Monday 6 April 2015

Terlalu awal untuk bincang tentang kerusi parlimen Rompin



“Ia terlalu awal… Kita sedang bersedih, berdukacita. Tapi bila sampai masanya, saya akan berjumpa Presiden parti,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  

PENYERAHAN SIJIL PETUNJUK GEOGRAFI HALIA BENTONG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyerahkan sijil kepada wakil Jabatan Pertanian Negeri Pahang.
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini berkata, masih terlalu awal sekarang untuk menyebut soal kekosongan dan pengisian kerusi parlimen kawasan Rompin.

“Ia terlalu awal… Kita sedang bersedih, berdukacita,” katanya menjawab soalan wartawan mengenai hal tersebut setelah pulangnya ke rahmatullah, wakil rakyat parlimen kawasan itu, Tan Sri Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter petang Sabtu lepas, 4 April.

Pengebumian jenazah Allahyarham telah dilaksanakan selepas solat Asar pada petang semalam, Ahad, 5 April, di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, yang turut Dato’ Sri DiRaja Adnan hadiri.

“Tapi, bila sampai masanya, saya akan berjumpa Presiden parti,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri pada persidangan media sempena Majlis Penyerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong pagi Isnin, 6 April, di sini.

“Dan, saya telahpun ada seseorang dalam fikiran saya sekarang ini untuk mengambil tempat (sebagai calon BN, bagi menghadapi Pilihanraya Kecil kawasan Rompin itu nanti),” katanya.

APABILA KETUA EKSEKUTIF NEGERI BERBICARA... Para kenamaan di atas pentas, juga hadirin di lantai, sedang memberi tumpuan kepada apa yang sedang diperkatakan dalam ucapan luar teks 24-minit Menteri Besar kita ini.
 

DAFTAR DI BAWAH MYIPO SEBAGAI LANGKAH PEMULA

“Tapi terlalu awal (untuk bercakap mengenainya, sekarang),” tegasnya sekali lagi, yang sebelum itu, pada awal ucapan luar teks 24-minitnya pada majlis yang sama, telah mengajak hadirin membacakan Al-Fatihah untuk roh Allahyarham.

Kepada soalan susulan wartawan yang sama mengenai notis kekosongan bagi kerusi parlimen kawasan tersebut katanya, terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menguruskannya.

Pada persidangan media yang sama yang turut disertai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Hasan Malek; dan, Menteri Pengangkutan yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Bentong), Dato’ Sri Liow Tiong Lai, beliau turut ditanyakan mengenai majlis pagi Isnin ini.

Menurutnya, usaha mendaftarkan produk seperti halia Bentong hingga memperolehi Sijil Petunjuk Geografi oleh Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), hendaklah dilihat sebagai langkah permulaan.

Lanjutan kepada itu ialah langkah-langkah susulan atau ‘follow-up’ yang menurutnya, wajar dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti menggiatkan usaha promosi bagi produk-produk berkenaan.

CENDERAHATI UNTUK TETAMU UTAMA... Menyedari betapa Dato' Sri DiRaja Adnan ialah seorang yang gemar membaca dan pula, 'a fast reader'; sumbangan cenderahati berbentuk buku-buku ilmiah sepertimana diserahkan kepadanya oleh Dato' Abdul Manan ini, tentulah kena pada tempatnya.
 

SAMBAL HITAM, RENDANG, GULAI TEMPOYAK DAN PUDING RAJA

“Di negeri Pahang ini, kita akan berikan galakan, sokongan, dan kita nampak, ada lagi beberapa produk selain daripada Tenun Pahang DiRaja, halia (Bentong), kacang sempelit (Raub);

“… kita ada juga sambal hitam, kita ada rendang, kita ada juga gulai tempoyak, puding raja kita ada juga,” katanya.       

Sehubungan itu katanya, beliau akan membawa perkara ini kepada perbincangan pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri agar tindakan untuk mendaftarkan produk-produk tersebut dapat dilakukan dengan kerjasama MyIPO.

Selain Dato’ Sri Hasan Malek dan Dato’ Sri Liow; yang turut hadir pada majlis ini ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin dan Dato’ Abu Bakar Harun;

Timbalan Ketua Setiausaha, KPDNKK, Dato’ Azmi Latif; Pengerusi MyIPO, Dato’ Abdul Manan Ismail yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Paya Besar); serta, Ketua Pengarah MyIPO, Puan Shamsiah Kamarudin. 

MEMBEZAKAN ANTARA HALIA BENTONG DAN HALIA DARI KAWASAN LAIN... Sedang meninjau pameran yang turut dianjurkan bersempena majlis pagi Isnin ini. 

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN, PARA HADIRIN SEKELIAN... Sebahagian daripada mereka yang hadir pada majlis ini. – Khabar