Thursday, 3 May 2018

Siapa yang bawa pembangunan dan membela rakyat selama 60 tahun kini jika bukan Kerajaan BN?


“Senang-susah balik kepada siapa? Selama 60 tahun siapa di sisi kita? Siapa yang membela kita? Siapa yang membawa pembangunan? Bukankah Kerajaan Barisan Nasional ini?” tanya Perdana Menteri

DALAM UCAPAN 22-MINIT LUAR TEKS PENUH BERSEMANGATNYA... Aksi penuh bersemangat Dato' Sri Mohd Najib ketika menyampaikan ucapannya.


UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) CAWANGAN PAHANG KAMPUS RAUB – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak meminta rakyat sedar dan menghargai pembangunan dan pembelaan rakyat yang telah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun kini.

Ini dinyatakannya dalam bentuk pertanyaan-pertanyaan ketika berucap luar teks 22-minit pada Majlis Perasmian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub pagi Khamis, 3 Mei di sini.

“Senang-susah (rakyat akan) balik kepada siapa? Selama 60 tahun siapa di sisi kita? Siapa yang membela kita? Siapa yang membawa pembangunan?

“Bukankah Kerajaan Barisan Nasional ini?” tanya beliau yang mendapat tepukan gemuruh para hadirin yang dalam kalangan siswa-siswi, pensyarah dan orangramai sekelian.

“Daripada yang kecil kepada yang besar, termasuk UiTM ini, ITM dulu, RIDA. Jasa siapa? Perjuangan siapa? Pemimpin mana yang membawa UiTM ke tahap yang sedia ada seperti hari ini?

SELESAI MENANDATANGANI 'PLAQUE' TANDA MERASMIKAN UiTM CAWANGAN PAHANG KAMPUS RAUB INI... Selain Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah penyandang dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Dong, Dato' Sri Shahiruddin Ab. Moin (belakang, tengah antara Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan); 

Calon BN bagi Parlimen Raub, Dato' Paduka Chew Mei Fun (tiga dari kiri); penyandang dan calon BN bagi DUN Batu Talam, Dato' Abdul Aziz Kiram (kiri sekali); tokoh perniagaan dan MCA tempatan, Tan Sri Lam Sang (dua dari kiri, berbaju batik); serta, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato' Dr Hassan Said (tiga dari kanan).  


BN SEJAK DAHULU HINGGA SEKARANG

“Bukankah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dari dulu sampai sekarang?” tanya Dato’ Sri Mohd Najib lagi yang juga Pengerusi BN, yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh daripada mereka.

Menurutnya, rakyat boleh membuat apa juga pertimbangan dalam memilih Kerajaan tetapi yang paling utama ialah pertimbangan sama ada Kerajaan yang dipilih itu boleh membawa kehidupan rakyat yang lebih baik pada masa depan.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat agar undian yang bakal dibuat pada Hari Mengundi sempena Pilihanraya Umum (PRU)-14 nanti bukan kerana terpengaruh dengan hasutan, fitnah atau janji-janji palsu pihak pembangkang.

“Kita mesti fikir siapa yang benar-benar telah mengubah landskap kehidupan kita dan landskap negara kita. Tidak lain dan tak bukan, Kerajaan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Menurutnya, BN mempunyai permuafakatan yang jika di Parlimen Raub ini, UMNO akan menyokong calon dari MCA iaitu Datuk Paduka Chew Mei Fun, maka di kawasan pilihanraya lain, MCAlah pula yang akan menyokong calon-calon UMNO.

HADIRIN HADIRAT DALAM KALANGAN SISWA-SISWI SERTA PARA PENSYARAH MEREKA... Padat hingga ke hujung dan ramai lagi di luarnya. 


‘WANT TO WIN BIG WAR’

“Kita bukan nak menang pertempuran kecil, (tetapi) kita nak menang peperangan besar… ‘We don’t want small victory, kita nak ‘to win the big war’. Peperangan besar itulah PRU-14.

“Sebab kita nak tubuh Kerajaan yang kuat. Kalau Kerajaan yang kuat, kita boleh pertahankan UiTM,” katanya lagi yang sekali lagi para hadirin bertepuk kuat.

Berbeza dengan BN katanya, pihak pembangkang pula tidak ada agenda malah mereka menurutnya, tidak ‘terlintas dalam hati’ untuk menjaga kepentingan, kemuliaan dan martabat UiTM.

“Nak harap kepada Ngah Kor Ming? Nak harap kepada Kit Siang? Nak harap kepada Guan Eng? Nak harap kepada yang lain itu? Tak boleh tuan-tuan.

“Jangan tertipu sekali lagi orang Raub. Pastikan calon-calon Barisan Nasional menang dalam pilihanraya ini, Parlimen Raub ini,” katanya yang sekali lagi mendapat tepukan dan sorakan.

“Saya datang hari ini untuk memberi mesej kepada tuan-tuan,” katanya lagi.  

BLOK-BLOK ASRAMA SISWI - TUN TEJA... Sebelumnya ialah Medan Selera. Keseluruhan kampus seluas 80 ekar terletak di Mukim Gali dengan kos RM220 juta dan berkapasiti 3,000 pelajar. 

Dibina menerusi kaedah pembiayaan Private Finance Initiative (PFI) oleh syarikat Utusan Intelek Sdn Bhd, majlis pecah tanahnya disempurnakan oleh Dato' Sri Mohd Najib juga pada 4 Mei 2013 (sehari sebelum Hari Mengundi bagi PRU-13) dan siap tiga tahun kemudian pada 2015.   


TEMPAT JIN BERTENDANG

Dalam ucapan luar teks 19-minitnya sebelum itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah turut menyentuh tentang lokasi UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub ini yang sebelumnya merupakan kawasan hutan ‘tempat jin bertendang’.

“Tetapi akhirnya menjadi sebuah kampus. Apakah erti sebuah kampus? Ia membawa erti bahawa Kerajaan memberi penekanan kepada pendidikan kerana Kerajaan percaya, pendidikan boleh merubah nasib seseorang itu.

“Kita boleh tengok anak orang kampung jadi pegawai. Anak orang Felda menjadi pengurus Felda. Anak sarjan polis jadi CPO. Anak Setiausaha Bahagian UMNO jadi Menteri Besar.

“Ini semua kerana adanya pelajaran yang diberi peluang kepada semua orang yang dengan itu mencapai tahap tertentu dalam bidang pelajaran itu maka seseorang itu dapat naik taraf,” katanya.  

Mengenai Kerajaan BN pula, “… mana ada satu kerajaan dalam dunia ini yang memberikan perhatian sebagaimana kerajaan Barisan Nasional berikan perhatian kepada rakyat,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

MELAWAT PAMERAN... Pada sebelah petangnya pula, Dato' Sri Mohd Najib yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, telah ke Sungai Koyan, Lipis (tetapi di bawah DUN Jelai yang di bawah Parlimen Cameron Highlands) bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Koyan.  


KERAJAAN LUAR TAK BANTU APA-APA UNTUK RAKYATNYA

Di negara luar katanya, Kerajaannya tidak berusaha untuk membantu rakyatnya yang menyebabkan rakyatnya itu terpaksa ‘hidup sendiri-sendiri’ dalam menjalani kehiduoan sehari-hari.

“Kalau petani (di luar negara) dia kata, ‘Kerajaan tak ada bantu apa-apa. Kita hidup sendiri-sendiri’. Tapi di Malaysia, dari baja sampailah ke menjual (pemasaan), Kerajaan bantu.

“Begitu juga saya tanya pemandu teksi (di luar negara yang menjawab mereka), tak ada bantuan apa-apa. Kita sekurang-kurangnya di Malaysia ini, di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak, ada bantuan khusus untuk teksi,” katanya yang sekali lagi menerima tepukan. 


LAGI GAMBARAN MAJLIS PETANG KHAMIS INI... – Khabar

  

Wednesday, 2 May 2018

Kunjungan tanda sokongan TYT Yang Dipertua Melaka ke DUN Pelangai

Selain kunjungan tokoh-tokoh politik dan perniagaan terkemuka, masing-masing Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Tony Fernandes; 
serta, 
'crowd puller' selebriti sukan negara, Dato’ Lee Chong Wei. 


KEMESRAAN BAK ABANG-ADIK... Ketibaan Tun Mohd Khalil, 81, disambut mesra oleh Dato' Sri DiRaja Adnan.   


KAMPUNG SIMPANG PELANGAI, PELANGAI, BENTONG – Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pelangai telah menerima kejutan ria (pleasant surprise) dalam tempoh 5-hari berkempen Pilihanraya Umum (PRU)-14 ini, dengan kunjungan tanda sokongan daripada TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob;

Selain daripada tokoh-tokoh politik dan perniagaan terkemuka, masing-masing Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Tony Fernandes; serta, penarik minat khalayak (crowd puller) selebriti sukan negara, Dato’ Lee Chong Wei.

Tun Mohd Khalil tiba petang Isnin, 30 April ketika Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob – yang juga penyandang serta calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN ini, berehat seketika di perkarangan surau Balai Polis Manchis, dekat sini.

Ini setelah Dato’ Sri DiRaja Adnan selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Warga JabatnPenerangan Malaysia Negeri, Komuniti Malaysia Negeri, dan Masyarakat Orang Asli Daerah Bentong di Dataran Pelangai pada sebelah pagi dan tengah harinya, di sini.

Rehat beliau di situ – termasuk menunaikan solat jamak/qasar Zohor/Asar; ialah sementara menunggu program seterusnya pada kira-kira 5 petang, ke Padang, Rancangan Tanah Felda Sungai Kemahal bagi menyertai perlawanan bolasepak ‘fancy dress’ mewakili pasukan anak-anak muda Rancangan Tanah Felda di situ menentang pasukan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

BERSAHAJA, BERSANTAI, TANPA PROSEDUR PROTOKOL YANG KETAT...  


TANPA PROTOKOL KETAT, DUDUK BERSILA DAN BERSEMPUH

Tun Mohd Khalil – juga bekas Menteri Besar selama 13 tahun (1986 – 1989), yang tiba di perkarangan surau itu (tanpa iringan polis trafik yang selayak padanya), disambut mesra oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan;

Sebelum menyilakan Tun Mohd Khalil ke dalam ruang santai surau, dengan kedua-duanya tanpa kekok, duduk bersila dan bersempuh; sebelum dihidangkan juadah yang tidak sepertinya termasuk minuman air kelapa muda.

Dalam perbualan mesra kedua-duanya, Tun Mohd Khalil turut memberitahu Dato’ Sri DiRaja Adnan yang beliau sebelum itu telahpun singgah di bandar Bentong bertemu penyandang dan calon Parlimen Bentong, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

Beliau juga sempat singgah di kawasan DUN Sabai dalam perjalanannya ke sini. Dan menurutnya, secara kebetulan, pemandu kereta rasminya dikenali sebagai Rajan, ialah adik ipar kepada calon BN di situ, Dato’ R.Goonasekaran.

Kunjungan ini berlangsung kira-kira sejam sebelum Tun Mohd Khalil berangkat lepas, dengan destinasi seterusnya ialah Kuantan.

SATU UNTUK ALBUM, BUAT KENANG-KENANGAN... Selain kedua-dua Tan Sri Mohd Khalil dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah adik kepada Dato' Sri DiRaja Adnan iaitu Dato' Zabidi (tujuh dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato' Indera Abdul Rahim Ali (empat dari kanan); 

Ahli Jawatankuasa, UMNO Bahagian Bentong, Dato' Sri Khairuddin Yaakob (enam dari kiri), Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Encik Kamarul Iskandar Nordin (lima dari kiri), Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali (empat dari kiri), dan Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Ahmad Jaafar (tiga dari kanan).  



BERGU GANDINGAN DATO’ SRI DIRAJA ADNAN/DATO’ LEE CHONG WEI

Pada hari ini pula, Rabu, 2 Mei, DUN Pelangai menerima kunjungan tiga (3) tokoh terkemuka negara iaitu Tan Sri Shahrir, Tan Sri Tony dan Dato’ Lee.

Tan Sri Shahrir yang juga Pengerusi Felda, hadir di Dataran Pelangai pada sebelah pagi dan tengah hari bersempena Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Kepimpinan Masyarakat Felda Wilayah-wilayah Mempaga, Jengka dan Kuantan, serta, Risda dan Felcra DUN Pelangai.

Manakala Tan Sri Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat penerbangan tambang murah Kumpulan AirAsia Bhd hadir bersama isteri sebelah petang pada majlis pemain nombor satu badminton negara, Dato’ Lee bersama-sama peminat di Dewan Orang Ramai di sini.

Yang turut hadir pada majlis ini ialah Dato’ Sri Liow, juga Dato’ Sri DiRaja Adnan yang tiba kemudiannya. Dato’ Lee turut mempamerkan kehebatan permainannya pada perlawanan persahabatan, termasuk bergandingan bergu dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Dan khalayak ramai yang hadir dalam kalangan penduduk tempatan, kelihatan gembira serta terhibur dengan apa yang dapat mereka saksikan di tempat mereka sendiri pada petang Rabu ini. 


PEMIMPIN NEGERI DAN JAGUH BADMINTON NEGARA... 


BERGU GANDINGAN ISTIMEWA PETANG RABU INI... Dato' Lee sedang membuat pukulan 'return' ketika berpasangan bergu dengan Dato' Sri DiRaja Adnan.


PERBUALAN TEPI GELANGGANG... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan berbual sesuatu dengan Tan Sri Tony yang turut diiringi oleh isterinya yang berasal dari Korea Selatan dikenali sebagai Chloe.  


'REAL CROWD PULLER'... Khalayak ramai termasuk Dato' Sri DiRaja Adnan (depan sekali, membelakangkan kamera) sedang menyaksikan pertarungan perseorangan melibatkan Dato' Lee. – Khabar


Tabik kepada mereka yang berjiwa besar!


… Menteri Besar beri penghormatan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian dan bekas wakil rakyat yang tetap beri sokongan kepada calon-calon terpilih sungguhpun mereka sendiri tidak tercalon pada PRU-14 ini.

HADIAH-HADIAH BUAT PEMENANG... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Tan Sri Shahrir; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato' Sri Abu Bakar Harun (tiga dari kanan, berbaju korporat biru BN). 


DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob memberi penghormatan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian dan bekas-bekas wakil rakyat yang tetap memberi sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang terpilih di kawasan masing-masing, sungguhpun mereka tidak dinamakan bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU)-14 ini.  

Sungguhpun beliau tidak menamakan mereka tetapi umum mengetahui bahawa yang dimaksudkan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Wan Adnan Wan Mamat dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustafa Kamal Abdul Hamid.

Kedua-dua kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota itu ditandingi BN oleh calon daripada parti komponen MCA – Dato’ Andrew Wong; manakala Parlimen Indera Mahkota oleh calon UMNO tetapi dalam kalangan Ahli Jawatankuasanya – Dato’ Dr Johan Mat Sah.

Bekas-bekas wakil rakyat yang dimaksudkan pula ialah Dato’ Sri Maznah Mazlan, Dato’ Dr Ahmad Shkuri Ismail, Dato’ Lau Lee, dan Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin yang sebelum ini mewakili Dewan Undangan Negeri masing-masing - Muadzam Shah, Pulau Tawar, Damak, dan Bukit Ibam.

“Lancar... Lancar, lancar. Sebagai contohnya, ada Bahagian Kuantan, Bahagian Indera Mahkota – itu (Ketua) Bahagian tidak bertanding tapi kedua-dua Ketua Bahagian memberikan sokongan yang padu kepada calon yang dipilih.

RASMILAH, DEWAN SEMAI BAKTI INI... 


PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA TAN SRI SHAHRIL

“Saya tabiklah kepada mereka berdua ini kerana mereka berjiwa besar. Mereka pentingkan parti daripada diri sendiri.

“Tapi yang lebih daripada itu ialah mereka yang tidak terpilih… Calon yang dulu menjadi wakil rakyat (tapi) tidak terpilih. Mereka juga berjiwa besar. Keempat-empat mereka ini telah memberi sokongan penuh kepada pengganti sebagai calon,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian pada persidangan media bersama-sama Pengerusi Felda, Tan Sri Shahril Samad sempena Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Kepimpinan Masyarakat Felda Wilayah-wilayah Mempaga, Jengka dan Kuantan; serta, Risda dan Felcra DUN Pelangai pagi Rabu, 2 Mei di sini.

Beliau juga berkata betapa selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri, beliau berpuas hati setakat ini dengan kegiatan kempen calon-calon BN yang sungguhpun begitu, ada katanya; “ Mungkin ada satu-dua tempat itu perlu meningkatkan lagi.

“Sebagai contoh,” katanya, “… ada lagi kelompok-kelompok masyarakat yang belum calon temui dan ada juga contoh-contohnya calon pergi bersendirian; kita akan betulkan ini, insyaAllah.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS DAN BERSAHAJANYA... 

AKAN BERSAMA PERDANA MENTERI KE RAUB DAN JELAI

“Masa ada lagi…,” katanya, merujuk kepada kira-kira tujuh (7) hari lagi yang ada menjelang hari pengundian bagi PRU-14 ini pada Rabu, 9 Mei.  

Menurutnya, esok, Khamis, 3 Mei, beliau akan bersama-sama Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak membuat tinjauan ke kawasan Parlimen Raub, kemudian ke Parlimen Cameron Highlands di Jelai.

Dan pada hari Jumaat, 4 Mei katanya, beliau sendiri akan ke kawasan tanahtinggi Cameron Highlands untuk meneruskan tinjauannya demi melancarkan jentera kempen pilihanraya BN di sana.  

“Kawasan ini semua dah dijelajah oleh calon-calon. Tapi, Presiden parti dan juga saya selaku Pengerusi BN Negeri, akan pergi ke tempat-tempat yang kita rasa perlu untuk pergi,” katanya. 


MENEMUI MEDIA... – Khabar



    

Monday, 30 April 2018

Aksi masih 'skillful' dan bergaya, MB kita

Sungguhpun sudah lama tidak bermain bolasepak, namun gerakan serta ‘skill’ dan ‘touch’nya masih ada dan pula, bergaya.  

MEMPAMERKAN 'SKILL' BOLASEPAK YANG TINGGI...


PADANG, RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI KEMAHAL, PELANGAI, BENTONG – Sungguhpun sudah lama tidak bermain bolasepak, namun gerakan serta ‘skill’ dan ‘touch’nya masih ada dan pula, bergaya.

Inilah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pamerkan ketika menyertai pasukan anak muda Rancangan Tanah Felda Sungai Kemahal ini, pada perlawanan bolasepak ‘fancy dress’ menentang pasukan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) petang Isnin, 30 April di sini.

Sungguhpun pada awal kemasukannya beliau kelihatan agak kekok namun setelah menyesuaikan diri hanya beberapa minit kemudian, larian membawa bola dan gelecekannya mula menampakkan mutu kemahirannya.

Yang kerana itu menyebabkan setiap kali beliau menerima bola lalu membuat larian, gelecekan dan lorongan bola ke rakan sepasukan, setiap kali itulah juga menerima tepukan hadirin yang menyaksikan, terutamanya dalam kalangan anak-anak beliawanis tempatan.  

Keputusan akhir perlawanan, pasukan tuanrumah yang Dato’ Sri DiRaja Adnan wakili – Rancangan Tanah Felda Sungai Kemahal, menang 1-0 ke atas pasukan pelawat dari JAIP itu. 


BERJAYA MENGELECEK DAN MELEPASI PEMAIN LAWAN... 


TUKAR HALUAN PULA... 
– Khabar        

Mesin ATM di Felda Chemomoi bagi penduduk Pelangai, akan beroperasi sebelum 9 Mei

“InsyaAllah, sebelum Hari Mengundi, akan ada satu ‘ATM Machine’ di kawasan Pelangai dan kita telah cadangkan dibuat (ditempatkan) di Felda Chemomoi sebab adanya bangunan ‘petrol kiosk’ di situ, ada jaga di situ,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

BERSALAMAN BERTENTANG MATA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan hadirin sambil Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato' Ibrahim Abdul Rahman mengekori (berbaju korporat biru).


DATARAN PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Sebuah mesin ‘Automated Teller Machine’ (ATM) akan diadakan di Rancangan Tanah Felda Chemomoi dekat sini untuk kemudahan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pelangai, yang akan beroperasi sebelum 9 Mei ini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob umumkan perkara ini dalam ucapan luar teks 17-minitnya pada Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Warga Jabatan Penerangan Malaysia Negeri, Komuniti 1Malaysia Negeri, dan Masyarakat Orang Asli Daerah Bentong pagi Isnin, 30 April di sini.

Dan ketika ditemui wartawan kemudian, semasa hendak meninggalkan majlis, beliau yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai) telah diminta mengulas lanjut tentang berita baik tersebut.  

“Ya, saya dah lama dah minta mesin ATM dari banyak bank tapi semua bank mengatakan tak ‘viable’, maknanya upah jaganya, nak buat mesinnya, nak buat bangunannya; tak berbaloi dengan duit yang orang datang menyimpan.

“Saya baru-baru ini dengan (pegawai) bank, Agrobank, saya telah dapat meyakinkan mereka dan saya hanya keluar RM88,000 – RM40,000 untuk ‘renovation’, dan RM48,000 untuk sewa setahun, RM4,000 sebulan.

MENYAMPAIKAN INSENTIF KEPADA YANG SEPATUTNYA...


LEBIH MUDAH DARIPADA PERLU KE DURIAN TEPUS, TRIANG

“Ini saya sudah jelaskan. InsyaAllah sebelum Hari Mengundi, akan ada satu ‘ATM Machine’ di kawasan Pelangai dan kita telah cadangkan dibuat (ditempatkan) di Felda Chemomoi sebab adanya bangunan ‘petrol kiosk’ di situ, ada jaga di situ,” katanya.

Menurutnya, memanglah asalnya lokasi untuk menempatkan mesin berkenaan dicadangkan di Simpang Pelangai ini kerana ia lebih mudah dan strategik tetapi tidak ada pula tempat sesuai untuk menempatkannya.

“(Oleh itu) kita buat (tempatkan mesin ATM tersebut) di Felda Chemomoi yang bagi orang Simpang Pelangai untuk ke Felda Chemomoi, ia lebih mudah daripada mereka pergi ke Durian Tepus atau ke Triang,” katanya.

Durian Tepus ialah sebuah pekan kecil dalam daerah Jempol, Negeri Sembilan, yang bersempadan dengan Simpang Pelangai ini. Triang pula ialah di Bera. Adalah difahamkan, untuk sampai ke kedua-duanya dari sini, mengambil masa antara 35 minit dan 40 minit.    

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas lanjut ucapannya tadi, khususnya tentang berita-berita palsu dan fitnah yang semakin galak disebarkan menerusi media sosial terutamanya dalam tempoh berkempen Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini.

PARA HADIRIN PADA MAJLIS PAGI ISNIN...


GUNA FIKIRAN YANG RASIONAL
                     
“Kita boleh guna fikiran (yang) rasionallah,” katanya dan menyambung betapa, “Setiap berita yang kita baca, tengok dulu lah, pastikan kesahihannya, terutama berita yang memburuk-burukkan orang.

“Kalau kita semua dengar berita terus buat keputusan… tak elok buat masyarakat kita akan datang. Masyarakat kita akan bercelaru,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau memang telah diajar sejak daripada kecil lagi oleh Arwah Ayahnya supaya tidak terus mempercayai apa juga berita terutamanya yang buruk, yang disampaikan kecuali menyiasatinya dahulu.
 
“Saya memang diajar daripada kecil jangan percaya kepada setiap khabar yang diberitakan. Mungkin sebab Arwah Ayah saya sekolah Arab, mempelajari sikit-sebanyak ayat al-Quran sebagainya.

“Dia selalu pesan kepasa saya, kalau sesuatu berita sampai kepada kita terutama sekali berita yang memburukkan orang, (lebih baiklah) kita siasat dulu, jangan kita terus percaya.

JANGAN NANTI MASYARAKAT JADI HARU-BIRU

“Kalau kita terus percaya sahaja, haru-biru masyarakat kita – Ada orang mengadu-domba antara suami-isteri, antara anak dengan bapa, lepas tu antara sahabat dengan sahabat; pecah semua.

“Itu sebab kita kena dengar dulu… Dan saya tahu, dalam pengalaman saya sebagai Menteri Besar, saya tak boleh nyatakan tapi saya kagum dengan dua-tiga pemimpin di peringkat atas daripada saya tentang sifat keterbukaan mereka.

“Iaitu, mereka apabila mendengar sahaja apa yang disampaikan, mereka tak percaya (bulat-bulat melainkan) ‘check’ dulu. Ada orang dengar dia terus melenting tapi ini tidak, ada pemimpin-pemimpin contoh, bila mendengar berita, dia semak, dia ‘check’ dulu.

“Kalau dapat cerita betul baru percaya. Dan dalam banyak hal, berita pertama yang disampaikan adalah bohong…,” katanya lagi. – Khabar



Sunday, 29 April 2018

Pembangunan Pelangai yang nyata, berpada dan realistik

… dan pembangunan di kawasan luar bandar ini, tidak terjadi dengan sendiri melainkan dengan perancangan dan pelaksanaan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada.

KAMI GENG TOK NAN... Luahan hati dan berterima kasih anak muda kepada wakil rakyat mereka, Dato' Sri DiRaja Adnan.


KAMPUNG SIMPANG PELANGAI, PELANGAI, BENTONG – Apakah lagi pembangunan atau kemudahan asas yang tidak ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pelangai, melainkan ada kesemuanya sepertimana DUN-DUN lain dalam kawasan luar bandar di negara ini.

Terletak kira-kira 43 KM dari pekan kecil Karak (masih dalam daerah Bentong) ke sebelah utara; kira-kira 35 KM dari pekan kecil Triang (dalam daerah Bera) ke sebelah timur; dan kira-kira 44 KM dari pekan kecil Seri Jempol (dalam daerah Jempol di Negeri Sembilan) ke sebelah selatan;

Pertama-tamanya, DUN Pelangai mempunyai sistem jalan yang baik – sungguhpun berliku-liku serta berselekoh tajam di sesetengah laluan; yang dapat menghubungkannya dengan ketiga-tiga Karak, Triang dan Seri Jempol.

Pun begitu, kerja-kerja menaiktaraf di bawah Projek Central Spine Road (CSR) bernilai RM8,600 juta, dengan 2-lorong 2-hala (dual carriageway) sepanjang 350 KM melibatkan jajaran Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan, seterusnya Lipis-Raub-Bentong-Simpang Pelangai hinggalah ke Bahau, Negeri Sembilan; sedang rancak dibangunkan.

(Dan konsep 2-lorong 2-hala ini juga ialah hasil perjuangan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai), yang bingkas menyatakan ketidak-setujuan apabila diura-urakan Kerajaan Persekutuan mahu menjadikannya sekadar 1-lorong 2-hala, dengan membina lorong mendaki di selekoh-selekoh yang tajam).

I LOVE SIMPANG PELANGAI... Dengan laluan trafik yang tidak membebankan, maka padan dengan kemudahan jalan yang ada namun masih ada usaha untuk menaikkan tarafnya lagi menerusi Projek 2-lorong, 2-hala CSR.


JAJARAN MERAPOH-KAMPUNG KUBANG RUSA, LIPIS SUDAH SIAP

Hanya pada Rabu, 25 April lepas, Seksyen 3E2 yang meliputi jajaran Merapoh ke Kampung Kubang Rusa di Lipis sejauh 14 KM, telahpun dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut disertai oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Dan keseluruhan jajaran di bawah Projek CSR termasuk melalui Kampung Simpang Pelangai ini, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) ini juga, atau kira-kira dua (2) tahun sahaja lagi.

Dengan siap sepenuhnya kelak khususnya jajaran Kampung Simpang Pelangai-Karak dan Kampung Simpang Pelangai-Bahau, jarak perjalanan dan tempoh masa antara tempat-tempat ini akan menjadi lebih singkat;

Lalu akan menggalakkan lagi ‘mobility’ atau pergerakan penduduk antara tempat-tempat ini ataupun dari luar, seterusnya secara tidak langsung (tanpapun dipaksa) dapat merancakkan lagi kegiatan sosio-ekonomi di sini.

Daripada segi kemudahan asas yang lain, capaian dan kesampaian bekalan air bersih ke rumah-rumah termasuk ke kampung-kampung Orang Asli sekalipun adalah pada tahap yang baik, begitu juga dengan bekalan elektrik.

INILAH KLINIK KESIHATAN YANG TERSERGAM INDAH... Siap dengan kuarters kakitangannya sekali.


PROJEK SOSIO-EKONOMI AGROPOLITAN JUGA TERDAPAT DI SINI

Begitulah juga dengan prasarana kesihatan dan pendidikan dengan terbinanya sekolah-sekolah – sama ada rendah ataupun menengah, aliran biasa mahupun agama khususnya; sehinggakan penduduk atau anak-anak mereka tidak perlu keluar dari kawasan DUN ini.

Tentang prasarana kesihatan, lihat sahaja bangunan tersergam indah yang dari jalan utama hendak keluar dari Rancangan Tanah Felda Kemasulpun sudah sayup kelihatan iaitu Klinik Kesihatan Chemomoi.  

Dan pula di hampir setiap kawasan pertempatan di sini, ada sahaja sebuah klinik kesihatan yang saiznya berbeza menurut keperluan penduduk setempat dan yang persekitaran.

Bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi penduduk pula, sudah ada Projek Agropolitan Chemomoi yang dari jalan utama kelihatan seolah-olah berupa sebuah pertempatan kecil baharu di DUN Pelangai ini.

Berkaitan yang sama, terdapat rancangan tanah-rancangan tanah Felda seperti Rancangan Tanah Felda Sungai Kemahal, Kemasul dan Chemomoi sendiri, selain daripada kampung-kampung tradisonal seperti Kampung Baris, Kampung Hayat, Kampung Shafie dan Kampung Jawi-jawi.

SELERA ANAK MUDA UNTUK BERSUKAN TERUTAMANYA, DIPENUHI...


TERJADI BUKAN DENGAN SEKADAR ‘ABRA KE DABRA’

Dan ini semua – seperti yang disebut awal tadi, terjadi bukan dengan sendirinya atau dengan mengetuk tongkat sakti, sebut; ‘abra ke dabra’, maka jadilah. Melainkan dengan usaha Kerajaan BN sendiri menerusi tindakan tersusun dan susulan oleh wakil rakyatnyalah juga.

Ini amat disedari dan disyukuri oleh sebahagian besar penduduk dalam DUN kawasan Pelangai ini, lalu menterjemah rasa kesyukuran dan terima kasih itu dengan sudah tujuh (7) pilihanraya umum lepas memilih Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai wakil rakyat mereka.

Sepertimana pemilihan mereka yang bijak dan tepat selama ini, begitulah juga dijangka dilakukan yang sama kali ini sempena Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 yang hari pengundiannya akan berlangsung Rabu, 9 Mei nanti. 


PROJEK AGROPOLITAN BAGI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN JUGA DIPENUHI... 


INDAHNYA SEKOLAH KAMI... 

JALAN BERTAR KE KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI GAPOI... 

SELOKAH YANG DIPERBESARKAN BERHAMPIRAN PEKAN KECIL TELEMONG... – Khabar  





Saturday, 28 April 2018

Calon MCA dan MIC yang menang, boleh dipertimbang jawatan Exco Kerajaan Negeri


… tetapi, dengan keputusan muktamad oleh Raja Pemerintah

“Menteri Besar hanya boleh menyembahkan nama. Tetapi, pemilihan terakhirnya ditentukan oleh Raja Pemerintah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan. 

MENJENGAH DAN MENZIARAHI MASYARAKAT ORANG ASLI KAMPUNG SUNGAI GAPOI... Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Khairuddin Yaakob (berdiri, kiri sekali). 


KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI GAPOI, PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tidak menolak kemungkinan calon-calon Barisan Nasional (BN) dari parti-parti MCA dan MIC yang menang pada Pilihanraya Umum ke-14 ini, dipertimbangkan ke jawatan Exco Kerajaan Negeri kelak.

“Itu satu perkara yang boleh kita pertimbangkan tetapi, keputusan muktamad terletak kepada Raja Pemerintah negeri Pahang. 

“Menteri Besar hanya boleh menyembahkan nama tetapi, pemilihan terakhirnya ditentukan oleh Raja Pemerintah,” katanya ketika ditemui wartawan semasa lawatan mesranya petang Sabtu, 28 April, ke sini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan oleh wartawan BERNAMA tentang kemungkinan tersebut.

Komposisi Exco Kerajaan Negeri sebelum ini menyaksikan, tidak seorangpun dalam kalangan MCA mahpun MIC yang menyertainya ekoran prestasi tidak memberangsangkan oleh calon-calon parti berkenaan pada PRU-13.

MENCERITAKAN HALNYA KEPADA MB YANG JUGA WAKIL RAKYAT KAWASANNYA...


ADA WAKIL DALAM KERAJAAN DAPAT PERJUANGKAN HAK

Tentang kemungkinan ramai calon BN dari MCA menang kali ini katanya, ia tidak boleh dijangka sementelah soal pengundian ini melibatkan perasaan dan sentimen pengundi khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

“Ini perkara yang kita tak boleh bilang, yang kita tidak boleh ‘quantify’. Jadi, terpulanglah.

“Kalau misalannya orang Cina rasakan seperti kata Perdana Menteri – kalau tak ada wakil Cina dalam Kerajaan ianya membawa satu keadaan tidak baik kepada negara. 

“Kalau orang Cina memikirkan mereka hendak wakil dalam Kerajaan supaya hak mereka boleh diperjuangkan, kepentingan mereka boleh dipertahankan; maka mereka perlu mengundi Barisan Nasional melalui calon MCA,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi. 

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri, turut ditanya mengenai ‘trend’ pertandingan pada PRU-14 ini yang nyata mengesahkan andaian tentang pertembungan tiga (3) penjuru di kebanyakan kawasan pilihanraya ekoran perpecahan dalam kalangan puak-puak pembangkang.   

BAYI INIPUN TAHU SAYANGNYA KEPADA MB... Detik ini dirakam semasa kunjungan Dato' Sri DiRaja Adnan ke Kampung Orang Asli Hulu Semei pula, pada petang yang sama.


TERPULANG KEPADA R.O TENTUKAN SOAL TEKNIKAL

‘Trend’ tersebut katanya, “… saya tengok sepintas lalu, dengan 3 penjuru ataupun 5 penjuru seperti di Parlimen Temerloh, saya rasa (akan) berikan kelebihan kepada calon-calon Barisan Nasional”.

Mengenai kejadian pagi tadi yang menyaksikan pembangkang berbantah-bantahan berkaitan isu alamat pada kad pengenalan calon BN bagi DUN Ketari hingga menyebabkan pengumuman tentang pencalonan lewat dilakukan katanya;

“Apapun yang timbul, soal teknikal sebagainya; ianya terpulang kepada ‘Returning Officer’ (R.O) atau Pegawai Pilihanraya. Kita kenalah mematuhinya. Takkan calon pula menanyakan mana I.C awak? Yang boleh menengok I.C ini ialah R.O.

“Seperti juga kita di Mahkamah. Di mahkamah, pendakwa, peguambela, dia bercakap kepada mahkamah. Dia tak boleh pula tengah-tengah bercakap, menyampuk pula borak sama dia, tak boleh... Dia ada peraturan dia. 

“‘So’, biar ‘Returning Officer’ tentukan. Kalau kita tak puas hati maka kita boleh buat satu ‘motion’, boleh ‘file’ ke mahkamah, ke mahkamah pilihanraya, ‘election court’ untuk menentukan,” katanya. 

TINDAKAN KURANG AJAR PEMBANGKANG TERHADAP PEGAWAI SPR?

“Bagaimana (pula) Dato’ Sri melihat tindakan calon (PKR dari) DAP yang kurang ajar terhadap pegawai SPR?” tanya wartawan daripada Astro Awani pula, yang secara spontan Dato’ Sri DiRaja Adnan menjawab; 

“Ha itu, tak apalah... Itu biar orang(ramai) tahulah (tentang sikap buruk calon berkenaan). (Selama ini) Menteri Besar Pahang sahaja orang cakap kurang ajar, (tetapi) nampaknya (beliau, Menteri Besar) tertib sangat pula hari ini kan?” yang segera mencetuskan ketawa kecil para wartawan. 

Dan kedengaran seseorang berkata 'excellent' sebagai merujuk kepada sikap 'cool' Menteri Besar semasa menghadapi tempoh kecoh seketika ekoran bantahan puak-puak pembangkang itu. – Khabar  


Dato’ Sri DiRaja Adnan hadapi calon PAS dan PKR di DUN Pelangai


… sempena Hari Penamaan Calon bagi menghadapi PRU-14.

Peraturan baharu SPR menghadkan 30 penyokong setiap parti berada dalam perkarangan pusat penamaan di Majlis Daerah Bentong mewujudkan suasana lebih tenteram berbanding yang lepas

CALON-CALON BN BAGI PARLIMEN BENTONG SERTA EMPAT DUN DI BAWAHNYA... 


PERKARANGAN, MAJLIS DAERAH BENTONG (MDB), BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob akan menghadapi persiangan tiga (3) penjuru menentang calon-calon Partai Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri N 036 Pelangai.

Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang juga penyandang kerusi DUN ini sejak tujuh penggal lepas bermula tahun 1986; akan ditentang oleh Encik Zaharin Osman dari PAS, dan Puan Norhaizan Abu Hassan dari PKR.

Ini sepertimana diumumkan oleh Pegawai Daerah yang juga Pengurus Pilihanraya, Dato’ Azhar Arshad yang bermula pada kira-kira 12.13 tengah hari dan berakhir kira-kira 11-minit kemudian pada 12.24 tengah hari, di sini.

(Kelewatan membuat pengumuman ini difahamkan, ialah ekoran bantahan pihak pembangkang yang membangkitkan isu alamat pada kad pengenalan milik calon BN bagi DUN – N 034 Ketari iaitu Dato’ Lau Hoi Keong).

Yang turut diumumkan ialah calon-calon yang disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen - P 089 Bentong; serta kerusi-kerusi DUN - N 033 Bilut, N 034 Ketari, dan N 035 Sabai.

MENYEMAK DOKUMEN...


PERTENTANGAN 4-PENJURU DI DUN SABAI

Bagi P 089, penyandang, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang mewakili BN akan turut menghadapi perlawanan tiga (3) penjuru menentang Encik Balasubramaniam Nachiappan dari PAS, dan, Encik Wong Tack dari PKR.

Untuk N 033 Bilut pula ditandingi tiga (3) penjuru juga oleh calon BN, Encik Jason Poo Mun Hoong serta Encik Mohd Zamri Nong dari PAS, dan, Encik Lee Chin Chien dari PKR.

Manakala N 034 Ketari menyaksikan satu lagi pertandingan tiga (3) penjuru dengan calon BN, Dato’ Lau ditentang oleh Encik Roslan Md Desa dari PAS, dan, Cik Yong Safura Osman dari PKR.

N 035 Sabai akan menyaksikan rentapan empat (4) penjuru apabila calon BN, Dato’ R.Goonasekaran akan ditentang oleh Encik Mohd Khairuddin Abdullah dari PAS, Puan D.Kamache dari PKR, dan calon Bebas, Encik T.Karunathi. 


BERARAK KIRA-KIRA 400 METER DARI PERKARANGAN BANGUNAN UMNO BAHAGIAN BENTONG HINGGA KE MAJLIS DAERAH BENTONG... – Khabar