Friday 26 May 2017

Projek pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) bernilai RM415.52 juta menurut jadual

… tahap kemajuan di tapak kini ialah 2.12 peratus atau lebih awal (ahead of schedule) daripada 2.10 peratus yang dijangkakan.

PADA MAJLIS PECAH TANAH, SABTU, 7 SEPTEMBER 2013...  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Projek pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) bernilai RM415.52 juta yang sedang dibangunkan di KotaSAS dekat sini, adalah menurut jadual.

Tahap kemajuan terkini (setakat 15 Mei) di tapak seluas 53 ekar sepertimana yang penulis dimaklumkan, ialah 2.12 peratus atau lebih awal (ahead of schedule) daripada 2.10 peratus yang disasarkan.

Sungguhpun kecil dan pula masih pada peringkat awal, namun ia melegakan malah boleh dibanggakan setelah perkhabaran ‘sepi’ sejak majlis pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada Sabtu, 7 September 2013.

Sementelah pula, terdapat suara menyarankan agar pembangunannya dihentikan seketika sehinggalah deposit bauksit – kira-kira 1.2 juta tan yang dikatakan terdapat di tapak itu, digali keluar terlebih dahulu!

(Seorang pegawai tertinggi sebuah syarikat yang dilantik untuk kerja-kerja pengeluaran bauksit dari kawasan tersebut – yang hanya disedari memiliki deposit bauksit di situ pada pertengahan tahun 2014;

LAGI PERISTIWA PADA 2013...


PPSAS AKAN GANTI WISMA SRI PAHANG YANG SUDAH LEBIH 50 TAHUN
 
(Dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris keluaran 28 September lepas sebagai berkata; “If construction goes ahead, the bauxite will be buried. We are writing to the Natural Resources and Environment Ministry to request for the bauxite to be extracted first. Otherwise, it will be a waste”).   

Sebagai latar belakang, PPSAS ialah pusat pentadbiran baharu Kerajaan Negeri, yang bakal menggantikan Wisma Sri Pahang yang telah berusia 50 tahun (sejak 1967) atas tapak seluas lapan (8) ekar di bandar Kuantan, hingga memerlukan kos baikpulih tinggi saban tahun.

Berdasarkan perancangan, PPSAS akan menjadi ikon terbaharu negeri ini dengan bentuk bangunan kompleksnya diinspirasikan daripada jata negeri, selain mengaplikasikan teknologi hijau demi penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar.

Sungguhpun berkeluasan keseluruhan 53 ekar (dengan kos, RM12 sekaki persegi atau kira-kira RM27.7 juta), keluasan lantainya sahaja bagaimanapun cuma 9.98 ekar yang akan terdiri daripada bangunan 4-tingkat Dewan Undangan Negeri; dan, bangunan 3-tingkat Pejabat Menteri Besar;

Serta, masing-masing bangunan 7-tingkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang menempatkan jabatan-jabatan Kerajaan Negeri; serta, Bangunan Persekutuan yang menempatkan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan.

SUNGGUHPUN SUDAH MELEWATI USIA NAMUN, JASANYA BESAR SEKALI KEPADA PEMBANGUNAN NEGERI YANG MAKMUR INI... Kerajaan juga tentu ada perancangannya bagi kompleks kerajaan seluas 8 ekar atau bernilai semasa kira-kira RM200 sekaki persegi atau kira-kira RM69.7 juta; apabila ia ditinggalkan setelah pusat pentadbiran berpindah ke PPSAS kelak. 


JANGKA SIAP PADA 26 MAC 2020

Pemaju projek iaitu Kreatif Sinar Gabungan Sdn Bhd – syarikat yang 65 peratus milik Tanah Makmur Bhd (TMB) yang juga pemaju bagi keseluruhan KotaSAS seluas 1,500 ekar;

Sudahpun diberikan tempoh kontrak selama 39 bulan untuk menyiapkan PPSAS. Dengan tarikh milik tapak berkuatkuasa pada 27 Disember lepas (2016), tarikh dijangka siap keseluruhan PPSAS kini ialah pada 26 Mac 2020.  – Khabar