Wednesday 5 September 2018

Sasar bina 10,000 ‘Rumah Makmur’ RM80,000 sebuah dalam tempoh lima (5) tahun.


“Ekoran kejayaan pembinaan rumah PR1MA Pahang, kita dapati ada lagi rakyat yang tidak mampu untuk membeli rumah PR1MA Pahang (jenis rumah berkembar) RM150,000.

“Jadi, sebab itulah datangnya idea kepada Kerajaan Negeri untuk membuat rumah RM80,000 ke bawah,” kata Menteri Besar.

SAMA-SAMA MENYAKSIKAN VIDEO PELANCARAN PORTAL ADUAN RAKYAT... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, ROMPIN – Sasaran untuk membina 10,000 buah ‘Rumah Makmur’ – rumah teres setingkat, berharga RM80,000 sebuah; dalam tempoh lima tahun ini (2018/19 – 2022/23).

(‘Rumah Makmur’ merupakan ‘produk’ terbaharu di bawah PR1MA Pahang, yang bermula dengan pembinaan rumah jenis berkembar setingkat, bernilai RM150,000 sebuah).

Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui wartawan pada penghujung Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Kepemimpinan Masyarakat Dewan Negeri-Dewan Negeri Tioman dan Muadzam Shah dan pelancaran portal Aduan Rakyat petang Rabu, 5 September, di sini.

“Ekoran kejayaan pembinaan rumah PR1MA Pahang, kita dapati ada lagi rakyat yang tidak mampu untuk membeli rumah PR1MA Pahang (jenis rumah berkembar) RM150,000.

“Jadi, sebab itulah datangnya idea kepada Kerajaan Negeri untuk membuat rumah RM80,000 ke bawah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

DALAM UCAPAN RINGKAS 15-MINITNYA... 


SETAKAT INIPUN, KELULUSAN BAGI PEMBINAAN 4,087 UNIT RUMAH MAKMUR DI LIMA DAERAH

Sementelah pula katanya, Kerajaan Negeri mendapati betapa rakyat masih ada yang sangat berkeperluan untuk memiliki rumah khususnya yang berharga RM80,000 ke bawah.

“Ini adalah ekoran saya dapati, sepertimana penurunan kuasa (‘consent’) tempoh hari demi untuk kebaikan rakyat; keperluan untuk rakyat memiliki rumah juga adalah begitu tinggi khususnya rumah yang RM80,000 ke bawah,” katanya lagi.

Setakat inipun katanya, sebanyak 4,087 unit Rumah Makmur telahpun Kerajaan Negeri luluskan untuk pembinaan di lima (5) buah daerah meliputi 2,290 unit di Kuantan, 724 unit di Bera, 623 unit di Maran, 314 unit di Rompin, dan, 136 unit di Lipis.

Mengenai syarat kelayakan untuk memiliki Rumah Makmur ini kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, antaranya ialah pemohon mestilah yang berpendapatan seisi rumah kira-kira RM5,000 ke bawah.

Mengenai portal Aduan Rakyat menerusi ‘aduan.wanrosdy.com’ yang turut dilancarkannya secara rasmi petang ini katanya, kaedah ini lebih ‘genuine’ memandangkan identiti sebenar pengadu diketahui.

SESI BERFOTO KUMPULAN... 


SETIAP ADUAN DIAMBIL TINDAKAN

“Berbanding dalam ‘Facebook’ saya sebelum ini, banyak aduan yang kita terima tapi lebih kepada tidak betullah. Tapi yang ini (portal Aduan Rakyat) kita ada nama, ada nombor telefon, ada nombor kad pengenalan (pengadu).

“InsyaAllah, apa jua yang diadukan di dalam Aduan Rakyat, kita akan panjangkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya. Dan saya tidak nafikan, ada juga perkara-perkara yang mungkin tidak dapat diselesaikan dengan serta-merta,” katanya lagi.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri termasuk Dato’ Mohd Johari Hussain yang juga wakil rakyat setempat (BN – Tioman);

Antara yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin; wakil rakyat-wakil rakyat negeri - Ir Razali Kassim (BN - Muadzam Shah), dan Datin Shamsiah Ashad (BN - Bukit Ibam); Setiausaha, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Sri Abdul Hamid Nazahar, dan, Pegawai Daerah Rompin, Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.

Majlis petang ini ialah sebahagian daripada acara yang telah diatur sempena Lawatan Kerja 2-hari Menteri Besar ke daerah Rompin.

MENYEMAK DOKUMEN SEBELUM BERMULANYA MESYUARAT MMK... Mesyuarat diadakan di bangunan Majlis Daerah Rompin yang bersebelahan dengan Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah ini.  


LAWATAN KERJA BERMULA DENGAN MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA-SAMA PENJAWAT AWAM DAERAH ROMPIN

Lawatan Kerja bermula dengan Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Penjawat Awam Daerah Rompin pada sebelah pagi; disusuli mesyuarat mingguan MMK yang berakhir pada lewat tengah hari, di bangunan bersebelahan.

Acara esok pula ialah Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Masyarakat Orang Asli Daerah Rompin di Kampung Tanam, Kedaik disusuli lawat-tinjau ke Muadzam Shah Cattle Research and Innovation Centre (MSCRIC) – kedua-duanya dalam Dewan Negeri Muadzam Shah;

Sebelum acara terakhir sempena Lawatan Kerja 2-hari ke Daerah Rompin ini pada Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Kepemimpinan Masyarakat Dewan Negeri Bukit Ibam di Bandar Tun Razak, Keratong. – Khabar