Sunday 29 April 2018

Pembangunan Pelangai yang nyata, berpada dan realistik

… dan pembangunan di kawasan luar bandar ini, tidak terjadi dengan sendiri melainkan dengan perancangan dan pelaksanaan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada.

KAMI GENG TOK NAN... Luahan hati dan berterima kasih anak muda kepada wakil rakyat mereka, Dato' Sri DiRaja Adnan.


KAMPUNG SIMPANG PELANGAI, PELANGAI, BENTONG – Apakah lagi pembangunan atau kemudahan asas yang tidak ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pelangai, melainkan ada kesemuanya sepertimana DUN-DUN lain dalam kawasan luar bandar di negara ini.

Terletak kira-kira 43 KM dari pekan kecil Karak (masih dalam daerah Bentong) ke sebelah utara; kira-kira 35 KM dari pekan kecil Triang (dalam daerah Bera) ke sebelah timur; dan kira-kira 44 KM dari pekan kecil Seri Jempol (dalam daerah Jempol di Negeri Sembilan) ke sebelah selatan;

Pertama-tamanya, DUN Pelangai mempunyai sistem jalan yang baik – sungguhpun berliku-liku serta berselekoh tajam di sesetengah laluan; yang dapat menghubungkannya dengan ketiga-tiga Karak, Triang dan Seri Jempol.

Pun begitu, kerja-kerja menaiktaraf di bawah Projek Central Spine Road (CSR) bernilai RM8,600 juta, dengan 2-lorong 2-hala (dual carriageway) sepanjang 350 KM melibatkan jajaran Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan, seterusnya Lipis-Raub-Bentong-Simpang Pelangai hinggalah ke Bahau, Negeri Sembilan; sedang rancak dibangunkan.

(Dan konsep 2-lorong 2-hala ini juga ialah hasil perjuangan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai), yang bingkas menyatakan ketidak-setujuan apabila diura-urakan Kerajaan Persekutuan mahu menjadikannya sekadar 1-lorong 2-hala, dengan membina lorong mendaki di selekoh-selekoh yang tajam).

I LOVE SIMPANG PELANGAI... Dengan laluan trafik yang tidak membebankan, maka padan dengan kemudahan jalan yang ada namun masih ada usaha untuk menaikkan tarafnya lagi menerusi Projek 2-lorong, 2-hala CSR.


JAJARAN MERAPOH-KAMPUNG KUBANG RUSA, LIPIS SUDAH SIAP

Hanya pada Rabu, 25 April lepas, Seksyen 3E2 yang meliputi jajaran Merapoh ke Kampung Kubang Rusa di Lipis sejauh 14 KM, telahpun dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut disertai oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Dan keseluruhan jajaran di bawah Projek CSR termasuk melalui Kampung Simpang Pelangai ini, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) ini juga, atau kira-kira dua (2) tahun sahaja lagi.

Dengan siap sepenuhnya kelak khususnya jajaran Kampung Simpang Pelangai-Karak dan Kampung Simpang Pelangai-Bahau, jarak perjalanan dan tempoh masa antara tempat-tempat ini akan menjadi lebih singkat;

Lalu akan menggalakkan lagi ‘mobility’ atau pergerakan penduduk antara tempat-tempat ini ataupun dari luar, seterusnya secara tidak langsung (tanpapun dipaksa) dapat merancakkan lagi kegiatan sosio-ekonomi di sini.

Daripada segi kemudahan asas yang lain, capaian dan kesampaian bekalan air bersih ke rumah-rumah termasuk ke kampung-kampung Orang Asli sekalipun adalah pada tahap yang baik, begitu juga dengan bekalan elektrik.

INILAH KLINIK KESIHATAN YANG TERSERGAM INDAH... Siap dengan kuarters kakitangannya sekali.


PROJEK SOSIO-EKONOMI AGROPOLITAN JUGA TERDAPAT DI SINI

Begitulah juga dengan prasarana kesihatan dan pendidikan dengan terbinanya sekolah-sekolah – sama ada rendah ataupun menengah, aliran biasa mahupun agama khususnya; sehinggakan penduduk atau anak-anak mereka tidak perlu keluar dari kawasan DUN ini.

Tentang prasarana kesihatan, lihat sahaja bangunan tersergam indah yang dari jalan utama hendak keluar dari Rancangan Tanah Felda Kemasulpun sudah sayup kelihatan iaitu Klinik Kesihatan Chemomoi.  

Dan pula di hampir setiap kawasan pertempatan di sini, ada sahaja sebuah klinik kesihatan yang saiznya berbeza menurut keperluan penduduk setempat dan yang persekitaran.

Bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi penduduk pula, sudah ada Projek Agropolitan Chemomoi yang dari jalan utama kelihatan seolah-olah berupa sebuah pertempatan kecil baharu di DUN Pelangai ini.

Berkaitan yang sama, terdapat rancangan tanah-rancangan tanah Felda seperti Rancangan Tanah Felda Sungai Kemahal, Kemasul dan Chemomoi sendiri, selain daripada kampung-kampung tradisonal seperti Kampung Baris, Kampung Hayat, Kampung Shafie dan Kampung Jawi-jawi.

SELERA ANAK MUDA UNTUK BERSUKAN TERUTAMANYA, DIPENUHI...


TERJADI BUKAN DENGAN SEKADAR ‘ABRA KE DABRA’

Dan ini semua – seperti yang disebut awal tadi, terjadi bukan dengan sendirinya atau dengan mengetuk tongkat sakti, sebut; ‘abra ke dabra’, maka jadilah. Melainkan dengan usaha Kerajaan BN sendiri menerusi tindakan tersusun dan susulan oleh wakil rakyatnyalah juga.

Ini amat disedari dan disyukuri oleh sebahagian besar penduduk dalam DUN kawasan Pelangai ini, lalu menterjemah rasa kesyukuran dan terima kasih itu dengan sudah tujuh (7) pilihanraya umum lepas memilih Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai wakil rakyat mereka.

Sepertimana pemilihan mereka yang bijak dan tepat selama ini, begitulah juga dijangka dilakukan yang sama kali ini sempena Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 yang hari pengundiannya akan berlangsung Rabu, 9 Mei nanti. 


PROJEK AGROPOLITAN BAGI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN JUGA DIPENUHI... 


INDAHNYA SEKOLAH KAMI... 

JALAN BERTAR KE KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI GAPOI... 

SELOKAH YANG DIPERBESARKAN BERHAMPIRAN PEKAN KECIL TELEMONG... – Khabar