Tuesday 6 September 2016

Jangan benarkan pengaruh IS/Daesh resapi sekolah-sekolah agama dan NGO Islam kita



… saran Menteri Besar pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Institusi Pendidikan Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI) kelolaan ABIM

SAMA-SAMA MELIHAT MODEL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengamati model di bawah khemah khas. Selain Encik Mohamad Raimi; yang turut kelihatan ialah Encik Asaari (bersongkok, berbaju biru) serta Dato' Sri Sharifuddin (di belakang).


TAPAK PROJEK, INDERA MAHKOTA 5, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengingatkan kepimpinan sekolah-sekolah agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya tidak membenarkan pengaruh IS/Daesh meresapi organisasi mereka.

“Kita kena ingat, apabila disebut Islam sekarang ini – terutama (bagi) musuh-musuh Islam, mereka mengaitkan Islam ini dengan ‘terrorist’,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Institusi Pendidikan Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI) .

“Kita tak nak nanti ada agen IS, ada egen Daesh, ada agen yang memegang Islam secara kepala yang tak betul – boleh berbunuh sesama Islam; jangan ada yang termasuk ke dalam SERI, SEMI – bukan (melibatkan) pelajar sahaja tetapi guru, kakitangan.

“Dan jangan termasuk ke dalam ABIM Pahang, ABIM Malaysia,” katanya lagi dalam ucapan luar teks 13-minitnya pada majlis anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu pagi Selasa, 6 September di sini.

Menurut maklumat, SERI telahpun beroperasi sejak 1991 lagi tetapi secara menumpang di atas tapak tanah milik persendirian di Indera Mahkota 2 yang berdekatan. Jumlah pelajarnya ketika ini ialah 400 pelajar.    

DALAM MENYEMPURNAKAN TUGASNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengendalikan jentera 'backhoe' demi menyempurnakan tugasnya bagi majlis pecah tanah pagi Selasa ini.


ISLAM BUKAN SEKADAR ‘RITUAL’ TAPI ‘TOTAL’

Dalam pada itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengakui betapa sehingga kini, tiadapun rekod menunjukkan bahawa NGO Islam seperti ABIM, terlibat dalam apa-apa aktiviti ekstremisme.

“Bahkan, mereka (kepimpinan dan ahli-ahli ABIM) merupakan ahli-ahli, individu-individu yang sentiasa bercakap tentang Islam dan sentiasa cuba menunjukkan Islam itu sebagai satu cara hidup yang sempurna di dunia ini,” tegasnya.

Sehubungan itulah, beliau mahukan agar NGO Islam seperti ABIM dan sebuah lagi – Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH), diberikan sokongan oleh semua pihak demi menjayakan matlamat perjuangan kedua-duanya.

“… sebab mereka (ABIM dan WADAH) terdiri daripada golongan yang ingin melihat Islam maju-jaya dan Islam itu bukannya sebagai satu ‘ritual’ tetapi sebagai satu cara hidup, mengamalkan Islam secara ‘total’,” katanya lagi.

Mengenai tapak seluas kira-kira empat (4) ekar untuk membangunkan SERI dan SEMI ini katanya, beliau berasa seronok dan puas hati kerana dapat membantu memastikan ia diluluskan kepada ABIM bagi tujuan tersebut.

DISAMPING 'BUNTING' MAJLIS PERASMIAN... 
  

TANAH BERNILAI TINGGI UNTUK BUAT SEKOLAH

Sementelah pula, tanah dalam kawasan bandar yang bernilai tinggi sepertimana tapak tanah ini, menjadi rebutan banyak pihak untuk membangunkannya dengan projek-projek seperti perumahan dan komersil.

“Tetapi, ahli-ahli Exco (Kerajaan Negeri) bersetuju dengan saya supaya tanah ini diberikan (kelulusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) kepada ABIM untuk buat sekolah,” katanya.

Beliau seterusnya memuji langkah ABIM untuk mengutip derma bagi mendapatkan dana mencukupi untuk membina dan menyiapkan SERI dan SEMI dengan anggaran kos kira-kira RM18 juta.

Kerajaan Negeri menurutnya, sedia turut membantu termasuklah menerusi agensi-agensi Kerajaan Negerinya.

Dalam ucapannya juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh aspek kurikulum pembelajaran yang selain perlu ‘conform’ atau patuh kepada apa yang termaktub pada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM); perlu juga mengambil kira keadaan semasa.

NUN DI SANA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Encik Asaari; yang turut kelihatan ialah Encik Zaliza dan Encik Ahmad Azam (masing dua dari kiri dan paling kiri).


MAHU KELUARKAN PELAJAR YANG BUNDAR

“Saya mengharapkan sekolah ini nanti, menjadi satu sekolah contoh yang mengeluarkan pelajar-pelajar yang bundar – mahir ilmu pengetahuan, dunia, akhirat.

“Dan sebagai individu – kalau menjawat jawatan DO, doktor, Menteri Besar, wakil rakyat, kontraktor, waima tukang sapu; mereka adalah yang berketerampilan,” tegasnya.

“… saya dan rakan-rakan (dalam MMK) tidak ada apa-apa. Tapi tengok tapak ini, mungkin tengok sekolah (yang dibangunkan) nanti, mungkin tengok hasilnya nanti – pelajar-pelajar yang cemerlang, yang tersohor; kitapun menumpanglah berasa bangga,” katanya.

Antara yang turut hadir pada majlis sederhana pagi Selasa ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Shafik Fauzan Sharif, Dato’ Johari Husin, Dato’ Norol Azali Sulaiman, dan, Dato’ Abu Bakar Harun;

serta, Ketua Polis Negeri, Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani; Pegawai Daerah Kuantan, Encik Zaliza Zulkipli; Presiden ABIM, Encik Mohamad Raimi Abdul Rahim; Presiden WADAH, Encik Ahmad Azam Abdul Rahman;

Yang Dipertua ABIM Pahang, Encik Mohamad Hisyamuddin Baharudin; dan, Guru Besar SERI, Encik Asaari @ Kamaluddin Yatim yang juga, Pengerusi, Jawatankuasa Pelaksana Program. 

BUAT KENANG-KENANGAN... 

– Khabar