Saturday 21 April 2018

‘Jom Ride Bersama Tok Nan’

… program jelajah bermotosikal libatkan anak-anak muda, tanda sokongan kepada Menteri Besar yang juga wakil rakyat Pelangai

JOM SOKONG BN... Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama anak-anak muda dalam menjayakan program 'Jom Ride Bersama Tok Nan'. 


RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI KEMAHAL, MUKIM PELANGAI, BENTONG – Satu program jelajah bermotosikal melibatkan anak-anak muda dikenali ‘Jom Ride Bersama Tok Nan’ telah diadakan di sekitar mukim Pelangai hari ini, Sabtu, 21 April.

Program anjuran Majlis Belia Daerah Bentong (MBDB) ini sebagai tanda sokongan anak-anak muda tempatan terhadap kepemimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan selaku Menteri Besar serta wakil rakyat setempat (BN – Pelangai).

Program bermula di Dataran Pelangai yang Dato’ Sri DiRaja Adnan rasmikan; melalui beberapa kawasan termasuk kampung-kampung tradisional dan rancangan tanah-rancangan tanah Felda; sebelum berakhir di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi, MBDB, Encik Ahmad Nilhakim Abdul Rahim yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong. Begitu juga, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Sri Zaini Salleh.

Dengan setiap peserta program berbaju-T biru sambil membawa bendera Barisan Nasional (BN), ternyata jelajah yang dilakukan telah turut menaikkan semangat peserta sendiri serta mendapat reaksi positif daripada penduduk.

DALAM UCAPAN PENUH BERSEMANGATNYA... 


DAPAT SENARAI MUKTAMAD CALON NEGERI ESOK?

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan tentang hal-hal berkaitan Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) terutamanya mengenai calon-calon yang akan BN kemukakan.

Menurutnya, beliau menjangka akan menerima senarai muktamad calon-calon tersebut esok yang dengan itu majlis secara sederhana mengumumkan nama-nama calon boleh diadakan pada sama ada Isnin (23 April) atau Selasa (24 April) ini.

Ketika ditanya tentang pertemuannya sebelum ini dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang dikatakan ada hubung-kait tentang senarai calon-calon tersebut katanya;

“Itu kita nak memuktamadkan calon… Saya dah bermesyuarat dua (2) kali dengan pucuk pimpinan ini. Ha, dua (2) kali dah ‘finalized’ dah. Calon Parlimen dapat suratnya dua (2) hari lepas.

“Calon negeri khabarnya, ceritanya (dapat) esok. Saya tak dipanggil lagi, saya tak tahu. Kalau ceritanya itu betul esok, esoklah saya pergi. Mungkin kita buat (majlis mengumumkan calon-calon) hari Isnin atau hari Selasa,” katanya.

JELAJAH BERMOTOSIKAL ANAK MUDA KITA... 


“(SE)LAIN TU KEKAL, TERMASUKLAH YANG BERCAKAP INI”

Kepada soalan tentang jangkaan jumlah muka baharu dalam senarai calon tersebut katanya, ia tak ramai memandangkan wakil rakyat yang ada masih diterima oleh pengundi di kawasan masing-masing.

“Tak ramai. Calon baharu, tiga (3) sahaja saya ingat, tiga (3) sahaja. Sebab, calon lama itu mungkin boleh diterima lagi. Paya Besar baharu, Lepar baharu, lepas tu satu kawasan DUN itu, tukar.

“Dan wakil rakyat yang ditukar ini dia berjiwa besar, orang alim, orang warak – tak ada hal dia,” katanya merujuk kepada wakil rakyat berkenaan yang bersedia untuk melepaskan kerusi DUN tersebut .

“(Se)lain tu kekal, termasuklah yang bercakap ini,” katanya lagi merujuk kepada dirinya sendiri, yang serentak itu berderai tertawa kecil dalam kalangan wartawan disusuli kata-kata wartawan dari Berita Harian, Cikgu Roslan Malek, “Itu sudah pasti”. – Khabar