Saturday, 11 February 2012

Remaja kita tak abai solat


… yang bukan Islampun tahu


KEWAJIPAN MENUNAIKAN SATU DARIPADA RUKUN ISLAM... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN “Pergi solat,” kedengaran jawapan secara selamba yang diberi oleh seorang pekerja Cina kepada pertanyaan rakannya seorang Muslim tentang ke mana perginya dua rakan sekerja lain – kedua-duanya wanita Muslim.

Perbualan ini kedengaran sedang kedua-dua pekerja lelaki tersebut sama-sama melayani pelangan di kaunter gedung dalam kompleks beli-belah terkemuka di bandar ini pada petang Sabtu, 11 Februari lepas.

Sebaik-baik mendengarnya, dua perkara meluru ke fikiran penulis. Pertama, betapa kedua-dua pekerja wanita berkenaan yang dalam lingkungan usia remaja 20-an, begitu menjagai solat lalu segera pergi menunaikan solat Maghrib ketika itu.

Kedua, betapa hal serta kewajipan tentang solat (memang disebut solat, bukan sembahyang) memang sudah difahami oleh yang bukan Muslim sepertimana pekerja Cina tersebut.

Oleh kerana kefahaman itulah maka wujud toleransi (tolak-ansur) antara sesama pekerja biarpun berbeza anutan agama dan amalan budaya masing-masing. Maka betullah yang dikatakan orang tentang uniknya kehidupan kemasyarakatan kita – ‘unity in diversity’.

TINGGI KESEDARAN TUNAI SOLAT REMAJA KITA

Jika itu peristiwa pertama berdasarkan apa yang penulis dengar, peristiwa kedua yang hendak disebutkan pula ialah berdasarkan apa yang penulis lihat ‘dengan mata kepala’ sendiri pada petang yang sama di kompleks beli-belah yang serupa.

Lokasi tepatnya ialah di laluan ke muka pintu surau lelaki di tingkat 3 kompleks beli belah tersebut, yang bersebelahan dengan sebuah gelanggang boling dan juga dewan-dewan panggung wayang.

Alangkah terkejut sambil itu bangga kerana, penulis perlu berbaris dalam kalangan para remaja, untuk memasuki surau tersebut untuk mengambil wudhu dan menunaikan solat Maghrib!  

Tidak mengapalah jika surau tersebut tidak sebesar mana. Bahawasenya ia disediakan oleh pengurusan kompleks dilengkapi pula dengan sejadah yang mencukupi sungguhpun tidaklah baharu semuanya, sudahpun satu rahmat.

Dan, semasa menunggu giliran untuk mengambil wudhu dan bersembahyang, penulis tidak pula mendengar remaja-remaja ini merungut-rungut.

Maka, dalam hati penulis berkata-kata, “Tinggi juga kesedaran golongan remaja kita terhadap kewajipan menunaikan solat. Ini membuktikan, bukanlah semua yang negatif sahaja apabila bercakap mengenai remaja kita rupanya… ”. – Khabar  


MATA KE MATA;

*** Bukan Muslimpun tahu istilah solat serta kewajipan seorang Muslim untuk mengerjakannya.

*** Uniknya masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya kita yang boleh hidup ‘unity in diversity’.

*** Berbaris bersama-sama kalangan remaja untuk menunaikan solat.

*** Bukanlah semua yang negatif sahaja apabila bercakap mengenai remaja kita.