Monday 22 May 2017

PKNP dalam perundingan akhir dengan rakan pelabur luar negara


… kata Menteri Besar tentang perkembangan terkini projek Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan

MENTERI BESAR DALAM UCAPAN LUAR TEKS 13-MINITNYA... Aksi Dato' Sri DiRaja Adnan di belakang rostrum, ketika menyampaikan ucaptama serta merasmikan persidangan anjuran MIDA ini. 

 
SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) kini sedang dalam perundingan terakhir dengan rakan pelabur luar negara bagi membangunkan Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan.

“Perkara ini positif. Tentang Tanjung Agas ini; saya selaku Menteri Besar, saaaaangat yakin mengenai perkembangan terbaru, perkembangan terakhir sebab PKNP dan rakan strategiknya, sedang dalam perundingan terakhir dengan rakan-rakan dari luar negara.

“Saya percaya akan dapat dibangunkan dalam masa yang terdekat, insyaAllah. Tapi saya tak boleh nak cerita – nanti orang Tanya; buat kapal ke? Ini, kapal ‘navy’ ke? (Pelabur luar dari) Amerika ke? China ke? India ke?. Jadi susahlah. Biar dulu…,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkara demikian pada persidangan media sempena perasmian Persidangan Rantaian Pembekalan Rantau Pantai Timur anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pagi Isnin, 22 Mei di sini.

Kata-kata itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan yang menanyakan tentang perkembangan terkini projek biayaan Kerajaan Persekutuan kira-kira RM440 juta di atas tanah berkeluasan 1,710 hektar itu, yang mula dibangunkan sejak 2011 lagi.  

TEKUN MENGIKUTI PERSEMBAHAN VIDEO MENGENAI MIDA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Rajendran (dua dari kanan); Dato' Mas'ut (dua dari kiri); dan, Encik Miguel (kanan sekali). 
   

BUKAN ‘GAJAH PUTIH’

Oleh kerana ia belum dapat disiapkan sungguhpun sudah lebih enam (6) tahun berlalu, ada pihak yang mula was-was dengan pembangunannya hingga ada yang mula menggelarnya sebagai projek ‘gajah putih’.

“Saya berharap semua pihak bersabar dahulu. Sebab, PKNP dan juga rakan strategik untuk membangunkan Tanjung Agas ini berunding setiap masa lah dengan pelabur-pelabur dan kita cuba mencari pelabur yang boleh memberi pulangan yang terbaik,” katanya.

“Kalau kata gajah putih, tak betul… (Kalau kata) gajah putih, ‘confirm’ dah tak jadi. (Sedangkan) ini kita berikhtiar dan saya tahu – saya mengikuti perkembangan dan perkembangan terakhirnya agak menarik. Bersabar sahajalah, insyaAllah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Sebelum inipun, perkara yang sama turut dibangkitkan misalnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, 22 November lepas (2016), Dato’ Sri DiRaja Adnan sambil menafikan projek tersebut sebagai ‘gajah putih’;

Beliau turut memaklumkan betapa kemudahan asas seperti jalan, jambatan dan lampu jalan telah siap dan siap dipasang sejak Julai 2011, manakala sistem bekalan air di situ akan siap menjelang September 2018.

                        
DALAM KALANGAN 180 PESERTA PERSIDANGAN... Yang kebanyakannya pula ialah usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera. 


Dan sistem bekalan air di Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas ini menurutnya lagi, akan menerima sokongan daripada Loji Rawatan Air Ganching Fasa 3, yang baharu sahaja siap dan mula beroperasi tahun ini. 

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Dato' N.Rajendran; Pengerusi, Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia cawangan Timur, Dato' Mas'ut A.Samah; dan, Pengarah, Divisyen Pengurusan Perniagaan, BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (BPC), Encik Miguel Pena. 

BERBORAK KECIL SEBELUM MELAYANI MEDIA... – Khabar