Monday 4 November 2019

Kerajaan Persekutuan setuju bina Lapangan Terbang Baharu Tioman


“Kabinet dah setuju, Kerajaan Negeri juga dah setuju. Sekarang ini, kerja-kerja awalanlah - (urusan berkaitan) tanah dan sebagainya… Laporan EIA (sepertimana) apa yang dikehendaki (perlu disediakan),” kata Menteri Besar.

PETA PULAU TIOMAN... Dan syor kedua sebagai tapak pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman ialah di Kampung Paya menjadi pilihan - bukan di Kampung Tekek apatah lagi Kampung Genting yang menerima bantahan penduduk di situ.  


PANTAI AIR LELEH, KUALA PAHANG, PEKAN – Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju bagi pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kabinet dah setuju, Kerajaan Negeri juga dah setuju. Sekarang ini, kerja-kerja awalanlah – (urusan berkaitan) tanah dan sebagainya… Laporan EIA (sepertimana) apa yang dikehendaki (perlu disediakan).

“Yang penting sekarang ini, Kabinet (Kerajaan Persekutuan) telah bersetuju. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju. Kos, belum lagi dimuktamadkan. Yang akan bina ialah ‘private sector’,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan tentang Lapangan Terbang Baharu Tioman itu pada persidangan media sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di sini.

Menurut sumber-sumber, empat (4) syor dikemukakan sebagai tapak pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman ini tetapi akhirnya, syor kedua menjadi pilihan iaitu di Kampung Paya sepertimana dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

SYOR KEDUA DI KAMPUNG PAYA JADI PILIHAN

Di Kampung Paya ini, ia tidak melibatkan penempatan penduduk, tidak sepertimana syor pertama di Kampung Genting – selain melibatkan kampung-kampung lalu menjejaskan kehidupan seharian mereka, syor pertama ini juga melibatkan kaedah tambak laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin sedia ada.

Dua syor lagi ialah syor ketiga dengan menambah baik lapangan terbang sedia ada di Kampung Tekek, manakala syor keempat ialah dengan menambah baik landasan kapal terbang sedia ada di Kampung Lanjut yang terletak di tanah besar berhampiran Kuala Rompin.

Lapangan Terbang Baharu Tioman di Kampung Paya ini kelak, cadangan landasan kapal terbang yang telah diluluskan pada tahun 2004 lagi ialah 1.8 KM panjang dan 48 meter lebar.

Bagaimanapun, bagi cadangan untuk membolehkan pesawat jenis Boeing 737 atau Airbus A320 berkapasiti antara 180 dan 200 penumpang mendarat di Lapangan Terbang Baharu Tioman ini, tambahan panjang lagi 700 meter menjadikan keseluruhan 2.5 KM, diperlukan.

Dato’ Sri Wan Rosdy juga ditanya mengenai cadangan Kerajaan Negeri untuk menakung sumber air daripada mengalir setiap hari ke dalam laut tanpa dimanfaatinya seperti disebutnya dalam ucapan 39-minitnya tadi.

USAHA JANGKA PANJANG MENAKUNG AIR MENTAH

“Saya dimaklumkan oleh JPS bahawa 80 peratus (sumber) air (termasuk) hujan, mengalir ke laut. Jadi, alangkah baiknya kalau sekiranya daripada 80 peratus tu, Kerajaan Negeri boleh kita takungkan air tersebut.

“Tapi (ini) adalah lebih kepada perancangan jangka panjang. Sebab kalau air tersebut kita boleh takungkan, makna kita tidak akan menghadapi masalah air dan lebihan tersebut mungkin kita boleh salurkan ke negeri-negeri lain.

“Sebab, 80 peratus ini ialah satu peratusan yang sangat tinggi. Jadi, saya telah cadangkan supaya perancangan jangka panjang, supaya menakung air ini, tidaklah kita biar begitu sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diminta membuat kajian tentang kemungkinan membuat takungan tersebut yang apabila siap, akan dibentangkan kepadanya semula.

Menurut kajian yang diperolehi oleh penulis sebelum ini, air mentah dari lembangan sungai-lembangan sungai di Pahang khususnya Sungai-sungai Pahang, Kuantan dan Rompin, menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari yang berkesudahan dengan aliran keluar ke Laut China Selatan.

Sedangkan, keperluan penduduk Pahang sendiri untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050pun, ialah sekadar kira-kira 1.888 juta meter padu sehari. Maka, jumlah besar air mentah (12.661 juta meter padu sehari itu) adalah lebih daripada memadai untuk diproses bagi menampung keperluan air terawat di negeri ini. – Khabar