Monday 27 April 2015

UMP atas landasan kukuh untuk jadi institusi terbilang!



… kata Menteri Besar sempena Malam Anugerah Cendekia Bitara 2014

SIJIL PENGHARGAAN BUAT PEMENANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang bagi sati daripada kategori yang dipertandingkan. 

Selain Prof Dato' Dr Daeng Nasir; yang turut memerhatikan ialah Prof Dr Mashitah (kanan sekali) dan Prof Dato' Dr Yusserie. 

                            
HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pujian tinggi Kerajaan Negeri apabila Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri mengakui betapa ia berada pada landasan kukuh untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi terbilang di Negara ini.

“Berdasarkan pelbagai pencapaian dan kejayaan yang dilaporkan dalam ucapan Naib Canselor sebentar tadi,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 13-minitnya pada Malam Anugerah Cendekia Bitara 2014, Isnin, 27 April di sini;

“Maka dapatlah dirumuskan bahawa ump kini berada pada landasan yang kukuh untuk bergerak cemerlang sebagai sebuah institusi terbilang,” katanya yang berucap selepas ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Daeng Nasir Ibrahim.

Ke arah meneruskan kecemerlangan, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengingatkan tentang perlunya UMP memiliki kepimpinan yang terus unggul, yang berupaya menekuni realiti dunia dan mendepani cabaran semasa.

Yang seterusnya pula katanya, berupaya untuk diterjemahkan dalam bentuk aspirasi strategik universiti dengan secara efisien dan efektif.

SESI BERGAMBAR DENGAN PARA PEMENANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersesi gambar dengan pemenang - Dr Mohamed Ariff Ameedeen (kategori Sains Gunaan) dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Software; dan, Dr Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi (kategori Seni dan Sains Gunaan) dari Pusat Bahasa Modern dan Sains Kemanusiaan.
  

TUMPUAN SERIUS KEPADA AGENDA KECEMERLANGAN

“Sukalah saya menyeru kesemua yang terlibat dengan UMP – daripada peringkat  pengurusan atasan, akademia, birokrat dan mahasiswa; supaya memberikan perhatian yang serius kepada agenda kecemerlangan sebagaimana yang telah digariskan dalam Pelan Strategik UMP 2011-2015,” tegasnya.

Beliau juga berkata betapa selain UMP menetapkan kerangka governan yang distruktur dengan kukuh berdasarkan keperluan semasanya, tumpuan besar perlu terus dihalakan kepada pemerkasaan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C); penerbitan: dan, perundingan dalam kalangan warga akademia universiti ini.

“Melepasi tahun ke-13 usia penubuhannya pada 16 Februari lepas, UMP sepatutnya berupaya mendakap pendekatan yang lebih progresif, di luar perimeter konvensional dalam pelbagai aspek R&D&C, penerbitan dan perundingan;

“Sekaligus, menyerlahkan jenama unik universiti ini. Pra-syarat utama kepada keupayaan tersebut ialah pembudayaan kreativiti dan inovasi secara menyeluruh di UMP.

“Oleh itu, saya amat sukacita kerana pihak pengurusan UMP telah berjaya mengekalkan penganjuran Malam Anugerah Cendekia Bitara ini secara berterusan untuk tahun keenam berturut-turut.

LAGI SESI BERGAMBAR BERKUMPULAN... 
 

MENGAKAR-UMBIKAN BUDAYA KREATIVITI, INOVASI

“Malah, saya juga amat sukacita kerana usaha pembudayaan kreativiti dan inovasi telah turut diakar-umbikan secara serius dalam kalangan mahasiswa UMP melalui penganjuran Creativity, Innovation,Technology & Research Exposition (CITREX) sejak tahun 2012,” katanya lagi.

Selain Prof Dato’ Dr Daing sendiri, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah UMP, antara yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin;

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr Mashitah Mohd Yusoff; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Anugerah Cendekia Bitara 2014, Prof Dr Jasni Mohamad Zain. – Khabar