Saturday 30 July 2016

Lebih 50,000 orang hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pekan


Saya mesti ‘istiqamah’ pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Pekan mahupun Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia,” kata Dato' Sri Mohd Najib

PEMIMPIN UTAMA KITA, MESRA DENGAN RAKYAT-JELATA... Dato' Sri Mohd Najib sedang mencedukkan lauk ke pinggan anak ini - yang tentunya teruja mendapat layanan teristimewa daripada pemimpin nombor satu negara. 

Berada di belakang Dato' Sri Mohd Najib ialah wakil rakyat negeri, Dato' Sri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN - Peramu Jaya). 
 


TAMAN TASIK SULTAN ABU BAKAR, PEKAN – Lebih 50,000 orang masyarakat tempatan dan luar termasuk luar Pahang, menghadiri serta memeriahkan Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pekan yang juga Perdana Menteri pada Sabtu, 30 Julai di sini.

Selain meraikan tetamu-tetamu utama, tuanrumah – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, disertai isteri, Datin Sri Rosmah Mansor; turut beramah-mesra dengan yang hadir.

KDYMM Sultan Pahang turut berangkat, diiringi DYMM Sultanah Pahang, serta, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang yang disertai anakanda-anakanda Baginda.  

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob serta Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang termasuklah Dato’ Abu Bakar Harun, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Dato’ Sri Mohd Najib yang ditemui wartawan pada  majlis sama berkata, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara sungguhpun berdepanan dengan pelbagai cabaran dan tekanan dari dalam mahupun luar negara.

LAGI KEMESRAAN DENGAN PARA HADIRIN... Datin Sri Rosmah pula kelihatan sedang menyudukan juadah ke piring tetamu yang hadir. 

Selain Dato' Sri Mohd Najib, yang turut kelihatan ialah Dato' Abu Bakar (berbaju Melayu biru).  


‘TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN BAIK SELAMA INI’

“Tidak ada apa-apa, semua macam biasa... Saya mesti ‘istiqamah’ pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Pekan mahupun Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia,” katanya sepertimana Bernama melaporkan.

Kata-kata ringkasnya itu sebagai mengulas tentang pelbagai cabaran dan tekanan yang beliau hadapi sejak akhir-akhir ini, termasuk mengenai isu 1MDB yang dibangkitkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ketika ditanya pula mengenai majlis Rumah Terbukanya ini, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, kehadiran ramai tetamu pada majlis ini jelas membayangkan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.

“Terima kasih kerana telah beri sokongan yang baik selama ini. Memang hubungan saya dengan pengundi Pekan khasnya amat erat dan baik. Kalau tidak, mereka tidak mungkin akan datang.

“Rumah terbuka ini juga satu daripada cara saya untuk beramah mesra dengan kebanyakan mereka yang jarang saya jumpa,” kata Dato’ Sri Mohd Najib lagi.

KEMESRAAN SESAMA UMARA' - KERAJAAN PUSAT DAN NEGERI... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan berbual mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan dalam pada menjamu juadah di meja utama. 


KEJUTAN BUAT ‘BIRTHDAY PRINCE’

Pada majlis yang berlangsung antara 10.30 pagi dan 3.30 petang ini, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa termasuk nasi arab, kambing bakar, puding raja, dan sate yang terdapat di 165 gerai yang disediakan.  

Bernama turut melaporkan bahawa, sebanyak 3,000 batang lemang dan 5,000 biji ketupat yang disediakan secara gotong-royong oleh masyarakat pelbagai latar belakang di Parlimen Pekan; disajikan kepada tetamu.

Selain juadah, mereka yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datin Alyah, Ameng Spring, Azlan Typewriter; yang dipengacarakan oleh anak kelahiran Pahang - Sharifah Shahirah, dan, Karl Shafiq.

Paling istimewa, mereka turut berpeluang mendengar persembahan nyanyian oleh KDYTM Tengku Mahkota dengan dendangan lagu ‘Butakah Cinta’ yang dipopularkan oleh kumpulan Spring.

KDYTM Tengku Mahkota yang menyambut ulang tahun ke-57 keputeraan Baginda pada hari ini juga, menurut laporan Bernama lagi, diberi kejutan dengan acara memotong kek serta nyanyian lagu ulang tahun kelahiran oleh yang hadir.

Pada majlis yang meriah ini, Dato’ Sri Mohd Najib turut meraikan 100 bakal haji dari Parlimen Pekan dengan turut menyampaikan sumbangan barangan kelengkapan mengerjakan rukun Islam kelima itu kepada mereka. 

TURUT MERAIKAN YANG HADIR... Dato' Sri DiRaja Adnan tetap 'play host' kepada yang hadir sepertimana saudara dalam kerusi roda ini. Malah, meluangkan masa untuk sesi bergambar lagi dengannya. – Khabar