… ingatan Menteri Besar kepada para pengamal media sosial kita
DEWAN TUN RAZAK, TEMERLOH – Para pengamal media sosial mesra-Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menulis dan memaparkan hasil-kerja masing-masing dengan penuh bertanggungjawab, yang berlandaskan kepada fakta.
Menurut Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 29-minitnya semasa merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dihadiri lebih 1,000 pengamal media sosial pada tengah hari Isnin, 6 Februari lepas di sini;
“Saya sendiri mempunyai pandangan, setiap makalah atau artikel yang ditulis (dan dipaparkan menerusi media sosial masing-masing) mesti juga, selain daripada (wujud) pengawasan, ada apa yang disebutkan kebertanggungjawaban.
“Kalau tidak, itulah apa yang jadi sekarang ini; yang palsu banyak didedahkan dan oleh sebab ramai yang membaca yang palsu, maka orang lebih percaya kepada yang palsu daripada yang betul”.
Dato’ Sri DiRaja Adnan mengutip pandangan seorang tokoh akademik dari Sekolah Media dan Perhubungan Awam, Universiti George Washington, Amerika Syarikat, Prof Madya Janet E.Steele bagi mengukuhkan lagi ingatan dan pandangannya itu.
AMALKAN SEMBILAN PRINSIP KEWARTAWANAN
Menurut Prof Madya Janet katanya, sembilan (9) prinsip wajib diikuti dalam dunia kewartawanan tradisional (iaitu media cetak mahupun elektronik seperti suratkhabar dan televisyen) yang sewajarnya pula diikuti oleh para pengamal media sosial.
Dan prinsip yang pertama sekali tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah, apa juga perkara yang ditulis mestilah ada pertanggungjawaban dan pula, perkara atau berita tersebut mestilah benar.
Prinsip-prinsip lain ialah, penulis mesti setia kepada negara dan warganya; berdisiplin dalam memilih maklumat; mempunyai minda dan semangat yang bebas; ada pemantauan; menjadi forum untuk kritikan dan berkompromi pandangan/pendapat.
“Yang ketujuhnya, perkara yang kita tulis mesti relevan dan menarik. Yang kelapan, mesti komprehensif, tidak perlu panjang. Dan kesembilan, kita mesti guna budi bicara kita sendiri atau ‘discretion’.
“Media sosial sama ada blog, ‘facebook’ ataupun ‘twitter’, kita mesti ada paling tidakpun, kebertanggungjawaban,” tegasnya.
SHOULD IDENTIFY AND ATTACK OUR COMMON ENEMY
Selaku Menteri Besar dan Pengerusi BN Negeri kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau bersedia membela para pengamal media sosial jika menghadapi tindakan mahkamah akibat penulisan mereka tetapi penulisan itu sendiri hendaklah tepat dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Demi mempertahankan parti, Kerajaan, maruah diri sendiri; dan saudari-saudari hingga terpaksa menghadapi tindakan mahkamah maka kita akan membantu mempertahankan, insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para pengamal media sosial agar dapat mengenal-pasti musuh bersama mereka lalu ‘serangan’ haruslah dihala-juruskan ke arah musuh bersama tersebut.
“We must identify our common enemy. Who are our common enemy? The opposition members… We (should) attack them, not quarrel among ourselves. Itu caranya. Jangan kita ‘attack’ kawan kita.
“Dalam hal ini, kita mesti tentukan siapa musuh bersama kita. Jangan tumpukan kepada ‘in-fightng’, berperang sesama kita dan bukan juga untuk kita menunjukkan pandai tapi menunjukkan kemunasabahan, ‘reasonableness’ dan masuk akal. Itu yang mustahak,” katanya.
KEUTAMAAN BUKAN UNTUK DAPATKAN ‘RATING’
Bukan juga bagi pengamal media sosial kita kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, untuk memberi keutamaan bagi mendapatkan ‘rating’ yang baik dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial yang lain.
“Yang pentingnya, bila kita keluarkan satu-satu artikel kita tu, ia (dapat) menusuk, boleh menawan jiwa orangramai (sehingga memberi sokongan kepada kita),” katanya.
Beliau mengambil contoh isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dan bagaimana penerangan yang baik, berkesan dan mudah difahami, yang dilaksanakan oleh para pengamal media sosial, boleh membantu meleraikan kekeliruan masyarakat terhadap isu berkenaan.
Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengingatkan para pengamal media sosial kita supaya tidak terikut-ikut dengan rentak dan gaya propaganda yang dimainkan oleh puak-puak pembangkang.
Beliau mengambil contoh apa yang dilakukan oleh puak-puak berkenaan khususnya dalam memainkan isu penentangan mereka terhadap projek RM2,300 juta pemprosesan logam tanah jarang Lynas.
ORANG MENYAMPAH TENGOK CHEF WANI
“Don’t be too harsh because if you are too hard or too harsh, you will negate support of the fencesitters. Kalau kita beriya sangat, (ber)emosi (dan) sebagainya, orang yang mula (tadi) lihat kita sebagai rasional, akan lari.
“Macam Fuziah, ahli parlimen Kuantan. Dibuatnya satu ‘presentation’ dalam ‘You tube’, Chef Wani. (Kesannya) negatif… Orang semua menyampah tengok. Sampai sayur tak boleh makanlah, kambingnya, ayamnya kononnya kena ‘radiation’.
“Kalau kita buat pula video lawan ‘presentation’ tu, tak jadi. (Yang lebih wajar dlakukan oleh kita) mungkin dengan (mengeluarkan) makalah sahaja. Dengan ‘presentation’ biasa kita terangkan bagaimana projek berkenaan tidak membahayakan kesihatan kita,” katanya.
Selain Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Pengerusi, Jawatankuasa MyVoice 1Malaysia Kebangsaan dan wakil rakyat, Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul) yang juga Pengerusi, Jawatankuasa MyVoice 1Malaysia Negeri; yang hadir;
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah yang juga ahli parlimen kawasan Temerloh, beberapa ahli parlimen lain dan wakil-wakil rakyat, serta Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Abdul Muain Abdul Hamid. – Khabar
MATA KE MATA;
*** Selain pengawasan diperlukan, pertanggungjawaban juga penting yang harus dipegang dan diamalkan oleh pengamal media sosial.
*** Nasib terbela selagi menulis berdasarkan fakta, bukan palsu atau fitnah.
*** Tidak seharusnya berlaku ‘in-fighting’ sebaliknya serangan harus dijuruskan ke arah musuh daripada puak-puak pembangkang.
*** Jangan terikut-ikut rentak pembangkang sebaliknya tumpu kepada usaha untuk menjelaskan perkara benar dengan berhemah.