Saturday, 9 November 2019

‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’


… sembah-sebut Menteri Besar tentang uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara.

SENYUM... KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku turut perkenan bercemar duli, bersama-sama Dato' Sri Wan Rosdy dan isteri, serta Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad dan isteri; serta juga Ahli Jawatankuasa KGDP diketuai Dato' Sri Omar (lima dari kanan) pada sesi berfoto kumpulan.  


DEWAN WAWASAN 2020, RESORTS WORLD AWANA, GENTING HIGHLANDS, BENTONG – ‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ – inilah yang disembah-sebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara ketika ini.

“Jika sebelum ini, Patik ada menyembah-sebutkan tentang ‘the golf diplomacy’, kali ini Patik ingin mengambil kesempatan untuk menyembah-sebutkan tentang satu lagi ‘diplomasi’ yang lebih penting.

“Diplomasi ini ialah berkaitan dengan kekaguman Patik yang teramat sangat betapa terserlahnya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sungguhpun baharu beberapa bulan sahaja ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

“Kekaguman ini pula ialah kerana pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir, termasuklah yang secara ‘spontaneous’ seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya; hingga terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.

“Dan inilah ‘diplomasi’ tinggi dan bersahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang mana, Patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara.

“Dan inilah juga apa yang Patik hendak menyembah-sebutkan tentang ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam persembahan ucapannya pada Majlis Santapan Kelab Golf DiRaja Pahang (KGDP) 2019 – Jasamu Menggunung Sepanjang Hayat; Dikenang dan Disanjung’ malam Sabtu, 9 November di sini.

DI MEJA SANTAPAN... 


GANDINGAN SERASI – KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bercemar duli berangkat serta menyempurna dan menyerikan lagi majlis anjuran KGDP ini.

Dengan diplomasi tahap tertinggi yang diserlahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ini sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara, Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyembah-sebut betapa beliau penuh berkeyakinan, pemerintahan Baginda di negara ini, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.

“Apatah pula dengan gandingan serasi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri di sisi, yang pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah,” sembah-sebut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.  

Mengenai Majlis Santapan KGDP 2019 katanya, matlamatnya ialah untuk mengutip dana demi memenuhi Tabung KGDP, yang akan digunakan untuk secara terus-menerus dalam menambah-baik kemudahan Kelab, sekaligus dapat memberi keselesaan yang lebih kepada Ahli-ahli KGDP serta para pengunjungnya.

KGDP dengan keanggotaan kira-kira 1,300 orang katanya, ialah antara Kelab Golf yang berprestij bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.  

KEMESRAAN BAGINDA DI MEJA SANTAPAN... 


PERKHIDMATAN KELAB MESTILAH SENTIASA ‘TIP-TOP’

Bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahli Kelab serta menjaga dan memelihara prestijnya katanya lagi, sudah pastilah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan mestilah juga sentiasa berada pada kedudukan ‘tip-top’.

Oleh sebab itulah, dari masa ke semasa, apa juga kemudahan yang disediakan katanya, hendaklah ditambah-baikkan apatah pula kemudahan-kemudahan ini tentunya menjalani proses ‘wear and tear’ yang cepat setelah sekian lama ianya digunakan.

“Sehubungan itu, Patik mohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku untuk patik mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia, Dato’ Sri Omar Othman, yang mengetuai selaku Pengerusi, bagi Jawatankuasa Pengelola Majlis Santapan KGDP 2019 ini.

“Patik sedia-maklum, ini bukanlah kali pertama Dato’ Sri Omar telah mengetuai Jawatankuasa Pengelola sepertimana Majlis Santapan KGDP 2019 ini. Sebelum inipun, beliaulah yang mengetuainya dan ternyata, tidak menghampakan malah berjaya dengan bergayanya.

“Kejayaan ini Patik pasti, ialah ekoran pengalaman luas beliau sebelum ini termasuklah sebagai Ahli Dewan Negeri Jelai yang kini Patik pula sandanginya, begitu juga selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semasa Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar ketika itu, Tuan Yang Terutama, Tun Mohd Khalil Yaakob.

DALAM PERSEMBAHAN UCAPAN MENTERI BESAR... 


KETOKOHAN DATO’ SRI OMAR

“Dengan ketokohan Dato’ Sri Omar serta dibantu oleh Ahli-ahli jawatankuasanya serta pengurusan Kelab yang penuh berdedikasi, Patik yakin matlamat penganjuran Majlis Santapan KGDP 2019 akan tercapai juga akhirnya,” katanya.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaannya kepada para penaja yang turut hadir dan menjayakan Majlis Santapan ini.

Selain syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), penghargaan tertinggi tentunya katanya, ialah kepada konglomerat - Genting Malaysia Bhd, yang merupakan penaja utama.

Ternyata konglomerat ini katanya lagi, merupakan ‘a very reliable and responsible corporate citizen of the State’, yang sentiasa sahaja tidak mengecewakan apabila hal-hal berkaitan sumbangan dana yang diharapkan daripadanya.

Semoga dengan ini beliau berharap, konglomerat itu akan terus berjaya dalam apa juga perniagaan yang diceburinya khususnya dalam sektor hartanah terutamanya perhotelan di negeri ini.  

“Penghargaan juga sewajarnya juga diberikan kepada para penaja yang lain yang rasanya, tidak perlulah Patik sebutkan satu-persatu. Namun, bak kata orang, ‘Terima kasih daun keladi’, lain kali, tambahlah lagi,” katanya. – Khabar  

Takziah buat keluarga Allahyarham adik Muhammad Amin

… Menteri Besar mohon polis siasat rapi bagi kenal pasti punca kematian dan bawa pesalah ke muka pengadilan

ANAK SYURGA, 7-TAHUN, ALLAHYARHAM ADIK MUHAMMAD AMIN... Al-Fatihah.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham adik Muhammad Amin Nurul Amin, tujuh (7) tahun – pelajar sekolah tahfiz tidak berdaftar yang meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Temerloh.

Sambil itu beliau berharap, pihak berwajib terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematiannya kerana dilaporkan, ditemukan kesan-kesan lebam pada tubuh badan adik Muhammad Amin.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media dikeluarkan petang Sabtu, 9 November, merujuk kepada laporan berita mengenai kematian Allahyarham adik Muhammad Amin kira-kira 2 petang Khamis, 7 November di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh setelah ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama di sekolah tahfiz berkenaan.

Ekoran kejadian itu juga, tiga (3) pelajar berusia 13 tahun dari sekolah yang sama – termasuk abang tiri kepada Allahyarham, telah ditahan reman sehingga Khamis depan, bagi membantu siasatan.

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan media oleh Menteri Besar –

SEKOLAH TAHFIZ TIDAK SAH

Dengan dukacitanya saya ucapkan takziah kepada keluarga adik Muhammad Amin Nurul Amin, tujuh (7) tahun – pelajar sekolah tahfiz tidak berdaftar yang meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Temerloh.

Sambil itu saya berharap, pihak berwajib terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematiannya kerana dilaporkan, ditemukan kesan-kesan lebam pada tubuh badan adik Muhammad Amin.

Sungguhpun mungkin sekolah tahfiz tersebut dengan 14 pelajar dan seorang sahaja guru, tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) lalu beroperasi secara tidak sah sejak Januari lepas, tetapi kematian melibatkan seorang muridnya telah berlaku.

Sudah tentu Kerajaan Negeri memandang serius mengenainya maka meminta pihak-pihak berwajib melakukan apa juga usaha agar kebenaran dapat diperolehi dan pesalah dibawa ke muka pengadilan, In Sya Allah. – Khabar

Monday, 4 November 2019

Kerajaan Persekutuan setuju bina Lapangan Terbang Baharu Tioman


“Kabinet dah setuju, Kerajaan Negeri juga dah setuju. Sekarang ini, kerja-kerja awalanlah - (urusan berkaitan) tanah dan sebagainya… Laporan EIA (sepertimana) apa yang dikehendaki (perlu disediakan),” kata Menteri Besar.

PETA PULAU TIOMAN... Dan syor kedua sebagai tapak pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman ialah di Kampung Paya menjadi pilihan - bukan di Kampung Tekek apatah lagi Kampung Genting yang menerima bantahan penduduk di situ.  


PANTAI AIR LELEH, KUALA PAHANG, PEKAN – Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju bagi pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kabinet dah setuju, Kerajaan Negeri juga dah setuju. Sekarang ini, kerja-kerja awalanlah – (urusan berkaitan) tanah dan sebagainya… Laporan EIA (sepertimana) apa yang dikehendaki (perlu disediakan).

“Yang penting sekarang ini, Kabinet (Kerajaan Persekutuan) telah bersetuju. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju. Kos, belum lagi dimuktamadkan. Yang akan bina ialah ‘private sector’,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan tentang Lapangan Terbang Baharu Tioman itu pada persidangan media sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di sini.

Menurut sumber-sumber, empat (4) syor dikemukakan sebagai tapak pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman ini tetapi akhirnya, syor kedua menjadi pilihan iaitu di Kampung Paya sepertimana dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

SYOR KEDUA DI KAMPUNG PAYA JADI PILIHAN

Di Kampung Paya ini, ia tidak melibatkan penempatan penduduk, tidak sepertimana syor pertama di Kampung Genting – selain melibatkan kampung-kampung lalu menjejaskan kehidupan seharian mereka, syor pertama ini juga melibatkan kaedah tambak laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin sedia ada.

Dua syor lagi ialah syor ketiga dengan menambah baik lapangan terbang sedia ada di Kampung Tekek, manakala syor keempat ialah dengan menambah baik landasan kapal terbang sedia ada di Kampung Lanjut yang terletak di tanah besar berhampiran Kuala Rompin.

Lapangan Terbang Baharu Tioman di Kampung Paya ini kelak, cadangan landasan kapal terbang yang telah diluluskan pada tahun 2004 lagi ialah 1.8 KM panjang dan 48 meter lebar.

Bagaimanapun, bagi cadangan untuk membolehkan pesawat jenis Boeing 737 atau Airbus A320 berkapasiti antara 180 dan 200 penumpang mendarat di Lapangan Terbang Baharu Tioman ini, tambahan panjang lagi 700 meter menjadikan keseluruhan 2.5 KM, diperlukan.

Dato’ Sri Wan Rosdy juga ditanya mengenai cadangan Kerajaan Negeri untuk menakung sumber air daripada mengalir setiap hari ke dalam laut tanpa dimanfaatinya seperti disebutnya dalam ucapan 39-minitnya tadi.

USAHA JANGKA PANJANG MENAKUNG AIR MENTAH

“Saya dimaklumkan oleh JPS bahawa 80 peratus (sumber) air (termasuk) hujan, mengalir ke laut. Jadi, alangkah baiknya kalau sekiranya daripada 80 peratus tu, Kerajaan Negeri boleh kita takungkan air tersebut.

“Tapi (ini) adalah lebih kepada perancangan jangka panjang. Sebab kalau air tersebut kita boleh takungkan, makna kita tidak akan menghadapi masalah air dan lebihan tersebut mungkin kita boleh salurkan ke negeri-negeri lain.

“Sebab, 80 peratus ini ialah satu peratusan yang sangat tinggi. Jadi, saya telah cadangkan supaya perancangan jangka panjang, supaya menakung air ini, tidaklah kita biar begitu sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diminta membuat kajian tentang kemungkinan membuat takungan tersebut yang apabila siap, akan dibentangkan kepadanya semula.

Menurut kajian yang diperolehi oleh penulis sebelum ini, air mentah dari lembangan sungai-lembangan sungai di Pahang khususnya Sungai-sungai Pahang, Kuantan dan Rompin, menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari yang berkesudahan dengan aliran keluar ke Laut China Selatan.

Sedangkan, keperluan penduduk Pahang sendiri untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050pun, ialah sekadar kira-kira 1.888 juta meter padu sehari. Maka, jumlah besar air mentah (12.661 juta meter padu sehari itu) adalah lebih daripada memadai untuk diproses bagi menampung keperluan air terawat di negeri ini. – Khabar  





Lagi 132,212.58 hektar diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air


… menjadikan keseluruhan 386,971.14 hektar atau 3 kali ganda keluasan Pulau Pinang diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di Pahang, kata Menteri Besar  

KECANGGIHAN DIGITAL DALAM 'GIMMICK' PERASMIAN... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menekapkan tangannya pada skrin. Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Ishak (kanan sekali), Dato' Mohd Ridza (dua dari kanan) dan Dato' Dr Zainah (tiga dari kanan).  


PANTAI AIR LELEH, KUALA PAHANG, PEKAN – Sebagai meneruskan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha pemeliharaan hutan, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan betapa 132,212.58 hektar kawasan di negeri ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.

Hutan Tadahan Air ini ialah di bawah pengelasan Hutan Perlindungan yang bermakna, tiada langsung penebangan pokok apatah pula pengeluaran balak dibenarkan di kawasan ini.  

Dengan tambahan lagi 132,212.58 hektar ini sepertimana keputusan yang dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri ke-13/2019 pada 8 Mei lepas kata Dato’ Sri Wan Rosdy;

“… telah menambahkan lagi keluasan Hutan Tadahan Air sedia ada kira-kira 258,951.88 hektar, yang secara keseluruhannya menjadikan Hutan Tadahan Air di negeri ini menjadi kira-kira 386,971.14 hektar.

“Keluasan Hutan Tadahan Air di negeri ini (kira-kira 386,971.14 hektar yang dengan itu) ialah kira-kira tiga (3) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang yang seluas kira-kira 103,104 hektar”.

TANDA BAGUS UNTUK SEMUA... 


MAJLIS 2-DALAM-1

Beliau berkata demikian dalam ucapan 39-minitnya merasmikan majlis ‘dua dalam satu’ Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di sini.

Tema Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 ini ialah ‘Green and Community: Together is Better’, manakala tema Hari Hutan Antarabangsa pula ialah ‘Hutan dan Pendidikan : Belajar Mencintai Hutan’.

Selain itu, beliau turut menyebutkan beberapa lagi keputusan MMK yang antaranya ialah mesyuarat MMK Negeri ke 25/2018 telah meluluskan kawasan seluas 50,000 hektar bagi pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot di daerah-daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan.  

Kawasan terosot atau juga dikenali sebagai ‘hutan miskin’ yang kurang produktif ini menurutnya, akan dipulihkan dengan penanaman pelbagai spesies pokok hutan.

Pada MMK Negeri ke 9/2019 pada 18 Mac lepas (2019) pula katanya, telah bersetuju melaksanakan cadangan pewujudan Dasar Khas bagi perlombongan sekitar Tasik Chini, Mukim Penyur, daerah Pekan, seterusnya tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar Tasik Chini tersebut.

MENANAM DAN MENYIRAMI SATU DARIPADA 300 POKOK DI PANTAI AIR LELEH INI... 



HUTAN TAMAN NEGERI CAMERON HIGHLANDS – HUTAN TAMAN NEGERI KEDUA TERBESAR DI PAHANG

Sehubungan itu juga katanya, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

MMK ke 31/2019 pada 9 Oktober baru-baru ini (2019), bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar di Cameron Highlands sebagai Hutan Taman Negeri di bawah seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Dengan ini menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Endau Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar (yang diwartakan sejak tahun 2000).

Melalui MMK sama, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan seluas 2.3 hektar dalam kompartmen 2, Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan yang telah dibangunkan untuk tujuan eko-pelancongan dan sekarang lebih dikenali sebagai ‘mossy forest’ di Cameron Highlands, sebagai Hutan Terbuka di bawah seksyen 45 Akta Perhutanan Negara 1984.

Pengisytiharan sebagai Hutan Terbuka ialah untuk menggalakkan perkembangan sektor pelancongan di negeri ini yang dengan itu, rakyat Pahang akan mendapat faedah secara langsung dan tidak langsung daripada segi pendapatan yang dijana.

ANTARA 'BOOTH' PEMERAN YANG DILAWATI... Selain Dato' Mohd Ridza, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Dr Mohd Hizamri (dua dari kanan). 


PAHANG – NEGERI PUNYAI KAWASAN HUTAN SIMPAN TERLUAS

“Suka saya maklumkan bahawa, hasil kutipan fi tahun 2019 (sehingga Oktober) bagi mengunjungi ‘mossy forest’ ialah kira-kira RM 764,960,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau menyebutkan betapa keluasan hutan simpan yang telah diwartakan di negeri ini ialah kira-kira 1.5 juta hektar, yang menjadikan Pahang negeri yang mempunyai kawasan Hutan Simpan terluas di Semenanjung Malaysia.

Luas kawasan berhutan sahaja menurutnya, ialah kira-kira 2.05 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar.

“Kepentingan sumber hutan negeri Pahang – sepertimana sumber air mentahnya; bukan sahaja memenuhi keperluan negeri Pahang, tetapi juga untuk negeri-negeri yang bersempadanan dengannya seperti Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya dengan itu, amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan.

HADIRIN DAN HADIRAT PADA MAJLIS PAGI ISNIN INI... 'No Monday blues, yeah'. 


JANGAN SAMPAI ANAK-CUCU MENGUTUK KITA

“Jangan akibat ketidak-pandaian kita generasi sekarang dalam mebguruskan hutan kita ini, sampai anak cucu kita dan generasi seterusnya mengutuk kita yang kerana kecuaian kita sendiri,” tegasnya.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyentuh mengenai kerja-kerja penguatkuasaan perhutanan yang mana, sebanyak lima (5) operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan secara bersepadu, melibatkan pelbagai agensi sepanjang tahun 2019 sehingga bulan Oktober lepas.

Kelima-lima operasi penguatkuasaan itu menurutnya ialah –

Ops Tanglung, antara 29 dan 31 Januari 2019; apabila lima (5) orang ditahan dan seorang (1) telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara. Empat (4) lagi masih dalam proses siasatan.

Antara yang peralatan yang disita ialah satu (1) unit mesin ‘bandsaw’, dua (2) buah lori dan satu (1) ‘forklift’. Kayu Gergaji yang dirampas, dilupuskan.

Ops Lombong 4.0, antara 1 dan 4 April 2019 (di Lipis); apabila tujuh (7) pendatang tanpa izin (PATI) ditahan. Antara yang disita ialah 18 peralatan melombong dan 12 jentera.

DENDA KESALAHAN HUTAN – LEBIH RM 700,000

Ops Tebas, pada 23 dan 24 April 2019; dengan memusnahkan tanaman sawit di dalam Hutan Simpan Lesong.

Ops Ronda, antara 14 dan 18 Mei 2019; apabila 75 buah lori balak diperiksa sepanjang tempoh tersebut, dan,

Ops Lombong PTG pada 20 Sept 2019 (di Lipis); apabila seorang (1) ditahan untuk siasatan. Antara yang disita ialah empat (4) buah lori dan sebuah (1) ‘excavator’ serta pelbagai peralatan melombong.

Sejak tahun 2018 sehingga Oktober lepas (2019) katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membawa sembilan (9) kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah, dan telah memenangi kesemua kes tersebut. Pesalah telah dijatuhkan hukuman denda dan penjara.

Dan tahun 2019 ini sehingga Oktober, JPNP telah mengutip kira-kira RM 762,856 sebagai bayaran denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan.

JADILAH ‘MATA DAN TELINGA’ PIHAK BERKUASA

“Sungguhpun ada agensi yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal hutan daripada diceroboh, tidak sepatutnya masyarakat amnya, bersikap lepas tangan begitu sahaja.

“Kita semua perlulah bersikap pro-aktif dengan sekurang-kurangnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menangani pencerobohan hutan dan pembalakan haram,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Mengenai Hari Perancangan Bandar Sedunia pula, beliau antara lain menyebut mengenai komitmen Kerajaan Negeri yang menyasarkan penanaman sebanyak 800 batang pokok di seluruh Negeri Pahang, bersempena sambutannya.

Sebanyak 300 pokok akan ditanam di Pantai Air Leleh ini dan baki lagi 500 pokok katanya, akan diagihkan kepada Penghulu dan Ketua Kampung serta penduduk tempatan, untuk ditanam di kawasan-kawasan penempatan mereka.

Selain Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad dan Ahli-ahli MMK Negeri – Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Encik Abd Rahim Muda.

Antara yang turut hadir ialah wakil rakyat setempat, Dato’ Sri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato Mohd Ridza Awang, Timbalan Ketua Pengarah PlanMalaysia, Dato’ Dr Zainah Ibrahim, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, dan Pengarah PlanMalaysia@Pahang, Pn Harizah Hassan. – Khabar   

Saturday, 2 November 2019

Kerajaan Negeri tak pernah beri komitmen kepada cadangan YB Puan Fuziah tentang keanggotaan MPKK


“Saya akui, memang YB Puan Fuziah ada kemukakan cadangan tentang keanggotaan MPKK  ini pada kunjungan tersebut tetapi saya dan rakan-rakan yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, tidak memberi apa-apa persetujuan atau komitmen padanya.

“Maka, sangat tidak wajarlah kenyataan YB Puan Fuziah apabila beliau mengatakan kami bersetuju dan ini seperti cubaan ‘putting words into one’s mouth’ – atau menyuruh kami menelan bulat-bulat apa yang dicadangkannya,” kata Menteri Besar.

ANTARA PETIKAN KEPUTUSAN YANG DICAPAI PADA MESYUARAT KABINET 10 OKTOBER 2018... Maka tentunya apa yang diperkatakan sebelumnya apatah lagi apabila dipertikaikan, telahpun being overtaken by event ekoran keputusan yang lebih terkini oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan PH ini.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kerajaan Negeri tidak pernah memberi persetujuan atau komitmen kepada cadangan Ahli Parlimen Kuantan, Puan Fuziah Salleh tentang keanggotaan MPKK, tegas Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Puan Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menurutnya, ada mengemukakan cadangan berkenaan pada pertemuan mereka di Pejabat Menterri Besar pada awal September 2018.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tidak menyatakan persetujuan atau memberikan apa-apa komitmen kepada cadangan tersebut.

Cadangan itu ialah, pelantikan keanggotaan MPKK di Pahang yang Kerajaan Negerinya pimpinan Barisan Nasional (BN), perlu melibatkan wakil daripada kedua-dua parti – BN dan Pakatan Harapan (PH), dan keanggotaannya (di setiap MPKK) dikuasai secara majoriti oleh parti yang menang di sesebuah kawasan Parlimen berkenaan.

“Saya akui, memang YB Puan Fuziah ada kemukakan cadangan tentang keanggotaan MPKK  ini pada kunjungan tersebut tetapi saya dan rakan-rakan yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, tidak memberi apa-apa persetujuan atau komitmen padanya.

‘PUTTING WORDS INTO ONE’S MOUTH’

“Maka, sangat tidak wajarlah kenyataan YB Puan Fuziah apabila beliau mengatakan kami bersetuju dan ini seperti cubaan ‘putting words into one’s mouth’ – atau menyuruh kami menelan bulat-bulat apa yang dicadangkannya,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang Sabtu, 2 November di sini. Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Puan Fuziah yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri telah bersetuju mengenai cadangannya itu pada ‘rundingan awal’ mereka sebelum ini.

Berikut ialah sepenuhnya, kenyataan media Menteri Besar di bawah tajuk, Kerajaan Negeri tak pernah beri komitmen kepada cadangan YB Puan Fuziah tentang keanggotaan MPKK –

Saya menyangkal kenyataan mengelirukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Puan Fuziah Salleh kononnya Kerajaan Negeri sebelum ini, telah bersetuju dengan cadangannya tentang keanggotaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Cadangannya ialah agar pelantikan keanggotaan MPKK di Pahang yang Kerajaan Negerinya pimpinan Barisan Nasional (BN), perlu melibatkan wakil daripada kedua-dua parti – BN dan Pakatan Harapan (PH), dan keanggotaannya (di setiap MPKK) dikuasai secara majoriti oleh parti yang menang di sesebuah kawasan Parlimen berkenaan.

KABINET TETAPKAN TENTANG 5 TAMBAHAN ANGGOTA PH DALAM MPKK

Persetujuan ini kononnya dicapai pada apa YB Puan Fuziah sebut sebagai ‘rundingan awal’ antara beliau dengan saya, dan ini saya percaya berlaku semasa kunjungan beliau ke pejabat saya di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada awal September 2018.

Ekoran itulah, YB Puan Fuziah telah mengeluarkan kenyataan pada hari ini seperti yang akhbar Sinar Harian laporkan, kononnya Kerajaan Negeri telah tidak menghormati ‘rundingan awal’ tersebut.

Saya akui, memang YB Puan Fuziah ada kemukakan cadangan tentang keanggotaan MPKK  ini pada kunjungan tersebut tetapi saya dan rakan-rakan yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, tidak memberi apa-apa persetujuan atau komitmen padanya.

Maka, sangat tidak wajarlah kenyataan YB Puan Fuziah apabila beliau mengatakan kami bersetuju dan ini seperti cubaan ‘putting words into one’s mouth’ – atau menyuruh kami menelan bulat-bulat apa yang dicadangkannya.

Selepas itu, beberapa perkembangan baharu mengenai MPKK khususnya bagi negeri-negeri yang tidak dikuasai oleh PH, telah berlaku terutamanya keputusan dicapai oleh Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH pada 10 Oktober 2018 yang menetapkan bahawa –

KERAJAAN PERSEKUTUAN BIAYAI ELAUN MPKK

01. Lima (5) anggota tambahan. Lima (5) anggota tambahan MPKK hendaklah terdiri daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau wakil Pakatan Harapan.

02. Syarat. Kerajaan Persekutuan akan membiayai elaun MPKK sekiranya pihak Kerajaan Negeri bersetuju dengan syarat untuk 5 orang anggota tambahan.

03. Pembayaran Secara ‘Electronic Fund Transfer’ (EFT) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Pembayaran elaun kepada negeri Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis dibuat melalui EFT oleh KPLB.

Pada Mesyuarat mengenai MPKK di negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan pada 5 November 2018 dan diurusetiakan oleh Bahagian Komuniti Desa, KPLB, ketetapan Kabinet tersebut telah dibincang untuk dilaksanakan.

Ekoran itulah, Kerajaan Pahang menubuhkan MPKK di kesemua 542 kampung di negeri ini dan penyerahan surat pelantikan – Pengerusi, Setiausaha dan 11 anggota lain, telah dilakukan di Kuala Lipis pada 14 Disember 2018.

KERAJAAN NEGERI LAKSANAKAN KEPUTUSAN KABINET

Lima (5) anggota tambahan dari PH sepertimana ketetapan oleh Kabinet Kerajaan Persekutuan bagaimanapun tidak dibuat sehingga ke hari ini kerana belum mendapat pencalonan daripada parti berkenaan menerusi KPLB.

Oleh itulah juga saya berharap, YB Puan Fuziah tidak berdolak-dalik mengenai perkara ini sebaliknya, perlulah menurut saluran yang betul sepertimana juga Kerajaan Negeri telah lakukan dalam menerima dan melaksanakan keputusan Kabinet mengenai keanggotaan MPKK ini.

DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

– Khabar


Friday, 1 November 2019

Kerajaan Negeri akan wujudkan kembali JKKK jika MPKKP diperkenalkan


“Kerajaan Pahang berharap, Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH akan tetap dengan pendirian asalnya yang jika tidak, Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali JKKK di kesemua 542 kampung di negeri ini,” tegas Menteri Besar

KETEGASAN DATO SRI WAN ROSDY... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menegaskan, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan kembali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kesemua 542 kampung seluruh negeri.

Ini akan dilakukan sekiranya Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mahu menubuhkan sebuah entiti pengurusan kampung yang baharu dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Sambil membantah ‘sekeras-kerasnya’ penubuhan MPKKP itu katanya, ia bukan sahaja satu lagi tindakan pusingan-U oleh Kerajaan Persekutuan tetapi turut boleh memecah-belahkan lagi penduduk Melayu di kampung-kampung.

“Oleh itulah, Kerajaan Pahang masih berpegang kepada ketetapan Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini tentang pembentukan MPKK dengan tambahan lima (5) wakil PH di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi Jumaat, 1 November di sini.

“Kerajaan Pahang berharap, Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH akan tetap dengan pendirian asalnya yang jika tidak, Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali JKKK di kesemua 542 kampung di negeri ini,” tegasnya.

KENYATAAN MEDIA

Berikut ialah sepenuhnya kenyataan media tersebut –

Kerajaan Pahang membantah sekeras-kerasnya usaha untuk mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) – sebuah lagi entiti pengurusan di kampung-kampung.

Selain usaha ini dilihat satu lagi pusingan-U oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH), ia juga merupakan tindakan negatif yang boleh memecah-belahkan lagi penduduk kampung yang dalam kalangan Melayu.

Apabila PH mengambil-alih Kerajaan Persekutuan, ia telah memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ekoran itu, Kerajaan Pahang pimpinan Barisan Nasional (BN), turut akur dan telahpun menubuhkan 542 MPKK di seluruh negeri ini.

LIMA (5) WAKIL PH DALAM MPKK

Sebagai mematuhi keputusan Kabinet juga ke atas Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri BN di Pahang dan Perlis, Kerajaan Pahang sanggup menerima lima (5) wakil daripada PH untuk menganggotai setiap 542 MPKK tersebut.

Namun sehingga kini, nama wakil-wakil berkenaan belum juga diperolehi daripada PH menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Oleh itu, pengisian lima (5) wakil PH ini belum dilaksanakan bagi menjadikan keseluruhan keanggotaan MPKK seramai 18 orang iaitu – seorang Pengerusi, seorang Setiausaha dan 16 orang wakil penduduk termasuk lima (5) orang daripada PH.

Tetapi kini, ada laporan menyebut, MPKKP akan diwujudkan di Kelantan ekoran masalah yang dihadapi di negeri itu, dan yang sama hendak diwujudkan di Pahang sepertimana memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Fuziah Salleh sebagai berkata.

Pegawai Kerajaan Pahang dari Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri cuba mendapatkan kepastian mengenai ura-ura pengwujudan MPKKP tetapi sehingga kini, belum menerima apa-apa maklum-balas mengenainya.

KERAJAAN PAHANG TETAP PEGANG PADA KETETAPAN ASAL

Oleh itulah, Kerajaan Pahang masih berpegang kepada ketetapan Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini tentang pembentukan MPKK dengan tambahan lima (5) wakil PH di negeri ini.

Kerajaan Pahang berharap, Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH akan tetap dengan pendirian asalnya yang jika tidak, Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali JKKK di kesemua 542 kampung di negeri ini.

DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

– Khabar