Monday 29 May 2017

Tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul, kata Dato’ Adnan

 NOTA EDITOR; 
 
Berikut disiarkan kembali laporan berita tentang pelantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (ketika itu Dato’) sebagai Menteri Besar Pahang ke-14, sepertimana tersiar dalam Khabar Pahang versi cetak Bil 3 Tahun Pertama Tahun 1999.
 
Penyiaran semula ini adalah bersempena 18 tahun beliau selaku Menteri Besar, sejak pelantikan ke jawatan tersebut pada 25 Mei 1999. 
 
Sama-samalah kita memanfaatinya.  
 
LAGI BERITA DALAM HALAMAN 6 DAN 7...
 
 
BILIK MESYUARAT KERAJAAN, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dato’ Adnan Yaakob menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Besar merupakan satu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul. 
 
Namun segera menyebut bahawa beliau akan cuba menunaikan tanggungjawab itu lalu menunaikan tugas yang diberi dengan sebaik-baik mungkin. 
 
Dato’ Adnan berkata demikian pada persidangan media bersama-sama Dato’ Sri Mohd Khalil – Menteri Besar yang digantinya, serta Dato’ Hasan Ariffin di sini, 20 Mei lepas. 
 
Ia ekoran pengumuman Perdana Menteri Dato’ Sri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada sebelah paginya tentang rombakan kabinet membabitkan Dato’ Sri Mohd Khalil, yang dipindahkan ke Kerajaan Pusat sebagai Menteri Penerangan. 
 
Sehubungan dengan itu juga, Dato’ Adnan telah menyatakan terima kasihnya kepada Dato’ Sri Dr Mahathir yang telah melantiknya, manakala KDYMM Sultan Pahang yang merestuinya. 
 
AKUR DENGAN KEPUTUSAN
 
“Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri sebentar tadi, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberi dan tanggungjawab ini amat berat dipikul,” katanya. 
 
Dato’ Sri Mohd Khalil yang turut diminta komen tentang pelantikan Dato’ Adnan telah menyatakan keyakinannya bahawa beliau akan mampu menjalankan tugas dengan baik sementelahan berpengalaman setelah menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) selama sembilan tahun lepas.
 
Apabila ditanyakan komennya pula, Dato’ Hasan menyatakan sokongan beliau atas pelantikan tersebut. “Selaku anggota parti, kita kena akur dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kerana jawatan dalam kerajaan ditentukan oleh Perdana Menteri,” katanya. 
 
Pada persidangan media 2 Jun pula, selepas Ahli-ahli MMKnya mengangkat sumpah jawatan di depan KDYMM Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Dato’ Adnan telah menamakan portfolio Ahli-Ahli MMKnya itu. 
 
Selain beliau mengekalkan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan; Dato’ Hasan yang kekal sebagai Timbalan Menteri Besar mengetuai Jawatankuasa Kemudahan Asas; 
 
PORTFOLIO AHLI MMK
 
Dato’ Kan Tong Leong mengetuai Jawatankuasa Kerajaan Tempatan; Dato’ Bahari Yahya mengetuai Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar; Dato’ Law Kee Long mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kesihatan dan Sumber Manusia;
 
Dato’ Omar Othman mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Pusat Pertumbuhan Desa; Dato’ Tan Aminuddin Ishak mengetuai Jawatankuasa Pertanian dan Perikanan; 
 
Dato’ Shahiruddin Ab Moin mengetuai Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan; dan, Dato’ Wan Razali Wan Mahussin mengetuai Jawatankuasa Belia dan Sukan. 
 
Muka baru dalam barisan MMK Negeri, Dato’ Zainal Hassan telah dilantik mengetuai sebuah jawatankuasa baru iaitu Jawatankuasa Perpaduan dan Tugas-tugas Khas. Selain itu, Dato’ Abdullah Derus telah dinamakan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri – jawatan yang kosong selama ini.  
 
Ketika ditanya pemberita tentang rasional beliau mengekalkan barisan Ahli MMK yang lama itu katanya, ia disebabkan masing-masing telah melaksanakan tugas dengan berkesan dalam membawa pembangunan ke negeri ini. – Khabar