Friday 27 July 2018

Pantun dan Analogi oleh MB, pada penangguhan persidangan Dewan Negeri


“Di dalam kelapa ada tombong,
Mari disimpan di dalam peti,
Tidak dihairan orang yang sombong,
Orang hormat dek kerana budi”.

MENTERI BESAR DAN BEKAS MENTERI BESAR, DENGAN SEBAHAGIAN ANGGOTA EXCO KERAJAAN NEGERI... Yang turut menyertai sesi berfoto kumpulan ini ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Mohamad Jaafar (kiri sekali). 


DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menarik perhatian wakil rakyat sekelian dengan bacaan pantun serta beranalogi, ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan sempena berakhirnya Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 petang Jumaat, 27 Julai di sini.

Persidangan ini telah berlangsung selama lima (5) hari, bermula dengan Istiadat Pembukaan yang telah disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang pada pagi Isnin, 23 Julai yang lepas.    

Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri yang mula dikenali kini dengan sikap berhemah, ‘cool-headed and soft-spoken’ dan tidak meninggi diri apatah lagi sombong, telah mendeklamasikan pantun empat (4) keratnya seperti berikut;  

“Di dalam kelapa ada tombong,
Mari disimpan di dalam peti,
Tidak dihairan orang yang sombong,
Orang hormat dek kerana budi”.  

Dan pantunnya ini segera mendapat reaksi positif dengan ada dalam kalangan anggota kumpulan ‘WhatsApp’ tertentu, telah memperkatakannya, termasuk yang membuat teka-teki daripadanya.

BERSAMA-SAMA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT PEMBANGKANG... CUKUP TUJUH (7) WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG DARI PAKATAN HARAPAN YANG MERUPAKAN AHLI-AHLI DAP. 


IBARAT MENGURUS MAJLIS KENDURI KAHWIN

Lanjutan itu, beliau yang kali kedua hadir pada persidangan Dewan Negeri ke-14 ini selaku Menteri Besar, telah menyatakan penghargaan dan terima kasihnya kepada semua yang terlibat, dalam menjayakan persidangan kali ini lalu beranalogi;  

“… yang saya ibaratkan, menguruskan kenduri kahwin; Majlisnya berjalan lancar, nasi minyaknya tak lembik, lauknya cukup, gulainya sedap, mempelai pengantin tiba tepat waktunya.  

“Tetamu datang beradab, penyambut tetamunya mesra, yang bersilat tidak berkelahi menghunus keris; maka, senanglah hati tuanrumahnya.

“Tuanrumahnya – itulah saya, dan saya amat bersyukur dengan segala-galanya, Alhamdulillah,” katanya yang mendapat perhatian sepenuhnya oleh wakil rakyat-wakil rakyat daripada kedua-dua pihak Kerajaan dan pembangkang.  

Berikut disarkan sebahagian lagi kata-kata penghargaannya terhadap mereka yang berkenaan;

BERSAMA-SAMA GENAP LAPAN PEMBANGKANG, DARI PARTI PAS... 


PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH BUAT SEMUANYA

“Mengambil kesempatan berada pada penghujung persidangan kita kali ini, sukacita saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan dan Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua Dewan, sehinggalah kepada Yang Hormat Setiausaha Dewan serta kakitangan-kakitangan di bawahnya.

“Atas komitmen tinggi dan kerja keras merekalah – ada yang masih bekerja hingga ke malam selepas tamat setiap hari persidangan; maka persidangan Dewan ini dapat berjalan lancar.

“Ucapan terima kasih juga ialah kepada Yang Hormat Ketua-ketua Jabatan Kerajaan serta Agensi Kerajaan yang telah hadir setiap hari, serta menyediakan butiran yang diperlukan kepada pihak Kerajaan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan.

“Saya turut berterima kasih kepada anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang telah melakukan perbarisan pada hari Istiadat Pembukaan, selain anggota-anggota polis yang memberikan khidmat keselamatan, serta kru kesihatan dengan sebuah ambulans ‘standby’, demi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada yang memerlukan.

“Tidak lupa terima kasih saya kepada kakitangan Jabatan Kerja Raya (J.K.R) dan Majlis Perbandaran Kuantan (M.P.K), yang berperanan dalam penyediaan tapak serta hiasan pada hari Istiadat Pembukaan.

BUAT KENANG-KENANGAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, ialah wakil rakyat, Encik Mohd Sofian Abdul Jalil (PAS - Luit) yang merupakan adik kepada bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Munawar Abdul Jalil.  


TEPATI JADUAL ASAL TEMPOH 5-HARI BERSIDANG

“Last but not least’, sudah tentulah ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, yang secara berhemah dan budiman (gentleman), berbahas dan terlibat aktif dalam sesi soal-jawab.

“Dengan sikap hemah dan budiman inilah, paling tidak, jadual asal kita untuk menyudahkan persidangan kita ini dalam tempoh lima (5) hari sahaja – tanpa perlu dipanjangkan; dapat terlaksana.

“Tahniah pula kerana menghormati persidangan Dewan – dengan menghormati Yang Berhormat Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, serta Ahli-ahli Yang Berhormat; telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan Ahli-ahli Yang Berhormat semua.

“Sesungguhnya kita juga haruslah sedar betapa, akhlak itu adalah pakaian kita selamanya, budi-bahasa melambangkan jiwa mulia, dan tutur-kata menggambarkan isi dalam dada.

 “Selepas ini, saya berharap, kembalilah Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian ke kawasan masing-masing dan berkhidmatlah sebaik-baiknya demi memastikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat yang kita masing-masing wakili.

“Semoga kita dapat berjumpa lagi, dalam suasana yang serupa sepertimana tempoh persidangan lima (5) hari ini; pada persidangan yang akan datang pula, insyaAllah”. – Khabar.