Wednesday 1 February 2012

Majoriti besar kakitangan JBA Pahang setuju pengkorporatan!


Seramai 1,276 kakitangan atau 96.01 peratus daripada keseluruhan 1,329 kakitangan bersetuju sertai Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), termasuk 183 kakitangan kontrak yang diserapkan.

Cuma 53 kakitangan atau 3.99 peratus daripada keseluruhan kakitangannya pilih untuk tidak sertai PAIP, lalu bersara


LAMBANG KEBOLEH-HARAPAN... Inilah logo PAIP. Harapan rakyat adalah menggunung terhadap organisasi baharu ini dan adalah diharapkan, ia serta anggota-anggota kerjanya dapat membulatkan tekad bagi memenuhi harapan dan aspirasi tinggi rakyat dan Kerajaan Negeri terhadapnya. 
  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak timbul soal pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang ditolak oleh kakitangannya sendiri kerana, selepas tamat tempoh pemberian opsyen untuk menyertai Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), pada Selasa, 31 Januari iaitu, sebulan selepas ditawarkan (sejak 31 Disember 2011);

Seramai 1,276 kakitangan termasuk 183 kakitangan kontrak atau 96.01 peratus daripada kesekuruhan 1,329 kakitangan JBA Pahang, telah membuat pilihan untuk menyambung perkhidmatan lalu menyertai PAIP.

Dan, cuma 53 kakitangannya atau tidak sampaipun empat (4) peratus daripada keseluruhan kakitangan itu memilih untuk tidak menyertai lalu membuat keputusan untuk bersara.   

Oleh itu, bermula Rabu, 1 Februari, rasmilah sudah penubuhan PAIP maka saranan agar proses pengkorporatan ini ditangguhkan kononnya ekoran bantahan dan penolakan oleh kakitangannya sendiri, tidak timbul lagi.

(Bahawa penubuhan PAIP ialah sejak 6 Februari 2008 lagi dengan nombor pendaftaran syarikat 805752D dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara yang dituntut di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, membuktikan usaha ini bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa). 

Tidak timbul jugalah dakwaan konononnya seluruh kakitangan JBA Pahang tidak diberikan maklumat dan penerangan secukupnya.

MB TEMUI KAKITANGAN PADA DISEMBER LEPAS LAGI

Malah, pada 14 Disember lepas, bertempat di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri hadir menemui mereka sempena Majlis Menanda tangani Perjanjian Pengkorporatan antara Kerajaan Negeri dan PAIP.

“Jika memilih untuk bersama-sama PAIP, kakitangan akan menikmati peningkatan gaji kasar sebanyak 17.5 peratus.

“Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilaksanakan dengan peratus-peratus sumbangan kepadanya oleh masing-masing PAIP selaku majikan dan kakitangan sendiri.

“Selain itu ialah faedah perubatan (medical benefit) di klinik-klinik perubatan swasta yang bernilai RM150 sebulan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapannya pada majlis petang Rabu itu.

Gaji dan insentif-insentif ini adalah berdasarkan skim gaji di bawah Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA). Oleh kerana kini, struktur gaji tersebut dikaji semula ekoran bantahan oleh Cuepacs maka gaji yang ditawarkan oleh PAIP demikianlah juga dan penyelarasan sewajarnya akan dilakukan apabila isu tersebut selesai.

KERAJAAN NEGERI MASIH BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS KAWASAN TADAHAN AIR

Dengan pengkorporatan ini, Kerajaan Negeri dengan rasminya menyerahkan urusan merawat, membekal, mengagih dan memungut hasil daripada penjualan air bersih atau dirawat yang selama ini dkendalikan oleh JBA Pahang kepada PAIP.

Ini bermakna bahawa Kerajaan Negeri tidak lagi dibebani dengan kos operasi bagi kerja-kerja pembekalan air bersih atau dirawat kepada rakyat-jelata, yang berjumlah kira-kira RM160 juta setahun.

Ini turut bermakna, Kerajaan Negeri tidak lagi dapat mengutip hasil daripada pembekalan atau jualan air bersih atau dirawat, yang berkisar antara RM110 juta dan RM114 juta setahun atau, tanggungan defisit antara RM46 juta dan RM50 juta setahun!  

Pada peringkat permulaan ini bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih perlu menyumbang kira-kira RM50 juta setahun, bagi menampung kos operasi PAIP sehinggalah satu masa apabila PAIP sendiri berjaya meningkatkan kecekapan dan berupaya mengurangkan difisit dalam operasinya.

Sungguhpun diperbadankan, urusan kawal-selia sumber air, kawasan tadahan air dan takungan adalah masih menjadi tanggung jawab Kerajaan Negeri sepertimana turut ditegaskan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PAIP PERLU BAYAR KEPADA KERAJAAN NEGERI UNTUK DAPAT AIR MENTAH

Oleh itulah juga, apabila PAIP memperolehi air dari punca-punca air yang di bawah tanggung jawab Kerajaan Negeri, PAIP perlu membayar kepada Kerajaan Negeri kira-kira 4.4 sen (atau, RM0.044) semeter padu air mentah berkenaan. 

Jumlah air mentah yang dianggar digunakan oleh PAIP untuk memenuhi permintaan negeri Pahang ini ialah sejuta (1) meter padu sehari, atau 365 juta meter padu setahun X RM0.044 sen bersamaan dengan RM16.060 juta setahun.

Selain itu, aset-aset bekalan air seperti tanah, loji-loji rawatan, paip-paip serta tangki-tangki air yang sedia ada yang diuruskan oleh JBA Pahang selama ini yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM650 juta (kecuali tanah); masih kepunyaan Kerajaan Negeri tetapi PAIP dibenar untuk mengendalikannya.

“Jika selama ini, Kerajaan Negeri menanggung beban hutang/pinjaman yang secara terkumpulnya sejak tahun 1980-an lagi ialah RM1,700 juta daripada Kerajaan Persekutuan;

“Kini, di bawah penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dengan wujudnya Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) di peringkat persekutuan, dan PAIP di perngkat negeri;

PAAB AMBIL-ALIH BEBAN HUTANG RM1,700 JUTA

“Beban hutang/pinjaman sebanyak RM1,700 juta kini diambil-alih sepenuhnya oleh PAAB, dan pula perlu dibayar kepadanya (PAAB) oleh PAIP,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi mengenai ‘beban’ yang kini tidak lagi perlu Kerajaan Negeri pikul .

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri yakin dengan pengkorporatan dan wujudnya PAIP, akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan dan kecekapan operasi bekalan air di negeri ini demi kesejahteraan rakyat juga.

PAIP akan mempunyai sedikit kebebasan dan lebih keupayaan untuk menumpukan usaha ke arah meningkatkan hasil dengan memfokus kepada bidang-bidang seperti mengurangkan ‘Non-revenue Water’ (NRW) disamping menguatkan lagi kerja-kerja penguatkuasaan dan pengutipan tunggakan.

NRW negeri Pahang setakat ini boleh dikatakan antara tertinggi di negara ini, iaitu sehingga 56 peratus. Tingginya peratusan ini adalah ekoran kawasan liputan pembekalan air bersih atau dirawat yang luas hingga meliputi 100 peratus kawasan bandar di negeri ini, serta hingga 96 peratus kawasan luar bandar.

Di sebuah negeri pembangkang misalnya, NRWnya mungkin rendah setakat 51 peratus, tetapi perkhidmatan bekalan air bersih atau dirawat di negeri itu meliputi tidak sampaipun 60 peratus dari seluruh negeri tersebut.  

KERAJAAN TAK BERHASRAT NAIKKAN TARIF AIR

PAIP sebagai sebuah entiti yang masih 100 peratus milik Kerajaan Negeri, tentu sekali Kerajaan Negeri akan memastikan kepentingan rakyat-jelata sebagai pengguna perkhidmatan air, akan sentiasa terpelihara.

Sebab itulah, keputusan sama ada untuk menyemak semula atau tidak, kenaan tarif air masih lagi terletak di tangan Kerajaan Negeri selaku ‘stakeholder’ utama dan sehingga kinipun, seperti yang kerap dikatakan oleh Menteri Besar, ia tidak berhasrat melakukannya.

Namun, rakyat-jelata atau para pengguna harus sentiasa sedar betapa kos untuk merawat dan membekalkan air bersih atau dirawat adalah tinggi, dan pula sentiasa meningkat setiap tahun.

Kos merawat masa kini ialah kira-kira RM1.35 untuk setiap meter padu, sedangkan caj yang dikenakan ke atas rakyat adalah rendah dan, tidak pula dinaikkan sejak 1982 atau 30 tahun lepas!

Caj-caj tersebut masih kekal rendah iaitu 37 sen semeter padu bagi pengguna domestik –
 yang merupakan 70 peratus daripada keseluruhan 350,000 pengguna di negeri ini;

PENDEKATAN ‘MESRA-RAKYAT, MESRA-PELABUR’ YANG BERTERUSAN

Caj sebanyak 84 sen semeter padu bagi pengguna industri (sepertimana bakal dinikmati oleh kilang pemprosesan logam tanah jarang milik Lynas Malaysia Sdn Bhd, yang merupakan antara alasan kukuh untuk ia melabur di negeri ini);

Serta, caj sebanyak RM1.45 semeter padu bagi pengguna kedai dan komersil. Hanya segmen ini yang cajnya melebih kos, itupun cuma 10 sen semeter padu namun bilangan segmen ini tidaklah besar.

Oleh itulah, rakyat harus bersyukur dengan segala usaha Kerajaan Negeri yang disandarkan secara beristiqamah kepada pendekatan ‘Mesra-Rakyat, Mesra-Pelabur’ di bawah kepemimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan yang akan memasuki tahun ke-14 pada Mac ini.

Dan dengan kewujudan PAIP, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan rakyat khususnya, agar ia dapat menjalankan fungsi dengan cemerlang dan berkesan supaya rakyatlah juga yang dapat menikmati perkhidmatan bekalan air bersih atau dirawat, dengan lebih baik, insya-Allah. – Khabar  


MATA KE MATA; 

*** 1,276 kakitangan termasuk 183 kakitangan kontrak atau 96.01 peratus daripada kesekuruhan 1,329 kakitangan JBA Pahang, telah membuat pilihan untuk menyambung perkhidmatan lalu menyertai PAIP. 

*** Skim gaji PAIP akan turut diselaraskan apabila isu SBPA diselesaikan oleh Kerajaan. 

*** PAIP perlu bayar kira-kira RM16 juta setahun kepada Kerajaan Negeri kerana memperolehi air mentah yang masih di bawah kawal-selia Kerajaan Negeri. 

*** Terlepaslah Kerajaan Negeri daripada menanggung beban hutang daripada Kerajaan Pesekutuan sehingga mencecah RM1,700 juta.