumber asli bauksit;  

Baru-baru ini Kerajaan Negeri bersama dengan Kementerian – saya dengan Menteri, kita telah mengadakan satu perbincangan. Antara yang telah diputuskan ialah pihak Kementerian meminta supaya (stockpile) bauksit yang ada di Pelabuhan Kelantan, perlu diselesaikan dulu tetapi dengan syarat-syarat tertentu.

Maknanya, ada SOP (Standard Operating Procedure) dan tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju supaya bauksit yang ada di Pelabuhan Kuantan itu dikeluarkan, dieksport ataupun dijual terlebih dahulu.

Tetapi sehingga ini, saya belum menerima lagi sebabnya kita masih sedang menyediakan SOP dan pihak Kementerian masih menunggu apa yang boleh kita boleh laksanakan.

SELESAIKAN DULU SOAL ‘STOCKPILE’ BAUKSIT DI PELABUHAN KUANTAN

Tapi persetujuan awal kita telah dapat, bukan kelulusan, (tetapi) persetujuan. Dan selepas kita selesaikan yang itu, barulah (tempoh) moratorium tersebut akan dibincang semula dan kita akan kaji.

Begitu juga dengan penstrukturan semula (sistem) bekalan air. Kita setuju tetapi perbincangan lanjut kita minta pihak pegawai atasan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan untuk bincang lebih lanjut sebagai contohnya daripada segi ‘agreement’, perjanjian.

Maknanya, perbincangan itu semuanya positif, cuma sekarang ini pelaksanaan untuk sama-sama diteliti oleh Kementerian dan Kerajaan Negeri. Tak adalah Kementerian kata tak boleh.

Macam sekarang soal air, tak boleh bincangkan tentang (permintaan Kerajaan Negeri agar lupuskan) hutang, Kerajaan Negeri kena bayar juga, tidak… Hasil perbincangan tersebut sangat positif.

Jadi, saya ucapkan terima kasihlah kepada Kerajaan Pusat khususnya pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli. – Khabar