Monday 4 November 2019

Lagi 132,212.58 hektar diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air


… menjadikan keseluruhan 386,971.14 hektar atau 3 kali ganda keluasan Pulau Pinang diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di Pahang, kata Menteri Besar  

KECANGGIHAN DIGITAL DALAM 'GIMMICK' PERASMIAN... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menekapkan tangannya pada skrin. Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Ishak (kanan sekali), Dato' Mohd Ridza (dua dari kanan) dan Dato' Dr Zainah (tiga dari kanan).  


PANTAI AIR LELEH, KUALA PAHANG, PEKAN – Sebagai meneruskan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha pemeliharaan hutan, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan betapa 132,212.58 hektar kawasan di negeri ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.

Hutan Tadahan Air ini ialah di bawah pengelasan Hutan Perlindungan yang bermakna, tiada langsung penebangan pokok apatah pula pengeluaran balak dibenarkan di kawasan ini.  

Dengan tambahan lagi 132,212.58 hektar ini sepertimana keputusan yang dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri ke-13/2019 pada 8 Mei lepas kata Dato’ Sri Wan Rosdy;

“… telah menambahkan lagi keluasan Hutan Tadahan Air sedia ada kira-kira 258,951.88 hektar, yang secara keseluruhannya menjadikan Hutan Tadahan Air di negeri ini menjadi kira-kira 386,971.14 hektar.

“Keluasan Hutan Tadahan Air di negeri ini (kira-kira 386,971.14 hektar yang dengan itu) ialah kira-kira tiga (3) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang yang seluas kira-kira 103,104 hektar”.

TANDA BAGUS UNTUK SEMUA... 


MAJLIS 2-DALAM-1

Beliau berkata demikian dalam ucapan 39-minitnya merasmikan majlis ‘dua dalam satu’ Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di sini.

Tema Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 ini ialah ‘Green and Community: Together is Better’, manakala tema Hari Hutan Antarabangsa pula ialah ‘Hutan dan Pendidikan : Belajar Mencintai Hutan’.

Selain itu, beliau turut menyebutkan beberapa lagi keputusan MMK yang antaranya ialah mesyuarat MMK Negeri ke 25/2018 telah meluluskan kawasan seluas 50,000 hektar bagi pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot di daerah-daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan.  

Kawasan terosot atau juga dikenali sebagai ‘hutan miskin’ yang kurang produktif ini menurutnya, akan dipulihkan dengan penanaman pelbagai spesies pokok hutan.

Pada MMK Negeri ke 9/2019 pada 18 Mac lepas (2019) pula katanya, telah bersetuju melaksanakan cadangan pewujudan Dasar Khas bagi perlombongan sekitar Tasik Chini, Mukim Penyur, daerah Pekan, seterusnya tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar Tasik Chini tersebut.

MENANAM DAN MENYIRAMI SATU DARIPADA 300 POKOK DI PANTAI AIR LELEH INI... 



HUTAN TAMAN NEGERI CAMERON HIGHLANDS – HUTAN TAMAN NEGERI KEDUA TERBESAR DI PAHANG

Sehubungan itu juga katanya, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

MMK ke 31/2019 pada 9 Oktober baru-baru ini (2019), bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar di Cameron Highlands sebagai Hutan Taman Negeri di bawah seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Dengan ini menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Endau Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar (yang diwartakan sejak tahun 2000).

Melalui MMK sama, Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan seluas 2.3 hektar dalam kompartmen 2, Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan yang telah dibangunkan untuk tujuan eko-pelancongan dan sekarang lebih dikenali sebagai ‘mossy forest’ di Cameron Highlands, sebagai Hutan Terbuka di bawah seksyen 45 Akta Perhutanan Negara 1984.

Pengisytiharan sebagai Hutan Terbuka ialah untuk menggalakkan perkembangan sektor pelancongan di negeri ini yang dengan itu, rakyat Pahang akan mendapat faedah secara langsung dan tidak langsung daripada segi pendapatan yang dijana.

ANTARA 'BOOTH' PEMERAN YANG DILAWATI... Selain Dato' Mohd Ridza, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Dr Mohd Hizamri (dua dari kanan). 


PAHANG – NEGERI PUNYAI KAWASAN HUTAN SIMPAN TERLUAS

“Suka saya maklumkan bahawa, hasil kutipan fi tahun 2019 (sehingga Oktober) bagi mengunjungi ‘mossy forest’ ialah kira-kira RM 764,960,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau menyebutkan betapa keluasan hutan simpan yang telah diwartakan di negeri ini ialah kira-kira 1.5 juta hektar, yang menjadikan Pahang negeri yang mempunyai kawasan Hutan Simpan terluas di Semenanjung Malaysia.

Luas kawasan berhutan sahaja menurutnya, ialah kira-kira 2.05 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar.

“Kepentingan sumber hutan negeri Pahang – sepertimana sumber air mentahnya; bukan sahaja memenuhi keperluan negeri Pahang, tetapi juga untuk negeri-negeri yang bersempadanan dengannya seperti Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya dengan itu, amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan.

HADIRIN DAN HADIRAT PADA MAJLIS PAGI ISNIN INI... 'No Monday blues, yeah'. 


JANGAN SAMPAI ANAK-CUCU MENGUTUK KITA

“Jangan akibat ketidak-pandaian kita generasi sekarang dalam mebguruskan hutan kita ini, sampai anak cucu kita dan generasi seterusnya mengutuk kita yang kerana kecuaian kita sendiri,” tegasnya.

Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyentuh mengenai kerja-kerja penguatkuasaan perhutanan yang mana, sebanyak lima (5) operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan secara bersepadu, melibatkan pelbagai agensi sepanjang tahun 2019 sehingga bulan Oktober lepas.

Kelima-lima operasi penguatkuasaan itu menurutnya ialah –

Ops Tanglung, antara 29 dan 31 Januari 2019; apabila lima (5) orang ditahan dan seorang (1) telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara. Empat (4) lagi masih dalam proses siasatan.

Antara yang peralatan yang disita ialah satu (1) unit mesin ‘bandsaw’, dua (2) buah lori dan satu (1) ‘forklift’. Kayu Gergaji yang dirampas, dilupuskan.

Ops Lombong 4.0, antara 1 dan 4 April 2019 (di Lipis); apabila tujuh (7) pendatang tanpa izin (PATI) ditahan. Antara yang disita ialah 18 peralatan melombong dan 12 jentera.

DENDA KESALAHAN HUTAN – LEBIH RM 700,000

Ops Tebas, pada 23 dan 24 April 2019; dengan memusnahkan tanaman sawit di dalam Hutan Simpan Lesong.

Ops Ronda, antara 14 dan 18 Mei 2019; apabila 75 buah lori balak diperiksa sepanjang tempoh tersebut, dan,

Ops Lombong PTG pada 20 Sept 2019 (di Lipis); apabila seorang (1) ditahan untuk siasatan. Antara yang disita ialah empat (4) buah lori dan sebuah (1) ‘excavator’ serta pelbagai peralatan melombong.

Sejak tahun 2018 sehingga Oktober lepas (2019) katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membawa sembilan (9) kes kesalahan hutan untuk pertuduhan di mahkamah, dan telah memenangi kesemua kes tersebut. Pesalah telah dijatuhkan hukuman denda dan penjara.

Dan tahun 2019 ini sehingga Oktober, JPNP telah mengutip kira-kira RM 762,856 sebagai bayaran denda dan penalti pelbagai kesalahan hutan.

JADILAH ‘MATA DAN TELINGA’ PIHAK BERKUASA

“Sungguhpun ada agensi yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal hutan daripada diceroboh, tidak sepatutnya masyarakat amnya, bersikap lepas tangan begitu sahaja.

“Kita semua perlulah bersikap pro-aktif dengan sekurang-kurangnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menangani pencerobohan hutan dan pembalakan haram,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Mengenai Hari Perancangan Bandar Sedunia pula, beliau antara lain menyebut mengenai komitmen Kerajaan Negeri yang menyasarkan penanaman sebanyak 800 batang pokok di seluruh Negeri Pahang, bersempena sambutannya.

Sebanyak 300 pokok akan ditanam di Pantai Air Leleh ini dan baki lagi 500 pokok katanya, akan diagihkan kepada Penghulu dan Ketua Kampung serta penduduk tempatan, untuk ditanam di kawasan-kawasan penempatan mereka.

Selain Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad dan Ahli-ahli MMK Negeri – Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Encik Abd Rahim Muda.

Antara yang turut hadir ialah wakil rakyat setempat, Dato’ Sri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato Mohd Ridza Awang, Timbalan Ketua Pengarah PlanMalaysia, Dato’ Dr Zainah Ibrahim, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, dan Pengarah PlanMalaysia@Pahang, Pn Harizah Hassan. – Khabar