Sunday 22 December 2013

"... jangan berebut, jangan cepat 'complain'. Sabar-sabarlah"


… saranan Menteri Besar kepada mangsa-mangsa banjir yang kini sedang diusahakan penyampaian sumbangan RM250 oleh Kerajaan Negeri dengan kumpulan pertama terimanya tengah hari Ahad ini.

Terbaharu, mangsa-mangsa banjir juga akan diusahakan untuk terima sumbangan peti ais dan televisyen.

AMBIL BERATNYA BAGINDA...


PERKARANGAN, MASJID MUTTAQIN, TANAH PUTIH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta mangsa-mangsa banjir di negeri ini agar dapat bersabar dalam menantikan pelbagai bentuk sumbangan yang bakal Kerajaan hulurkan.

Selain itu mereka juga diminta tidak mudah merungut atas apa-apa kesulitan yang dialami ataupun berebut-rebut apabila proses menghulurkan sumbangan-sumbangan berkenaan dilaksanakan.
    
“… jangan berebut, jangan cepat ‘complain’. Sabar-sabarlah. Ini bencana alam,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media sempena Majlis Penganugerahan Sumbangan kepada Mangsa-mangsa Banjir tengah hari Ahad, 22 Disember, di sini.

“Yang hari ini dapat 1,000 (keluarga),” katanya pada majlis disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang itu, dan menambah kata, “Mangsanya bukan (setakat) 1,000 keluarga, (tetapi turut melibatkan kira-kira) 13,000, 14,000 keluarga di Pahang ini.

“Sabarlah, akan dapat... Tak mahulah oleh sebab ada bantuan, nampak berebut-rebut sebagainya. Kerajaan tidak akan lupa, insyaAllah,” tegasnya dengan ahli Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin dan Presiden, Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Dato’ Abdul Azeez Rahim di sisi.

CERIA... KDYMM Tuanku kelihatan membuat 'gesture' tanda sukacitanya Baginda dengan taklimat luar teks yang telah dipersembahkan oleh Dato' Abdul Azeez. Yang turut kelihatan ialah DYMM Sultanah Pahang; Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; serta, Dato' Sri Dr Jamaluddin.


1,000 PERTAMA TERIMA RM250

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan satu lagi berita gembira bagi mangsa-mangsa banjir ini, iaitu ikhtiar dan usaha Kerajaan Negeri untuk turut menyumbang kepada mereka masing-masing sebuah peti ais dan televisyen.

Beliau seterusnya mengiyakan kepada keraguan wartawan betapa 1,000 orang yang menerima sumbangan RM250 daripada Kerajaan Negeri pada hari ini, merupakan kumpulan pertama, yang akan disusuli dengan yang lainnya kemudian.

“Saya ingin mengingatkan kesemua mangsa-mangsa banjir di negeri ini, hari ini adalah permulaan. Ini bermakna, mereka yang belum lagi menerima akan menerima apabila sampai giliran.

“Yang pastinya, Kerajaan Persekutuan melalui MKN (Majlis Keselamatan Negera) akan menyalurkan RM500 kepada satu keluarga dan Kerajaan Negeri akan ‘top-up’ RM250,” katanya.

Dan apa yang menjadi sumbangan oleh Kerajaan Negeri itu menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, tidak termasuk sumbangan tambahan yang dibuat menerusi Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET),  KP1M atau Tabung Haji (TH).

TILAM BUKAN SEBARANG TILAM, TILAM BERKUALITI JENAMA 'GOODNITE'... Sebahagian daripada 1,000 keluarga yang membawa pulang tilam sumbangan KP1M tengah hari Ahad itu.


SASET DI BAWAH YAM TENGKU ARIF TEMENGGONG, TURUT MENYUMBANG

Pada majlis tengah hari Ahad ini, SASET turut menyumbang masing-masing RM100 sebagai tambahan kepada RM250 yang Kerajaan Negeri hulurkan, manakala KP1M dan TH menyumbang antara lainnya, tilam, bantal dan dapur selain kain sarung, sejadah dan tudung.

Dato’ Abdul Azeez turut memberitahu betapa KDYMM Sultan Pahang telah menitahkannya selaku Pengerusi Eksekutif TH, agar dapat menyumbang kemudahan mengerjakan umrah kepada mangsa-mangsa banjir yang telah ditetapkan sebanyak 30 tempat.  

“Tuanku (telah perkenan) akan beri lagi 20 (tempat) maka 50 (mangsa-mangsa banjir ini) yang akan dapat kerjakan umrah atas titah KDYMM Tuanku,” katanya.

Yang turut berangkat pada majlis yang sama ialah DYMM Sultanah Pahang serta anakanda, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang yang turut mengetuai pertubuhan bukan Kerajaan, SASET itu.

Antara yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Timbalan Speaker, Dewan Rakyat yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Kuala Krau), Dato’ Ismail Mohamed Said;

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga wakil rakyat parlimen (BN - Rompin), Dato' Sri Dr Jamaluddin Jarjis; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga wakil rakyat parlimen (BN –Maran), Dato’ Ismail Mutalib; serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri. – Khabar