Monday 15 May 2017

Kira-kira RM1,100 juta telah Yayasan Pahang belanja untuk pendidikan sejak 1983!

... yang dimanfaati oleh lebih 1.3 juta pelajar anak-anak Pahang di seluruh pelosok negeri kita

“Tapi saya nak ingatkan tuan-tuan dan puan-puan, semua ini bukan(nya) datang begini (tiba-tiba sahaja ada).

“Apa yang berlaku di negara kita termasuk di Pahang ini, semuanya adalah dirancang. Kalau tak rancang, Yayasan Pahang tak akan jadi (berjaya) macam ini,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

DALAM BERIKAN PENEKANAN TERHADAP APA YANG SEDANG DIPERKATAKAN...



DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Sebanyak RM1,100 juta telah dibelanjakan oleh Yayasan Pahang (YP) untuk pendidikan, yang dimanfaati oleh kira-kira 1.3 juta pelajar anak-anak negeri sejak penubuhan YP pada tahun 1983.

Bermula dengan bajet cuma RM1.5 juta pada awal penubuhannya yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak selaku Menteri Besar ketika itu, meningkat kepada kira-kira RM40 juta di bawah kepimpinan Tun Mohd Khalil Yaakob;

Tetapi kini, telah melonjak kepada RM124 juta sebagai bajet untuk tahun ini sahaja di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob  

Inilah angka-angka tanda kejayaan yang disebut oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 21-minitnya pada program Hadiah Kecemerlangan Pendidikan YP 2017 ‘Hadiah Menteri Besar Pahang’ petang Isnin, 15 Mei di sini.

“Tapi saya nak ingatkan tuan-tuan dan puan-puan, semua ini bukan(nya) datang begini (tiba-tiba sahaja ada).

SIJIL KECEMERLANGAN BUAT PENERIMA... 


ROMBAK DEMI MEMULIH, MEMAJUKAN

“Apa yang berlaku di negara kita termasuk di Pahang ini, semuanya adalah dirancang. Kalau tak rancang, Yayasan Pahang tak akan jadi (berjaya) macam ini. Kalau tak dirancang, tak ada Yayasan Pahang ini,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.   
  
“Tapi sejak kita merdeka sampai sekarang; walaupun orang kata Kerajaan ini bodohlah, bangsatlah, kotorlah, koruplah… Kerajaan bodoh, Kerajaan korup, Kerajaan kotorlah inilah yang melaksanakan segala program yang sedikit-sebanyak beri faedah kepada kita semua,” katanya lagi dalam nada menyindir .

Mengenai bajet RM124 juta itu katanya, ianya adalah banyak demi menghidup dan membangunkan YP yang seterusnya dapat digunakan untuk membantu memajukan sector pendidikan khususnya para pelajar.

Beliau turut menyinkap kembali betapa ketika mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dan sekaligus YP pada tahun 1999, anak syarikat YP yang dikenali Sumber Perindu, telah menanggung hutang yang banyak di sebalik memiliki dan menguruskan ladang kelapa sawit seluas 10,000 ekar.

Hasil perbincangan dengan beberapa rakannya termasuk Ahli Lembaga Pemegang Amanah YP sekarang – Dato’ Sri Kamaruddin Mohamad, rombakan dilakukan termasuk menyuntik tanah ke dalam YP hingga menjadikan bank tanah dimilikinya berkeluasan kira-kira 120,000 ekar.  


DENGAN LAGI PENERIMA... Yang turut dalam kalangan pelajar Cina dan India 


70,000 EKAR LADANG WASIT TELAH DIUSAHAKAN

Dengan keluasan tanah seluas itu menurutnya, YP dikehendaki membangunkannya dengan tanaman kelapa sawit yang hasil daripadanya dijadikan punca kewangan untuk memajukan pendidikan di negeri ini.

“Yang telah kita bangunkan, 70,000 ekar. Dulu kita memberi biasiswa dan lain-lain bantuan (puncanya) duit balak. Kerajaan bagi (kawasan) balak kepada Yayasan (dan) Yayasan tender, yang diberi kepada penender tertinggi. Duit tender itu kita gunakan untuk memberi biasiswa.

“Tapi sekarang ini, 60 peratus daripada bantuan pendidikan Yayasan Pahang – duitnya datang daripada hasil kelapa sawit - 70,000 ekar semuanya telahpun matang,” katanya.

“Kita akan tanam lagi sehingga 120,000 ekar dan satu masa nanti, walaupun balak tidak ada lagi, insyaAllah, Yayasan Pahang boleh hidup dengan adanya hasil kelapa sawit. Kita telah berjaya mencari alternatif iaitu dengan membangunkan ladang kelapa sawit,” katanya lagi.

Pada majlis petang Isnin ini, 191 pelajar yang cemerlang dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam menerima Hadiah Menteri Besar (HMB) masing-masing yang berupa surat amanat dan sijil kecemerlangan.

SIJIL KECEMERLANGAN DAN WANG TUNAI

Selain wang tunai – masing-masing RM300 untuk di bawah kategori Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); dan, RM500 di bawah kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Yang turut menerima hadiah ialah tiga (3) pelajar Calon-calon Berkeperluan Khas (CBK) dan lima (5) pelajar Orang Asli; selain 14 sekolah terbaik seluruh Pahang.

Antara yang turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar; Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman;

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Dato’ Sri Kamaruddin Mohamad; Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Nor Abdul Rani; serta, Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Nawawi. – Khabar