… nasihat Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada ahli-ahli komponen BN Negeri agar popular dan diterima rakyat setempat
SESI BERGAMBAR BERSAMA.... Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama Dato' Sri Muhammad Safian, Dato' Sharifuddin dan Encik Moh Samsudin sedang dalam sesi 'group photo' dengan para penerima penghargaan dan sumbangan cek pada majlis tengah hari Isnin itu.
HOTEL VISTANA, KUANTAN – Jalankan kerja dan tanggungjawab masing-masing dan pula, ini mesti diperlihatkan agar rakyat dapat menerima hakikat betapa mereka sentiasa didekati oleh anggota-anggota Barisan Nasional (BN).
Inilah nasihat Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kepada anggota-anggota komponen BN di negeri ini yang menurutnya, akan dapat memelihara populariti BN sendiri.
“Bagi saya, caranya ialah dengan semua parti komponen, semua wakil rakyat, semua bakal calon – bakal calon ni maknanya tokoh-tokoh di peringkat bahagianlah; menjalankan kerja masing-masing dan mesti menampakkkan bahawa parti masing-masing itu mendekati rakyat.
“Hanya dengan cara ini sahaja populariti parti komponen, populariti wakil rakyat, (popularity) bakal calon, dapat dipertingkatkan dan mungkin, kalaupun tak sama, seiring dengan populariti Perdana Menteri.
“Dan ini memudahkan kerja Perdana Menteri sebagai ketua Barisan Nasional untuk menghadapi pilihanraya umum,” katanya pada persidangan media pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sumbangan Cek kepada pelapor-pelapor rasuah pada tengah hari Isnin, 13 Februari di sini.
RAWAK ATAU SAINTIFIK, POPULARITI PM TINGGI
Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan dari Astro Awani, mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin tentang populariti Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ketika ini.
“YAB Perdana Menteri sebenarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… sangat popular dikalangan rakyat Malaysia. Kalau kita boleh buat secara rawak atau secara saintifikpun kajiannya, saya yakin populariti Perdana Menteri melebihi paras 70 peratus.
“Tetapi soalnya, adakah BN, adakah wakil-wakil rakyat BN, adakah bakal-bakal calon BN, adakah parti-parti komponen BN tu sepopular populariti Perdana Menteri. Ha… ini yang kita seharusnya mencari satu jalan (untuk menanganinya),” katanya.
SESI P/C... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan pada persidangan media. Mengapit di sebelah kanan dan kirinya ialah Dato' Sri Muhammad Safian, Encik Moh Samsudin dan Dato' Sharifuddin.
Ketika diminta reaksinya oleh wartawan the Star pula terhadap cadangan puak-puak penentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas untuk menganjurkan apa yang diuar-uarkan sebagai Himpunan Hijau 2.0 pada 26 Februari ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjawab, beliau mengalu-alukannya.
“Sebab kita demokrasi. Siapa-siapapun boleh buat perhimpunan dan dari mana mereka datangpun dipersilakan,” katanya sambil menegaskan betapa ia (perhimpunan tersebut) boleh dianjurkan asalkan tidak melanggari undang-undang serta menggugat ketenteraman awam.
IAEA KATA SELAMAT, PEMBANGKANG MASIH TAK MAHU TERIMA
Dalam pada itu katanya, beliau sedang mengumpulkan semula butiran khidmat pesanan ringkas (sms) antara beliau dengan ahli parlimen Kuantan dari parti pembangkang, Puan Fuziah Salleh berhubung dengan cadangan membawa badan antarabangsa untuk mengkaji tentang selamat-tidaknya projek pemprosesan logam tanah jarang tersebut.
“Saya kata tak apa, saya akan bawa perkara ini ke atas (ke pengetahuan Kerajaan Persekutuan). Dan akhirnya kita (Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) panggil IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa).
“(Tetapi, apabila) kita panggil IAEA (dan IAEA lakukan siasatan kemudian membuat keputusan bahawa projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas adalah selamat), dia (puak-puak pembangkang khususnya Puan Fuziah) tak terima juga,” katanya.
Pada awal persidangan media tersebut, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyatakan komitmen Kerajaan Negeri yang berterusan bagi menyokong segala usaha oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani dan memerangi gejala rasuah di negeri ini.
Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyampaikan penghargaan dan sumbangan cek kepada 12 pelapor kesalahan rasuah. Asalnya, setiap seorang daripada mereka ditetapkan untuk menerima RM3,000 tetapi telah diumumkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan bagi menambahkannya menjadi RM5,000 seorang.
Selain Pengarah, SPRM Pahang, KPKPj Moh Samsudin Yusof, antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Isnin itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Sharifuddin Abd Ghani. – Khabar
MATA KE MATA;
*** Semua parti komponen, semua wakil rakyat, semua bakal calon iaitu tokoh-tokoh di peringkat bahagianlah; wajib jalankan kerja masing-masing dan mesti menampakkkan bahawa parti masing-masing itu mendekati rakyat.
*** Yakin bahawa populariti Perdana Menteri dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini adalah melebihi 70 peratus.
*** Semasa bincang mahukan badan antarabangsa tetapi apabila IAEA datang dan buat keputusannya tentang selamatnya projek Lynas , puak pembangkang tak dapat terimanya pula.
*** Sumbangan kepada pelapor kesalahan rasuah dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk majlis yang sulung ini.