Sunday 8 December 2013

Bil air bagi rumah mangsa banjir dikecualikan!




 tempoh pengecualiannya akan ditentukan, kata Menteri Besar

SERAH-TERIMA SUMBANGAN... 


WISMA BELIA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Demi meringankan lagi beban mangsa-mangsa banjir di negeri ini, Kerajaan Negeri menetapkan untuk mengecualikan pembayaran bil air bagi tempoh-tempoh tertentu, kepada mereka.

“… bil air PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) kita akan kecualikan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan selepas menerima barangan keperluan sumbangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mangsa banjir pada petang Ahad, 8 Disember, di sini.

“Kita akan tengok berapa haribulan hingga berapa haribulan (bil air ini akan dikecualikan),” katanya. Adalah dipercayai, ia akan merupakan tempoh yang munasabah termasuk ketika air diperlukan dalam kuantiti yang lebih daripada biasa, untuk kerja-kerja pembersihan rumah kelak.

Beliau juga memberitahu, Kerajaan akan lebih berhati-hati dalam kaedah penentuan mereka yang benar-benar menjadi mangsa banjir serta layak untuk menerima sumbangan RM500 sepertimana yang telah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak umumkan semalam.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menggunakan khidmat ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat termasuk parti-parti politik tunjang Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) untuk pengesahan.

BERSAMA-SAMA PASUKAN PERUBATAN HKL...


MANGSA BANJIR DISAHKAN, UNTUK TERIMA RM500

“Kalau seseorang itu benar-benar menjadi mangsa (banjir), disahkan oleh ketua masyarakat di situ walaupun dia tak pindah (ke pusat-pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan), kita akan bagi (RM500 itu),” katanya.

“Kalau ruang tamu masuk air (banjir), bolehlah (terima sumbangan RM500 itu)?” tanya seorang wartawan dari akhbar China Press, yang segera Dato’ Sri DiRaja Adnan jawab, “Hai tak boleh… Kita tengok juga… Itu (sebab kita) perlu pengesahan dari ketua masyarakat, ketua kampung”.  

Mengenai Perkampungan Sungai Isap dekat sini yang keseluruhannya mengalami banjir katanya, mangsa banjir yang menduduki rumah-rumah berkenaan secara menyewa mungkin terpaksa berkongsi sumbangan RM500 itu dengan tuanpunya rumah sewanya itu.

“Tuan punya (rumah sewa itu) perlukan bantuan sebab rumah dia musnah. Penyewa (yakni, mangsa-mangsa banjir) pula perlukan bantuan sebab barang-barang dia musnah. Ha, ini kita sedang fikirkan ‘mechanism’nya tapi buat masa ini, ada kemungkinan RM500 itu dibahagi dua, RM250 seorang,” katanya lagi.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan khabar-khabar angin antaranya mendakwa kononnya empangan atau benteng runtuh, atau kononnya akan berlaku gelombong kedua banjir di negeri ini.

ZIARAHI MANGSA...Mengambil kesempatan berada di Wisma Belia ini - satu antara dua pusat pemindahan mangsa banjir yang berhawa dingin lagi menyelesakan (sebuah lagi ialah di Kompleks SUKPA yang berdekatan), Dato' Sri DiRaja Adnan telah melawati, bertanya khabar, memberi semangat; mangsa-mangsa banjir ini. 

Beliau kelihatan seronok mengangkat anak kepada seorang mangsa banjir ini, dan anak ini pula - 'hantap' sungguh nampaknya, kelihatan gembira berada dalam dakapan pemimpin nombor satu negeri ini.    


JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN

“Jangan kita dengar khabar-khabar angin ini. Dengar pengumuman rasmi yang akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan (Negeri) atau sekali-sekala oleh Menteri Besar. Ikut yang itu, yang lain jangan dengar,” tegasnya.

Beliau setersunya menyatakan kekecewaannnhya dengan gelagat beberapa pemimpin parti pembangkang yang telah mempolitikkan isu banjir ini atau beliau istilahkan, ‘meng‘isu’kan’nya.

“… pembangkang datang bawa satu kereta kecil, bawa 200 bungkus makanan, (hendak) beri kepada orang untuk 800, untuk 1,200 (yang tentunya) tak cukup, (yang akhirnya menyebabkan) orang bergaduh.

“Tapi yang mustahak, (mereka) ambil gambar, ambil gambar (lalu dimuat-naikkan ke pelbagai medium berkaitan teknologi maklumat). Susah macam ni,” katanya.

“Ketepikan politik,” Dato’ Sri DiRaja Adnan sarankan. “Sayapun dah bagi arahan. Bantuan mesti diberikan kepada semua. Walaupun dia orang pembangkang, walaupun dia orang Barisan Nasional; beri semua. 

BERPERSIDANGAN AKHBAR... 


INI KERAJAAN RAKYAT, BERTINDAK PENUH PERI KEMANUSIAAN

“Sebab ini Kerajaan rakyat… Ini banjir, ini darurat jadi kita kena bertindak selaku seorang yang penuh peri kemanusiaan,” katanya dan menambah betapa pembangkang mudah-mudah menyalahkan Kerajaan ekoran bencana yang dialami ini.

Beliau juga memaklumkan betapa pasukan keselamatan banyak membantu dalam tempoh yang menyukarkan ini. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja katanya, telah berada di 16 lokasi di seluruh negeri ini dengan jumlah anggota 1,052 orang iaitu 56 pegawai dan 956 lain-lain pangkat.
“(16 lokasi itu ialah) di Kuantan, di Maran. Di Pekan, di Rompin, di Raub, di Bentong, di Jerantut, di Bera, di Temerloh, Lipis, Cameron Highlands – semua ada.  Mereka bersiap sedia,” katanya.

“Saya harap bersabar-sabarlah. ‘Looking at the massive destruction as the result of the flood, really saddened me you know’,” katanya lagi.

Mengenai sumbangan barangan keperluan oleh HKL yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kecemasan, Dato’ Sri Prof Dr Abu Hassan Ashaari, Kerajaan Negeri katanya, berterima kasih dan menghargai sumbangan ini.

BNBBC TURUT SUMBANG RM50,000

“Mereka juga membawa doktor perubatan untuk buat pemeriksaan kepada mangsa banjir ini sendiri dan Kerajaan ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada HKL khususnya Jabatan Kecemasan, kerana keprihatinan mereka kepada mangsa banjir di negeri Pahang ini.

“Dan, kita akan gunakan sebaik-baiknya. Kita juga menerima banyak bantuan dari banyak pihak dan kita akan memanfaatkan dengan seelok-eloknya,” katanya yang turut menerima sumbangan RM50,000 dalam bentuk cek daripada Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Selain Dato’ Sri Prof Dr Abu Hassan, yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Nurul Azali Sulaiman; Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Norhizan Ismail; Pengerusi, Majlis Kebajikan Negara, Dato’ Abdul Halim Ibrahim; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Zulkifli Yaakob; serta, Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani. – Khabar