Saturday 23 July 2016

Kejayaan MTNP kini lebih baik daripada yang diimpikan!



… titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang – pencetus idea penubuhannya

LEBIH DARIPADA YANG DIIMPIKAN... Raut-wajah tegas KDYTM Tengku Mahkota Pahang ketika bertitah pada majlis malam Jumaat. 
  

HOTEL MS GARDEN, KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang bertitah betapa kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) sekarang lebih daripada apa yang Baginda impikan ketika mencadangkan penubuhannya sejak lebih dua (2) dekad lepas.

Ini Baginda titah-sebutkan dalam ucapan bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran MTNP 2016 pada malam tadi, Jumaat, 22 Julai di sini.

Sehubungan itu Baginda berharap, kejayaan MTNP ini akan ‘membuka mata’ pihak swasta untuk berganding bahu bagi membangunkan lebih banyak pusat sepertinya di daerah-daerah demi melahirkan lebih ramai generasi penghafaz al-Quran.

Menurut rekod, MTNP bermula pada tahun 1996 sebagai Kelas Tahfiz al-Quran dengan menumpang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini. Dibimbing oleh guru-guru daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan para pelajarnya menerima biasiswa Yayasan Pahang. 

Selepas itu, ia berpindah dan menyewa di bangunan rumah teres di bandar Kuantan ini dan hanya pada tahun 2006, menduduki kampus tetapnya dalam kawasan Kompleks YP, Tanjung Lumpur dekat sini.

BERFOTO KUMPULAN BERSAMA PARA PENERIMA ANUGERAH... Selain KDYTM Tengku Mahkota dan paduka anakanda, YM Tengku Muhammad Iskandar (di sebelah kanan KDYTM Tengku Mahkota); 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Mahmud (berbaju Melayu warna biru muda); dan, Dato' Zulkifle (berbaju Melayu warna jingga).  


TIDAK LAGI TOLEH KE BELAKANG

Sejak itu, MTNP tidak lagi menoleh ke belakang bahkan terus mengorak langkah melakar dan mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan - baik daripada sudut hafazan,  akademik, mahupun ko-kurikulum.

Pencapaian terkini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2015; MTNP sekali lagi mencipta kejayaan luarbiasa dengan memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.38 hingga meletakkannya sebagai sekolah terbaik negeri Pahang, malah terbaik berbanding Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Dan ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan untuk tempoh tiga (3) tahun berturut-turut.

Yang menambah-banggakan lagi ialah apabila seorang pelajar MTNP - Adlan Mahmud, berjaya memperoleh 10 A+ daripada 14 pelajar yang memperolehi kejayaan sepenuhnya A di seluruh negara.  

Kecemerlangan MTNP dengan pencapaian pelajar-pelajar di peringkat Diploma Tahfiz al-Quran dengan terbaru, bagi peperiksaan sesi Mac lepas, 42 pelajar diploma atau 50 peratus, telah mendapat pangkat mumtaz dengan keputusan CGPA antara 3.7 dan 4.0.

KEJAYAAN MEMBANGGAKAN... Seorang daripada penerima anugerah kelihatan ceria ketika berhenti sejenak untuk dirakamkan foto bersama KDYTM Tengku Mahkota. Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan suka dengan gelagat anak kecil ini. 


TERDAPAT 593 ALUMNI MTNP

Ini merupakan keputusan kelas pertama yang telah meletakkan MTNP sebagai institusi tahfiz terbaik seluruh negara dan kejayaan ini pula merupakan buat kali kelapan berturut-turut!

Sehingga kini, MTNP telah melahirkan seramai 593 alumni yang sebahagiannya masih berada di universiti dalam dan luar negara.

“Saya terharu apabila dimaklumkan seramai 593 ‘alumni’ telah melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, ekonomi, kejuruteraan dan dalam masa sama masih mampu mengekalkan hafazan al-Quran,” titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.

Baginda seterusnya menitah-sarankan agar para ‘alumni’ MTNP ini dapat kembali menabur bakti berkhidmat dengan MTNP bagi memastikan kelestarian kejayaan dan kecemerlangannya.

Pada majlis malam Jumaat ini, KDYTM Tengku Mahkota diiringi paduka anakanda, YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

ANTARA YANG HADIR PADA MAJLIS MALAM TADI... 


69 PELAJAR TERIMA ANUGERAH

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir, begitu juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan;

Mufti Negeri, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Nawawi; dan, Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dato’ Zulkifle Mohd Ali Al-Hafiz.

Seramai 69 orang pelajar MTNP menerima anugerah masing-masing pada majlis ini. Mereka ialah 33 orang di bawah kategori Kecemerlangan Khatam al-Quran 30 juzuk; 13 orang di bawah Kecemerlangan SPM; 

Seramai 11 orang di bawah Kecemerlangan Diploma Tahfiz al-Quran; empat (4) orang di bawah Kecemerlangan Ko-kurikulum; dan, lapan (8) orang di bawah Kecemerlangan Syahadah al-Quran (8 orang). – Khabar