Monday 30 April 2018

Mesin ATM di Felda Chemomoi bagi penduduk Pelangai, akan beroperasi sebelum 9 Mei

“InsyaAllah, sebelum Hari Mengundi, akan ada satu ‘ATM Machine’ di kawasan Pelangai dan kita telah cadangkan dibuat (ditempatkan) di Felda Chemomoi sebab adanya bangunan ‘petrol kiosk’ di situ, ada jaga di situ,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

BERSALAMAN BERTENTANG MATA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan hadirin sambil Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato' Ibrahim Abdul Rahman mengekori (berbaju korporat biru).


DATARAN PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Sebuah mesin ‘Automated Teller Machine’ (ATM) akan diadakan di Rancangan Tanah Felda Chemomoi dekat sini untuk kemudahan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pelangai, yang akan beroperasi sebelum 9 Mei ini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob umumkan perkara ini dalam ucapan luar teks 17-minitnya pada Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Warga Jabatan Penerangan Malaysia Negeri, Komuniti 1Malaysia Negeri, dan Masyarakat Orang Asli Daerah Bentong pagi Isnin, 30 April di sini.

Dan ketika ditemui wartawan kemudian, semasa hendak meninggalkan majlis, beliau yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai) telah diminta mengulas lanjut tentang berita baik tersebut.  

“Ya, saya dah lama dah minta mesin ATM dari banyak bank tapi semua bank mengatakan tak ‘viable’, maknanya upah jaganya, nak buat mesinnya, nak buat bangunannya; tak berbaloi dengan duit yang orang datang menyimpan.

“Saya baru-baru ini dengan (pegawai) bank, Agrobank, saya telah dapat meyakinkan mereka dan saya hanya keluar RM88,000 – RM40,000 untuk ‘renovation’, dan RM48,000 untuk sewa setahun, RM4,000 sebulan.

MENYAMPAIKAN INSENTIF KEPADA YANG SEPATUTNYA...


LEBIH MUDAH DARIPADA PERLU KE DURIAN TEPUS, TRIANG

“Ini saya sudah jelaskan. InsyaAllah sebelum Hari Mengundi, akan ada satu ‘ATM Machine’ di kawasan Pelangai dan kita telah cadangkan dibuat (ditempatkan) di Felda Chemomoi sebab adanya bangunan ‘petrol kiosk’ di situ, ada jaga di situ,” katanya.

Menurutnya, memanglah asalnya lokasi untuk menempatkan mesin berkenaan dicadangkan di Simpang Pelangai ini kerana ia lebih mudah dan strategik tetapi tidak ada pula tempat sesuai untuk menempatkannya.

“(Oleh itu) kita buat (tempatkan mesin ATM tersebut) di Felda Chemomoi yang bagi orang Simpang Pelangai untuk ke Felda Chemomoi, ia lebih mudah daripada mereka pergi ke Durian Tepus atau ke Triang,” katanya.

Durian Tepus ialah sebuah pekan kecil dalam daerah Jempol, Negeri Sembilan, yang bersempadan dengan Simpang Pelangai ini. Triang pula ialah di Bera. Adalah difahamkan, untuk sampai ke kedua-duanya dari sini, mengambil masa antara 35 minit dan 40 minit.    

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas lanjut ucapannya tadi, khususnya tentang berita-berita palsu dan fitnah yang semakin galak disebarkan menerusi media sosial terutamanya dalam tempoh berkempen Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini.

PARA HADIRIN PADA MAJLIS PAGI ISNIN...


GUNA FIKIRAN YANG RASIONAL
                     
“Kita boleh guna fikiran (yang) rasionallah,” katanya dan menyambung betapa, “Setiap berita yang kita baca, tengok dulu lah, pastikan kesahihannya, terutama berita yang memburuk-burukkan orang.

“Kalau kita semua dengar berita terus buat keputusan… tak elok buat masyarakat kita akan datang. Masyarakat kita akan bercelaru,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau memang telah diajar sejak daripada kecil lagi oleh Arwah Ayahnya supaya tidak terus mempercayai apa juga berita terutamanya yang buruk, yang disampaikan kecuali menyiasatinya dahulu.
 
“Saya memang diajar daripada kecil jangan percaya kepada setiap khabar yang diberitakan. Mungkin sebab Arwah Ayah saya sekolah Arab, mempelajari sikit-sebanyak ayat al-Quran sebagainya.

“Dia selalu pesan kepasa saya, kalau sesuatu berita sampai kepada kita terutama sekali berita yang memburukkan orang, (lebih baiklah) kita siasat dulu, jangan kita terus percaya.

JANGAN NANTI MASYARAKAT JADI HARU-BIRU

“Kalau kita terus percaya sahaja, haru-biru masyarakat kita – Ada orang mengadu-domba antara suami-isteri, antara anak dengan bapa, lepas tu antara sahabat dengan sahabat; pecah semua.

“Itu sebab kita kena dengar dulu… Dan saya tahu, dalam pengalaman saya sebagai Menteri Besar, saya tak boleh nyatakan tapi saya kagum dengan dua-tiga pemimpin di peringkat atas daripada saya tentang sifat keterbukaan mereka.

“Iaitu, mereka apabila mendengar sahaja apa yang disampaikan, mereka tak percaya (bulat-bulat melainkan) ‘check’ dulu. Ada orang dengar dia terus melenting tapi ini tidak, ada pemimpin-pemimpin contoh, bila mendengar berita, dia semak, dia ‘check’ dulu.

“Kalau dapat cerita betul baru percaya. Dan dalam banyak hal, berita pertama yang disampaikan adalah bohong…,” katanya lagi. – Khabar