Saturday 7 April 2018

KDYMM Pemangku Raja Pahang perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13



… pembubaran serentak dengan Parlimen, berkuatkuasa hari ini, Sabtu, 7 April

“Saya, bagi pihak Ahli-ahli Exco dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, merafak sembah, menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja, kerana perkenan.

“Dan dengan ini insyaAllah, kita akan menghadapi pilihanraya yang akan ditentukan tarikhnya oleh SPR,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

DAN TERBUBARLAH, DUN PAHANG KE-13... KDYMM Pemangku Raja Pahang sedang menurunkan tandatangan Baginda, tepat 12.15 tengah hari; sambil Dato' Sri DiRaja Adnan memerhatikan. 


PERKARANGAN, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang telah perkenan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13, berkuatkuasa hari ini, Sabtu, 7 April serentak dengan pembubaran Parlimen.

Perkenan ini dizahirkan pada majlis menghadap oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ke depan Baginda di Balai Menghadap Kecil, Istana Abu Bakar ini, sejurus berakhirnya Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur di Balairung Seri berhampiran, pada kira-kira 12 tengah hari.

Baginda yang disembahkan dokumen berkenaan oleh Menteri Besar, terlebih dahulu membacanya bersuara (read aloud) kemudian menandatanganinya satu-persatu – sebanyak empat salinan; bermula tepat jam 12.15 tengah hari.

Kesemua dokumen ini kemudian diserahkan kepada Speaker DUN, Dato’ Sri Ishak Mohamed yang turut hadir pada majlis penghadapan ini bersama-sama dengan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri termasuk Ex-Officio;

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; dan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun.

BEGITU TELITINYA KDYMM TUANKU... Sebelum menurunkan tandatangan, Baginda telah terlebih dahulu membaca bersuara kandungan dokumen tersebut. Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Setiausaha DUN Pahang, Syed Ahmad Khairulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman yang juga Setiausaha, Exco Kerajaan Negeri. 
   

EXCO KERAJAAN NEGERI KINI SELAKU ‘CARETAKER GOVERNMENT’

Perbincangan tertutup diadakan seketika, disusuli sesi berfoto kumpulan, kemudian ke Dewan Mulia bagi Majlis Santapan/Jamuan Makan bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur tadi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditemui pemberita di perkarangan ini sebaik-baik selesai Majlis Santapan/Jamuan Makan memberitahu, “… Baginda Tuanku telah perkenan menurunkan tandatangan dan dokumen berkenaan diserahkan kepada Speaker untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).  

“Saya bagi pihak Ahli-ahli Exco dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, merafak sembah, menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja, kerana perkenan.

“Dan dengan ini insyaAllah, kita akan menghadapi pilihanraya yang akan ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya dan menambah, tindakan Speaker DUNlah pula untuk memaklumkan kepada SPR tentang pembubaran DUN ke-13 ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya memaklumkan betapa Kerajaan Negeri yang beliau tadbir bersama dengan Ahli-ahli Exconya, masih berjalan sepertimana biasa tetapi kini sebagai ‘caretaker government’.

SENYUM SEMUA... KDYMM Pemangku Raja Pahang turut perkenan untuk bercemar duli, bersama-sama pada sesi berfoto kumpulan. Kesemua Ahli Exco Kerajaan Negeri termasuk Ex-Officio hadir kecuali Dato' Sri Shahiruddin Ab Moin yang tidak dapat bersama atas hal-hal yang tidak dapat dielakkan.  


MASIH BOLEH ‘COMMIT’ PADA HAL-HAL ‘ROUTINE’

“Exco akan ada mesyuarat…,” katanya tentang kelaziman mengadakan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Sebagai ‘caretaker government’,” katanya, “… tak boleh melakukan perkara, polisi yang besar-besar. Contohnya, buat pinjaman yang besar-besar, kemudian itu katalah, kita ‘commit’ secara besarlah; mana-mana projek yang besar-besar, billion-bilion.

“Kita commit pada masa kita jadi ‘cartaker government’, tak boleh (sebab) itu akan mengikat Kerajaan yang akan ditubuhkan kemudian,” beliau menambah kata.

“Tapi, kalau permohonan biasa – permohonan tanah, permohonan rumah, contohlah; itu kita boleh luluskan. Kita boleh pertimbang (dalam) mesyuarat. Hal-hal biasa, hal-hal ‘routine’ tu, boleh,” tegasnya. – Khabar