Friday 6 July 2018

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah


YAM TENGKU PANGLIMA BESAR PAHANG YANG BAHARU... Ketika dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Dato' Sri' oleh Paduka Ayahanda, Pemangku Raja Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 24 Oktober 2016. 
   

BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Anakanda sulung KDYMM Pemangku Raja Pahang, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kini ialah YAM Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Ini dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media khas mengenai tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai di sini.

Berikut ialah pemakluman tersebut yang di bawah tajuk Pengisytiharan Pelantikan Yang Amat Mulia Kerabat Bergelar;

Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah mengampuni perkenan mengurniakan gelaran Yang Amat Mulia Kerabat Bergelar ke atas tubuh Paduka Cucunda Baginda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah dengan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang berkuatkuasa pada 18 Jun 2018 bersamaan 4 Syawal 1439 Hijrah.

Sehubungan dengan gelaran yang dikurniakan, bermula dari tarikh tersebut, panggilan hormat yang digunakan adalah seperti berikut – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

LULUSAN IJAZAH SARJANA MUDA DALAM HUBUNGAN ANTARABANGSA

Menurut Dato’ Sri Muhammad Safian, pengurniaan gelaran tersebut berikutan pulangnya ke rahmatullah penyandang sebelum ini pada akhir tahun lepas iaitu YAM Dato’ Tengku Ibrahim Tengku Sulaiman.

Sebagai latar belakang, YAM Tengku Panglima Besar Pahang, 22, yang sulung daripada sembilan beradik, telah diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas di sini, sebelum melanjutkan pengajian menengah dan menengah atas masing-masing di Caldicott School dan Sherbone School di England;

Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Geneva School of Diplomacy & International Relations, Switzerland sebelum memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Hubungan Antarabangsa dengan menghadiri konvokesyen di sana pada minggu lepas. – Khabar