Tuesday 29 July 2014

Mai pekena nasi kandaq beghatoq



… sanggup beratur hingga kira-kira sejam demi menikmati keenakan nasi kandar di gerai bawah pokok ketapang, berdepan bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali

LAUK APA?... Inilah keadaan di gerai 'nasi kandaq beghatoq' ini. Lauk-lauk dan kuah sedang diceduk ke pinggan pelanggan. 
 

SEBUAH HOTEL BAJET, JALAN BAGAN LUAR, BUTTERWORTH – Sanggup beratur hingga sepanjang 50 meter dan menghabiskan masa hingga sejam sampai lenguh-lenguh kaki, demi menikmati  sebuah hidangan nasi kandar?

Apa pula hendak dikatakan apabila ada antara yang beratur ini ialah mereka yang sanggup pula bermotosikal kuasa besar dari Ipoh ke sini, semata-mata untuk menjamahnya?

“Sejam sahaja dari Ipoh ke sini. Kalau hari biasa, dengan kelajuan 160 km sejam, cuma 45 minit,” kata seorang anak muda yang beratur di depan penulis, ketika sama-sama menunggu giliran untuk memesan nasi kandar di sebuah gerai bawah pokok ketapang di depan bangunan Telekom Malaysia off Jalan Kampung Benggali di sini, malam Selasa, 29 Julai bersamaan 2 Syawal.

Dan menurut anak muda ini yang kemudian penulis diberitahunya ialah seorang guru di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, beliau dan rakan akan kembali ke Ipoh sebaik-baik selepas ‘pekena’ nasi kandar ini!

“Apa yang istimewa sangat nasi kandar ini?” tanya penulis kepada anak muda ini. “Tak taulah… Mungkin kari dan kuah-kuah lain yang di‘taruh atas’ nasi putih panas-panas,” jawabnya pula.

INI BAHARU SEPARUH DARIPADA PANJANGNYA BARISAN YANG BERATUR... Di luar sana dengan kenderaan baharu memasuki laluan ini, ialah Jalan Bagan Luar. 


RM12.60 UNTUK NASI PUTIH + SOTONG + IKAN MERAH

Sudah agak lama juga penulis dikhabarkan mengenai nasi kandar ini khususnya oleh Ketua UMNO Bahagian Bagan, Dato' Ir Shaik Hussein Mydin yang ditemui di Bandar DiRaja Pekan April lepas. Cuma pada malam Selasa, 29 Julai bersamaan hari kedua, Hari Raya Aidil Fitri 1435 H, penulis yang berkunjung ke sini bersama keluarga bagi menziarahi keluarga mertua di Kubang Semang dekat sini, berkesempatan untuk mencubanya.

Setibanya ke kawasan tapak gerai ini berjalan kaki dari hotel 2-bintang ini pada kira-kira 11.05 malam, barisan beratur sudahpun panjang. Ketika itu, gerai ini masih kosong menantikan ketibaan segala nasi dan lauk-pauk yang sepatutnya.

Hanya pada 11.20 malam, baharulah segalanya tiba dengan sebuah kereta tolak. Selepas itu baharulah perniagaan bermula maka pesanan seorang demi seorang diterima yang ada antaranya makan di kawasan yang disediakan atau ‘tapau’ termasuk untuk makan di bilik hotel seperti penulis.

Tiba sahaja giliran penulis pada kira-kira 12.10 tengah malam, Rabu, 30 Julai  (selepas kira-kira sejam beratur), maka pesanlah penulis untuk bungkus nasi putih penuh campur ikan merah, sotong dan sayur kobis, semuanya – RM12.60.

Kemudian, pesan dan beli pula sebungkus teh ais dari gerai bersebelahan, kembalilah penulis berjalan menyeberangi Jalan Bagan Luar untuk ke bilik hotel ini bagi sesi menikmati hidangan dengan sekeluarga empat beranak.

BERATUR MENUJU KEENAKAN... Terletak di bawah pokok ketapang, lauk-pauk bagi jualan di gerai ini dikatakan datangnya dari Restoran Nasi Kandar Jamal Mohamed terletak cuma kira-kira 60 meter dari tapak gerai ini. 

Gerai di bawah pokok ketapang ini dikatakan dibuka sebagai saluran tambahan kepada apa yang boleh turut diperolehi di restoran berkenaan (kiri sekali, kelihatan sebahagiannya dalam foto ini). 


ESOK KITA PEKENA LAGI

Sebaik-baik bungkusan dibuka, terasa segar dan aromanya nasi kandar ini yang hendak dicuba rasa buat pertama kalinya. Tanpa disedari, sebungkus nasi kandar dihabiskan dalam tempoh yang singkat sahaja. Masing-masing beri ‘thumbs-up’ kepada keenakannya.  

Dan esok, ahli keluarga penulis berpesan, kita ‘pekena’ lagi ya. “Boleh,” jawab penulis, “… tapi siapa pula yang sanggup pergi beratur?” penulis tanya semula yang tidak memperolehi apa-apa jawapan. 

RESTORAN NASI KANDAR JAMAL MOHAMED, JALAN KAMPUNG BENGGALI, BAGAN (BUTTERWORTH)... Kelihatan dalam foto ini, di hujung jalan sana. – Khabar