Sunday 4 September 2016

Perjumpaan untuk raih kesepakatan antara bekas ketua pemuda-ketua pemuda BN

… demi cari mekanisme terbaik untuk perkukuhkan BN bagi hadapi pilihanraya, kata Dato’ Sri Hishammuddin Hussein.

MESRA BERSAMA VETERAN UMNO... Dato' Sri Hishammuddin sedang menurunkan tanda tangannya pada album memuatkan foto-foto yang memaparkan detik-detik perjuangan veteran UMNO kita, sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain, memerhatikan. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN AHMAD SHAH, BENTONG – Naib Presiden UMNO Dato’ Sri Hishammuddin Hussein bercadang mengadakan perjumpaan bersama-sama bekas ketua pemuda-ketua pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mencari mekanisme terbaik memperkukuhkannya.

Pertemuan dengan mereka – yang kini menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan menurutnya, penting untuk mencari persefahaman dan kesepakatan dalam soal gerak kerja ke arah membantu BN menghadapi dan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sekarang, ujian yang dihadapi kita datang daripada pelbagai sudut – dari dalam dan luar Negara. Malah, bukan sahaja parti induk kita diuji, tetapi sayap dan parti-parti komponen juga tidak terlepas daripada masalah.

“Segala hal ini tidak mungkin untuk Perdana Menteri Dato’ Sri Najib (Abdul Razak) menghadapinya seorang diri jika kita tidak membantunya,”
kata Dato’ Sri Hishammuddin pada persidangan media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong pagi Ahad, 4 September, di sini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga tuanrumah, selaku Ketua UMNO Bahagian Bentong. Beliau juga ialah Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.


UCAPAN LUAR TEKS 30-MINIT TUANRUMAH... Dato' Sri Hishammuddin kelihatan sedang mengamati sepenuhnya ucapan luar teks Dato' Sri DiRaja Adnan. Begitulah juga Dato' Sri Shahiruddin dan Dato' Sri Zaini (kanan sekali). 

BN PERLU TUNJUK KEUNIKAN KERJASAMA POLITIK  

Menurut laporan berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Dato’ Hishammuddin pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO antara tahun 1998 dan 2009.

Antara ketua pemuda-ketua pemuda BN yang pernah menjawat jawatan sama ketika itu yang kini memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan ialah Presiden MCA Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang kini Menteri Pengangkutan; dan Presiden Gerakan Dato’ Mah Siew Keong yang kini ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sebagai satu-satunya parti yang mempunyai 14 parti komponen kata Dato’ Sri Hishammuddin, BN perlu menunjukkan keunikan kerjasama politik terutama dalam membantu rakyat di kawasan yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Sembrong, di Johor dan Bentong sendiri.

“Pembangkang cuba hendak meniru BN dengan mewujudkan pakatan mereka sendiri, namun tidak berjaya dan akhirnya berpecah.

“Jadi, kita mesti buktikan apa yang diwarisi selama ini (kesatuan antara parti komponen) diterjemah dengan baik terutama dalam gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.


KEAKRABAN DUA PEMIMPIN KITA...  Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Hishammuddin sedang berbual-bual kecil. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Zaini.

UCAPAN LUAR TEKS 36-MINIT

Dalam ucapan luar teks 36-minitnya sebelum itu, beliau turut menyarankan anggota-anggota UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara agar mewujudkan ‘gelombang-gelombang kecil’ yang kemudian menjadi tsunami untuk mempertahankan kubu-kubu kuat UMNO dan BN pada PRU akan datang.

Dalam masa yang sama katanya, semua anggota parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) perlu berada dalam keadaan kaedah pilihanraya untuk menghadapi PRU dengan mula mengatur gerak kerja termasuk mengenal pasti pengundi di kawasan masing-masing.

“Kenal pasti berapa ramai yang telah daftar pada PRU lepas tetapi tidak keluar mengundi. Ini semua perlu dikaji dan dipersiap dengan rapi supaya apabila Perdana Menteri umumkan bubar Parlimen, kita telah bersedia untuk pastikan setiap calon kita menang,” katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang turut hadir ialah Ketua UMNO-Ketua UMNO Bahagian-Bahagian Raub dan Cameron Highlands yang juga Ahli Exco-Ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin dan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail;

serta, Ketua UMNO-Ketua UMNO Bahagian Lipis dan Indera Mahkota, Dato’ Abdul Rahman Mohamad dan Dato’ Mustafa Kamal Abdul Hamid; juga, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Sri Zaini Salleh. 

PARA PERWAKILAN SEKELIAN... Inilah sebahagian daripada para perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong pagi Ahad. – BERNAMA/Khabar