Sunday 26 April 2015

Tiga (3) projek PR1MA Negeri di Rompin sahaja!



… dengan kos kesemuanya, RM192.24 juta, bakal bina 680 unit di tiga (3) lokasi di Sungai Puteri, Pontian dan Muadzam Shah

“… kita akan rasmikan 4 hari bulan (Mei). Ini bukan sebab pilihanraya, tidak. Ini semua dah berjalan tapi sebab ada pilihanraya ini, kita ambil kesempatan untuk mengumumkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

KEMESRAAN PEMIMPIN PERSEKUTUAN DAN NEGERI KITA... Dengan hubungan mesra sebeginilah yang terus menjamin kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi membangunkan negara dan negeri demi kesejahteraan rakyat-jelata. 

Yang turut kelihatan tersenyum girang ialah wakil rakyat setempat, Dato' Sri Maznah Mazlan (BN - Muadzam Shah).

Foto ini dirakam semasa Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri dengan warga pendidik daerah Rompin pada petang Ahad, 26 April di Auditorium, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Muadzam Shah, Rompin. 
 
                                    
SMK SUNGAI PUTERI, KUALA ROMPIN, ROMPIN – Kerajaan Negeri akan melaksanakan tiga (3) projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri di daerah Rompin ini, dengan kos RM192.24 juta bagi membina 680 unit rumah yang dijual pada harga RM150,000 sebuah.

Ketiga-tiga projek ini ialah – pertama, di Sungai Puteri ini, yang akan dimajukan oleh Capaian Kencana Sdn Bhd di atas tanah seluas 16.65 hektar dengan kos RM64.27 juta bagi membina 260 unit;    

Kedua, di Pontian, yang akan dimajukan oleh Genuang Mineral Resources Sdn Bhd di atas tanah seluas 18.7 hektar dengan kos RM54.37 juta bagi membina 160 unit.

Dan ketiga, di Muadzam Shah, yang akan dimajukan oleh Geofound Sdn Bhd di atas tanah seluas 24.3 hektar dengan kos RM73.6 juta bagi membina 260 unit juga.

“… kita akan rasmikan (pada) 4 hari bulan (Mei). Ini bukan sebab pilihanraya (kecil Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei ini), tidak. Ini semua dah berjalan (sejak sekian lama) tapi sebab ada pilihanraya ini, kita ambil kesempatan untuk mengumumkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

MEMANDU UJI '3-SEATER BUGGY'... Tan Sri Muhyiddin kelihatan sedang memandu-uji kenderaan yang direka khas oleh pelajar-pelajar kejuruteraan Uniten. Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan gembira mengangkat tanda bagus ialah calon PRK Parlimen kawasan Rompin, Dato' Hasan. 

RM1.1 JUTA UNTUK ATASI MASALAH AIR DI SUNGAI PUTERI
      
Beliau berkata demikian pada penghujung ucapan luar teks 14-minitnya sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) & Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) anjuran Yayasan Pahang (YP) pagi Ahad, 26 April di sini.

Beliau juga berkata betapa pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, masalah bekalan air di kawasan perumahan Sungai Puteri ini telah dibangkit dan dibincangkan, yang berpunca daripada tekanan air rendah.

“Saya telah minta PAIP - Pengurusan Air Negeri Pahang Bhd untuk pergi semak, Rupanya, paip semuanya lama-lama. Jadi kita setuju untuk buat baharu.

“Kita akan keluarkan peruntukan RM1.1 juta untuk membaiki sistem paip air ini di perumahan Sungai Puteri dan ianya akan siap dalam tempoh enam (6) bulan lagi, in-sya-Allah,” katanya.

Sempena kehadirannya pada majlis anjuran YP yang mana beliau juga ialah Pengerusi, Lembaga Pengarahnya, sebahagian besar ucapan luar teksnya semestinyalah berkisar mengenai YP serta peranan besarnya selama ini.

MERAI DAN MENGHARGAI KEHADIRAN 'BATIN NAN'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diraikan kehadirannya oleh gadis-gadis Orang Asli ini, semasa tiba petang Ahad, 26 April di padang bolasepak Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik bagi menyampaikan hadiah sempena Pertandingan Bolasepak Piala JAKOA 2015. 

Menyusul di belakangnya ialah Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dato' Hasnan Hassan (berbaju korporat biru-putih).  

BANTUAN PENDIDIKAN MENINGKAT KEPADA RM80 JUTA SEKARANG

Ketika mula-mula YP ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Menteri Besar yang juga Pengurus Besar YP ketika itu, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak katanya, peruntukan yang disediakan untuk bantuan-bantuan pendidikan hanyalah bernilai RM1.5 juta.

Nilai itu kemudian ditingkatkan kepada RM30 juta semasa Dato’ Sri Mohd Khalil Yaakob – kini Tun, Yang Dipertua Negeri Melaka; ialah Menteri Besar sekaligus Pengerusi YP.

“Sekarang ini, untuk belanja (bantuan) pendidikan sahaja -- beri pinjaman, biasiswa sebagainya; RM80 juta (daripada) bajet keseluruhan Yayasan Pahang, RM200 juta,” katanya yang juga Pengerusi YP selepas Dato’ Sri Mohd Khalil.

Sebelum ini katanya lagi, punca pendapatan YP ialah menerusi penjualan kepada penender-penender tertinggi bagi kawasan-kawasan balak yang diberikan kepadanya oleh Kerajaan Negeri; selain Kerajaan Negeri turut menyuntik dana RM6 juta setahun kepadanya.

“Tapi sekarang ini, sudah tujuh tahun, lapan tahun, Kerajaan Negeri tak bagi satu senpun kepada Yayasan Pahang. (Kawasan) balakpun dah tak ada lagi dah (diberikan kepadanya).

FOTO BERKUMPULAN BERSAMA-SAMA JUARA 9-SEBELAH, 'BLACK MAMBANG'... Yang turut sama dalam sesi bergambar ini selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Hasnan ialah Dato' Mohamad Jaafar (kanan sekali); Ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Wan Rosdy Wan Ismail; wakil Orang Asli di Parlimen Dato' Muhamad Olian Abdullah; Dato' Sri Maznah; dan, Pengarah, JAKOA Negeri, Encik Isa  Hamid (Berdiri, dua dari kiri).


PUNCA PENDAPATAN YP BAHARU – HASIL KELAPA SAWIT

“(Jadi), dari mana datangnya duit Yayasan Pahang (sekarang)? Sekarang ini, Yayasan Pahang mendapat kewangannya dari hasil ladang kelapa sawit, lebih kurang 75,000 ekar ladang kelapa sawit Yayasan Pahang telahpun membuahkan hasil dan dari sinilah datangnya duit kita berikan kepada anak-anak kita,” katanya lagi.

Kejayaan oleh YP ini menurutnya, adalah hasil kesepakatan dalam pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang dengannya jugalah, hal-hal berkaitan kebajikan dan pendidikan rakyat sentiasa terpelihara.

“… apapun orang bercakap tentang Kerajaan – buruk-buruk, busuk-busukpun Kerajaan Barisan Nasional, kita masih fikirkan tentang rakyat. Itu yang mustahak,” katanya yang secara spontan para hadirin bertepuk tangan tanda sokongan.

“Setiap kali – tanyalah Encik Mahmud (Nawawi, Pengurus Besar YP); Dato’ Munir (Yaakob), Dato’ (Ahmad) Munawar (Abdul Jalil) ahli Lembaga (Pengarah YP), tiap kali mesyuarat Lembaga (Pengarah), kita bincangkan hal anak-anak kita, pelajaran anak-anak kita.

“Sebab, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, tidak ada apa lagi Kerajaan dapat bekalkan kepada anak-anak kita melainkan bidang pelajaran. Bukan semua negara tumpukan soal pelajaran kepada rakyat tetapi kita di Malaysia (beri tumpuan itu).

HADIRIN ORANG ASLI YANG SETIA... 

SEMISKIN MANAPUN, AKAN TETAP DAPAT PELAJARAN

“Maknanya, semiskin manapun orang di Malaysia ini, dia akan tetap dapat pelajaran sebab banyak agensi (Kerajaan) yang membantu. Kerajaan Persekutuan kita ada PTPTN, ada MARA, ada bebagai-bagai lagi.

“Di Pahang ini kita ada Kerajaan Negeri, ada Yayasan Pahang untuk membantu. Sebab, Kerajaan yakin dan percaya, hanya melalui pelajaran sahaja maka setiap anak-anak akan punyai peluang untuk meneruskan kehidupan dalam dunia ini. Kalau tidak ada pelajaran, anak-anak akan tertinggal,” katanya.

Selain Encik Mahmud; Dato’ Munir; dan, Dato’ Ahmad Munawar; yang turut hadir pada majlis melibatkan 22 pelajar penerima HPC, dan, 348 pelajar penerima BSM bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Tioman ini ialah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar;

Wakil rakyat setempat (BN – Tioman) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Kapt (B) Mohd Johari Hussain; calon BN bagi PRK Parlimen kawasan Rompin ini, Dato’ Hasan Arifin; dan, Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Encik Rosdi Ismail. – Khabar