Saturday 26 July 2014

Daging batang pinang, 2 kilo!


… persiapan hari memasak sebelum 1 Syawal 1435H.

SESAK DI GERAI JUAL DAGING... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Daging batang pinang 2 kilogram, sebagai bahan utama untuk memasak rendang daging pada Ahad, 27 Julai bersamaan 29 Ramadan 1435H, bagi menghadapi Hari Raya Aidil Fitri dijangka Isnin, 28 Julai atau 1 Syawal 1435 H.

Harga sekilogram ialah RM26 – harga sepertimana tahun lepas juga, X 2 kilogram = RM52, tetapi diberi diskaun RM2 maka bayarlah cuma RM50. Memadailah untuk sekeluarga empat beranak.

Seperti biasa, di mana lagi boleh diperolehi daging batang pinang ini jika tidak di Pasar Besar Kuantan, dekat sini. Begitu jugalah dengan bahan-bahan lain yang boleh diperolehi seperti santan, serai, lengkuas, halia, daun kunyit, cili kisar, bawang merah dan bawang kecil.

Kacang tanah juga boleh didapati di Pasar Besar Kuantan ini, untuk menu seterusnya bagi membuat kuah satay. Lemang serta ketupat nasi dan ketupat pulut pula, sudah sedia dimasak untuk dibeli sahaja.

Oleh kerana semua inilah maka Pasar Besar Kuantan terus menjadi tumpuan pada hari memasak, terutamanya sejak awal pagi hinggalah ke tengah hari, yang menyebabkan laluan kenderaan ke sini sesak manakala gerai-gerai jualan seperti daging dan santan dikerumuni orang bagi membelinya.

Dan, inilah antara ‘feel’ serta aura yang sememangnya hendak dirasai, sebagai ‘prelude’ kepada sambutan penuh meriah, Hari Raya Aidil Fitri pada esoknya, insyaAllah. 

SESAK KENDERAAN, MEMASUKI JALAN PASAR 2... 

TEMPAT LETAK KERETA BERSEBELAHAN PADANG MPK 2... Bagi mengelak terlibat dalam kesesakan kenderaan di Jalan Pasar 2, lebih baiklah meletakkan kenderaan di sini yang jaraknya tak sampaipun 200 meter dari Pasar Besar Kuantan.  

SESAK DI DEPAN GERAI JUAL DAGING DI TAPAK PASAR TANI DEPAN UTC... Ini pula kesesakan yang dapat dikesani di depan gerai jual daging di tapak pasar tani yang berdekatan dengan Pasar Besar Kuantan. 

Kelihatan, semuanya sabar menanti bagi mendapatkan pesanan daging segar masing-masing.  

SEDANG MENGGELEGAK DI ATAS DAPUR... Inilah rendang daging batang pinang, air tangan isteri dan kedua-dua anak dara penulis; sedang menggelegak di atas dapur. Jangan biar sampai hangit... – Khabar