Friday 23 September 2016

Felda ditambah baik, kata Perdana Menteri


… demi beri limpahan manfaat kepada semua generasi peneroka

HADIAH BUAT PEMENANG UTAMA… Dato’ Sri Mohd Najib bersama-sama para pemenang termasuk Ketua Peneroka Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor, Encik Imran Daud selepas rancangan tanah itu diisytihar johan Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) dengan hadiah wang tunai RM1 juta.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Ahli Parlimen, Dato' Ismail Mohd Said (BN - Kuala Krau) (Barisan depan, tiga dari kiri); serta, Dato' Syed Ahmad Fuad (sebelah kanan Dato' Ismail). 


PERKARANGAN, STADIUM TUN ABDUL RAZAK, BANDAR TUN ABDUL RAZAK, JENGKA, MARAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah menyebut tentang usaha untuk menambak-baik tadbir urus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) agar para penerokanya termasuk generasi baharu, mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.

Menurutnya, sungguhpun Felda diiktiraf sebagai antara badan pembangunan ta­nah paling berjaya di dunia dan membawa limpahan manfaat kepada peneroka, beliau belum berpuas hati dan mahu melakukan lebih banyak penambah-baikan.

Ekoran itulah katanya lagi, makmal pemantapan Felda diwujudkan bagi membincangkan secara bersungguh-sungguh pelbagai aduan berkaitan isu pene­roka, yang hasilnya akan di­umumkan dalam tempoh terdekat.

“Ada antara 200 hingga 300 cadangan sama ada kecil atau besar yang akan saya kumpul dan rumuskan. Dalam masa terdekat kita akan umumkan apa yang kita lakukan dari segi penambahbaikan kepada tadbir urus Felda supaya warganya terus mendapat lebih banyak manfaat.

“Kita akan ambil langkah ke depan supaya masyarakat Felda lebih maju dan berjaya,” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2016 pagi Jumaat, 23 September di sini.

MENYEMPURNAKAN GIMIK PERASMIAN... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyempurnakan perasmian sambil Dato' Sri DiRaja Adnan, Tan Sri Mohd Isa dan Dato' Ismail (di belakang) memerhatikan. 

KERJASAMA INDONESIA BAGI TANGANI ISU HARGA KELAPA SAWIT

Kira-kira 15,000 peneroka dari seluruh negara menyertai sambutan ini. Antara yang turu hadir selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim;

Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad; Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Pengarah Besar Felda, Dato’ Hanapi Suhada; Ketua Pegawai Eksekutif, Felda Global Ventures, Dato’ Zakaria Arshad; dan, Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

Pada sambutan bertemakan ‘Mensyukuri Nikmat: Kebersamaan dan Kebersatuan’ itu, Dato’ Sri Mohd Najib turut merasmikan Stadium Tun Abdul Razak yang bernilai kira-kira RM99 juta ini, yang cirri utamanya ialah menggunakan rumput tiruan bertaraf dunia.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya berkata, Kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan harga komoditi kelapa sawit termasuk menerusi kerjasama dengan Indonesia yang kini menunjukkan hasil positif.

BUAL MESRA ANTARA DUA PEMIMPIN UTAMA KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan berbual-mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Dato' Abu Bakar memerhatikan. Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Ishak (kiri sekali). 


NEGARA LAIN TAK MAMPU BUAT SEPERTI MALAYSIA

“Kita ada langkah-langkah supaya harga sawit akan lebih baik walaupun hakikatnya itu bergantung kepada keadaan ekonomi dunia yang kita tiada kuasa me­ngawalnya,” ujar beliau.

Beliau juga berkata betapa kejayaan Felda yang diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang meskipun ba­nyak negara seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modulnya, namun program itu tidak berjaya dilaksanakan.

“Apabila melawat Felda mereka kagum dan berhasrat untuk membawanya pulang ke negara masing-masing. Kita sendiri hantar rombongan Felda untuk membantu.

“Bagaimanapun, tidak menjadi kerana kerajaan mereka tidak mampu melaksanakannya melainkan kita di Malaysia yang berani dan dapat membangunkan Felda sehingga berjaya serta dikenali di peringkat antarabangsa,” tegasnya. 

KENAMAAN YANG TURUT HADIR... Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah (dari kiri) Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Sharkar Shamsuddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato' Shahaniza Shamsuddin, Dato' Shafik Fauzan Sharif, Dato' Norol Azali Sulaiman; 

serta, Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri Mohamad Jaafar, wakil rakyat negeri, Dato' Sri Maznah Mazlan (BN - Muadzam Shah) dan wakil rakyat parlimen, Dato' Hasan Ariffin (BN - Rompin). – Utusan/Khabar