Saturday 9 November 2019

‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’


… sembah-sebut Menteri Besar tentang uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara.

SENYUM... KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku turut perkenan bercemar duli, bersama-sama Dato' Sri Wan Rosdy dan isteri, serta Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad dan isteri; serta juga Ahli Jawatankuasa KGDP diketuai Dato' Sri Omar (lima dari kanan) pada sesi berfoto kumpulan.  


DEWAN WAWASAN 2020, RESORTS WORLD AWANA, GENTING HIGHLANDS, BENTONG – ‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ – inilah yang disembah-sebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai uniknya diplomasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memerintah negara ketika ini.

“Jika sebelum ini, Patik ada menyembah-sebutkan tentang ‘the golf diplomacy’, kali ini Patik ingin mengambil kesempatan untuk menyembah-sebutkan tentang satu lagi ‘diplomasi’ yang lebih penting.

“Diplomasi ini ialah berkaitan dengan kekaguman Patik yang teramat sangat betapa terserlahnya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sungguhpun baharu beberapa bulan sahaja ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

“Kekaguman ini pula ialah kerana pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir, termasuklah yang secara ‘spontaneous’ seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya; hingga terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku.

“Dan inilah ‘diplomasi’ tinggi dan bersahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang mana, Patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara.

“Dan inilah juga apa yang Patik hendak menyembah-sebutkan tentang ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam persembahan ucapannya pada Majlis Santapan Kelab Golf DiRaja Pahang (KGDP) 2019 – Jasamu Menggunung Sepanjang Hayat; Dikenang dan Disanjung’ malam Sabtu, 9 November di sini.

DI MEJA SANTAPAN... 


GANDINGAN SERASI – KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bercemar duli berangkat serta menyempurna dan menyerikan lagi majlis anjuran KGDP ini.

Dengan diplomasi tahap tertinggi yang diserlahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ini sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara, Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyembah-sebut betapa beliau penuh berkeyakinan, pemerintahan Baginda di negara ini, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.

“Apatah pula dengan gandingan serasi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri di sisi, yang pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah,” sembah-sebut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.  

Mengenai Majlis Santapan KGDP 2019 katanya, matlamatnya ialah untuk mengutip dana demi memenuhi Tabung KGDP, yang akan digunakan untuk secara terus-menerus dalam menambah-baik kemudahan Kelab, sekaligus dapat memberi keselesaan yang lebih kepada Ahli-ahli KGDP serta para pengunjungnya.

KGDP dengan keanggotaan kira-kira 1,300 orang katanya, ialah antara Kelab Golf yang berprestij bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.  

KEMESRAAN BAGINDA DI MEJA SANTAPAN... 


PERKHIDMATAN KELAB MESTILAH SENTIASA ‘TIP-TOP’

Bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahli Kelab serta menjaga dan memelihara prestijnya katanya lagi, sudah pastilah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan mestilah juga sentiasa berada pada kedudukan ‘tip-top’.

Oleh sebab itulah, dari masa ke semasa, apa juga kemudahan yang disediakan katanya, hendaklah ditambah-baikkan apatah pula kemudahan-kemudahan ini tentunya menjalani proses ‘wear and tear’ yang cepat setelah sekian lama ianya digunakan.

“Sehubungan itu, Patik mohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku untuk patik mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia, Dato’ Sri Omar Othman, yang mengetuai selaku Pengerusi, bagi Jawatankuasa Pengelola Majlis Santapan KGDP 2019 ini.

“Patik sedia-maklum, ini bukanlah kali pertama Dato’ Sri Omar telah mengetuai Jawatankuasa Pengelola sepertimana Majlis Santapan KGDP 2019 ini. Sebelum inipun, beliaulah yang mengetuainya dan ternyata, tidak menghampakan malah berjaya dengan bergayanya.

“Kejayaan ini Patik pasti, ialah ekoran pengalaman luas beliau sebelum ini termasuklah sebagai Ahli Dewan Negeri Jelai yang kini Patik pula sandanginya, begitu juga selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semasa Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar ketika itu, Tuan Yang Terutama, Tun Mohd Khalil Yaakob.

DALAM PERSEMBAHAN UCAPAN MENTERI BESAR... 


KETOKOHAN DATO’ SRI OMAR

“Dengan ketokohan Dato’ Sri Omar serta dibantu oleh Ahli-ahli jawatankuasanya serta pengurusan Kelab yang penuh berdedikasi, Patik yakin matlamat penganjuran Majlis Santapan KGDP 2019 akan tercapai juga akhirnya,” katanya.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaannya kepada para penaja yang turut hadir dan menjayakan Majlis Santapan ini.

Selain syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), penghargaan tertinggi tentunya katanya, ialah kepada konglomerat - Genting Malaysia Bhd, yang merupakan penaja utama.

Ternyata konglomerat ini katanya lagi, merupakan ‘a very reliable and responsible corporate citizen of the State’, yang sentiasa sahaja tidak mengecewakan apabila hal-hal berkaitan sumbangan dana yang diharapkan daripadanya.

Semoga dengan ini beliau berharap, konglomerat itu akan terus berjaya dalam apa juga perniagaan yang diceburinya khususnya dalam sektor hartanah terutamanya perhotelan di negeri ini.  

“Penghargaan juga sewajarnya juga diberikan kepada para penaja yang lain yang rasanya, tidak perlulah Patik sebutkan satu-persatu. Namun, bak kata orang, ‘Terima kasih daun keladi’, lain kali, tambahlah lagi,” katanya. – Khabar