Saturday 7 December 2013

Tak perlu apologetik demi bantu tingkatkan taraf ekonomi Melayu, Bumiputera



“Ini hak kita. Ini kita mesti laksanakan tapi kita tidak nafikan hak kaum lain,” kata Perdana Menteri tentang perlunya langkah-langkah ‘affirmative’ untuk terus membantu Melayu, Bumiputera

DATO' SRI MOHD NAJIB... Seperti terpapar pada skrin, semasa menyampaikan penggulungan selama sejam tiga minitnya, petang Sabtu itu. 


PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak meminta semua pihak agar tidak bersikap apologetik dalam usaha membantu Melayu dan Bumiputera menerusi langkah-langkah ‘affirmative’ demi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Di sesetengah negara luar katanya, langkah-langkah ‘affirmative’ diperkenal dan dilaksanakan bagi membantu golongan minoriti, yang merupakan segmen rakyat yang terpinggir di negara berkenaan.

Ini menurutnya, ada ditimbulkan semasa beliau ditemubual pada wawancara khas dalam rancangan terbitan stesen televisyen swasta – Cable News Network (CNN) semasa beliau berada di London baru-baru ini.

“Di sesetengah negara, soal ‘affirmative action’ ini (dirangka dan dijruskan) kepada mereka yang minoriti. (Kerajaan) mereka tak mahu minoriti terpinggir.

“Tapi dalam negara kita, kalau majoriti (kira-kira 67 peratus rakyat negara ini ialah Melayu dan Bumiputera) terpinggir, lagi parah keadaannya dalam negara kita. Lebih parah saya kata.

POTRET LAKARAN, TUJUH NEGARAWAN TERBILANG... Inilah lakaran ketujuh-tujuh tokoh yang pernah mengetuai parti keramat UMNO kita ini - bermula dengan Dato' Onn Jaafar; disusuli Tunku Abdul Rahman Al-Haj kemudian Tun Abdul Razak Hussein; hinggalah kepada Tun Hussein Onn diikuti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi; serta Dato' Sri Mohd Najib. 

Potret ini terdapat pada satu sudut dinding di Aras 4, PWTC yang serba-sibuk dengan laluan perwakilan sempena PAU ke-67 ini. 


BILA MASA KAUM LAIN TERBANTUT PERKEMBANGAN MEREKA?

“Sebab itulah saya kata, demi keadilan sosial, dan kestabilan jangka panjang, orang Melayu dan Bumiputera mesti ditingkatkan kedudukan mereka. Seimbang, kongsi kekayaan. Itu dia saya kata. Jangan apologetik. Ini hak kita. Ini kita mesti laksanakan tapi kita tidak nafikan hak kaum lain,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib yang juga Presiden UMNO, berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-67 petang Sabtu, 7 Disember di sini.

Penggulungannya secara luar teks itu, mengambil masa kira-kira sejam tiga minit (63-minit), bermula pada kira-kira 4.44 petang dan berakhir pada kira-kira 5.47 petang.    

Beliau kemudian bertanya sinis, yang pada setiap kali pertanyaan itu dijawab oleh para perwakilan yang hadir secara serentak dan berteriak, “Tidak…”

“Bila masa kaum lain terbantut perkembangan, kedudukan mereka dalam negara kita? Bila masa…?”

KAWASAN LOBI PWTC...


KERAJAAN PIMPINAN UMNO ADIL KEPADA SEMUA

“Bila masa kita laksanakan DEB (Dasar Ekonomi Baharu, 1970 – 1990), adakah mereka ini terpinggir? Adakah rezeki mereka terputus?”.  

Dengan jawapan tidak tersebut, Dato’ Sri Mohd Najib menyimpulkan, “Terbukti bahawa Kerajaan pimpinan UMNO adalah adil kepada semua kaum di negara ini,” yang disusuli  tepukan oleh para perwakilan sekelian.

“Jangan menuding dekat kita kata ‘we are racist’lah, inilah, itulah. ‘We are not racist. UMNO has never been racist. UMNO has always been very fair to all…,” katanya lagi dan menambah;

“Dan kita nak mereka bersama-sama dengan kita. Orang Cina, India, Iban, Kadazan semua, sama-sama dengan kita, ‘move forward together’ tetapi kepimpinan negara ini, terajunya mesti dipegang oleh parti UMNO ini,” yang diikuti dengan tepukan dan sorakan.

Beliau seterusnya menyebut tentang komitmennya serta rakan-rakan dalam kepimpinan Kerajaan dan parti, untuk memastikan agar langkah-langkah meningkatkan taraf ekonomi  Melayu dan Bumiputera dijayakan termasuk menerusi peranan yang bakal dimainkan secara lebih berkesan oleh syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

KPI DAN ‘SCORE CARD’ UNTUK PANTAU KETUA-KETUA GLC

Ke arah itu katanya, beliau telahpun menemui Ketua-ketua Eksekutif bagi kesemua GLC serta telah menegaskan kepada mereka betapa Agenda Pemerkasaan Bumiputera ia juga sebahagian daripada Agenda Nasional yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Untuk memperlihatkan kesungguhan kita memantau perkara ini dengan teliti maka kita akan jadikan ini sebagai KPI (Key Performance Index) pada setiap CEO GLCs dan saya dan rakan-rakan akan memantau perkara ini.

“(Pada setiap) akhir tahun, saya nak tengok ‘report card’nya. Saya nak tengok ‘score card’nya. (Jika) ‘score card’nya baik, baiklah, boleh sambung (kontrak sebagai CEO) agaknya…,” katanya tegas.  

Dalam pada itu, beliau membayangkan betapa rakyat sendiri haruslah menghadapi ketidak selesaan sedikit demi keselesaan jangka masa panjang, berkaitan langkah Kerajaan merasionalisasikan subsidi yang bernilai kira-kira RM46,000 juta ketika ini.

Antara tindakan perasionalan subsidi itu ialah dengan menarik balik subsidi ke atas gula sebanyak 34 sen, selain kelulusan yang Kerajaan berikan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menaikkan kadar tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari depan.

TAKE SHORT TERM PAINS, GET LONG TERM GAINS

Langkah itu menurutnya, ialah seumpama ‘take some short term pains, to get long term gains’ lalu memberikan analogi, “… macam kalau kita sakit, kita kena makan antibiotik betul tak?

“Kalau makan ‘antibiotik, kena habiskan ‘course’nya. Kalau seminggu, seminggu(lah ubat antibiotik itu diambil). Inilah yang saya kata, kalau nak sihat, kita kena perkukuhkan ekonomi kita. Bila ekonomi kita kukuh, kita boleh beri bantuan lebih lagi pada masa akan datang.

“Tak apalah, ‘short term pain’ sikit. Bukannya sakit sangat, tak… Kita jentik sikit sahaja, tapi kesihatan, insyaAllah, kita akan lebih sihat. Dan insyaAllah, apabila fajar menyinsing (pada tahun) 2020, kita akan jadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya itu juga, beliau turut mengingatkan tentang betapa Kerajaan pimpinan UMNO, sentiasa bersungguh-sungguh dalam usaha untuk meninggikan syiar dan syariat Islam di negara ini.       

Betapa pula pada PAU kali ini, beliau menerima kunjungan tiga (3) tokoh Islam dari luar negara yang mana ketiga-tiganya pula mengiktiraf UMNO dan Kerajaan yang dipimpinnya, telah memainkan peranan besar dalam perkembangan Islam.

PENGIKTIRAFAN TOKOH ISLAM TERHADAP UMNO

Ketiga-tiganya ialah pemimpin-pemimpin dari kumpulan Fatah dan Hamas dari Negara Palestin yang bergolak – masing-masing Dr Abdullah Abdullah dan Khaled Mashal, serta, Imam Masjidil Haram, Mekah, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi.

“Apa kata Dr Abdullah? Dia kata Malaysia, ‘under UMNO leadership, is an inspiration to the Muslim world’,” katanya yang disusuli tepukan.

Khaled Mashal pula – pemimpin Hamas yang pernah diracuni pasukan perisikan Mossad yang di bawah pentadbiran Kerajaan Israel hinggalah diancam oleh Kerajaan Jordan pimpinan Raja Hussein ketika itu, untuk membatalkan perjanjian damai Jordan-Israel lalu Kerajaan Israel memberikan ‘antidote’ atau penawar maka sembuhlah Khaled;

“Selama ini dia (Khaled) akui kepada saya, kami lebih rapat dengan PAS. Kami lebih mengenali PAS. Tapi hari ini, kami akui bahawa perjuangan UMNO itulah perjuangan yang berada di atas landasan yang betul,” kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disusuli tepukan.

“Malah dia (Khaled) kata, Malaysia boleh bangga kerana Malaysia adalah ‘role model’ kepada dunia Islam.  

MAHU UMNO DAMAIKAN FATAH/HAMAS

“Dua pemimpin Islam yang bertelagah, yang tak boleh bersama dengan satu sama lain, dua-dua menghormati kita dan dua-dua kata kalau boleh, dia nak UMNO bantu supaya boleh damai antara Fatah dan Hamas,” katanya yang sekali lagi disusuli tepukan.

Mengenai pertemuannya dengan Syeikh Dr Khalid pula katanya, secara di luar jadual, Imam Masjidil Haram itu telah sudi mengimamkan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman dalam bangunan PWTC milik UMNO.

“Dan dia (Syeikh Dr Khalid) puji kita kerana dengan jelas katakan, ‘Sunnah wal Jamaah’ ialah pegangan keIslaman kita,” katanya sambil menyebut betapa usaha untuk meminda Fasal 3 (3) dalam perlembagaan parti akan dilaksanakan dengan menggantikan ayat ‘Islam agama rasmi’ kepada ‘Islam agama Persekutuan dan Islam pegangan Sunnah wal Jamaah’.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya mengingatkan para perwakilan sekelian betapa mereka harus sedar bahawa, sepertimana parti-parti politik luar negara seperti Kongres di India; Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun; dan Golongan Karyawan (Golkar) di Indonesia, parti UMNO juga tidak kebal.

“Kena ubah cara buat kerja. Tak boleh lagi ‘business as usual’. Jiika kita tak faham ‘the new environment and the new politics’, kita akan kecundang. Parti UMNO tak kebal sepertimana (juga dengan) parti-parti Golkar, LDP dan Kongres.

UMNO TIDAK KEBAL

“Kita tak kebal. Hanya parti yang sanggup berubah ikut tuntutan zaman, menjadikan ia relevan; parti itu akan terus memegang tampuk kepimpinan negara,” katanya.

Pada awal penggulungannya, Dato’ Sri Mohd Najib ada berseloroh tentang seorang Melayu yang tidak memahami Bahasa Inggeris, tetapi berada di kota London lalu berlakulah perbualan beliau dengan seorang orang putih di sana.

“…dia (orang Melayu berkenaan) ditanya – sebab nama orang kita panjang, orang putih ini tanya; ‘How do you like to be addressed?

“Dia (orang Melayu itu) jawab, ‘Bentong, Pahang’,” yang serentak itu menderaikan ketawa, kerana orang Melayu tersebut tersalah faham kepada soalan yang bertanyakan bagaimana hendak memanggilnya, dengan alamat rumahnya.

“Itulah akibatnya, kalau kita tak mahir dalam Bahasa Inggeris.

“Tapi saya percaya, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan yang dibawah Tan Sri Muhyiddin, akan dapat tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita," kata Dato' Sri Mohd Najib. – Khabar