Friday 6 July 2018

Usaha dapatkan semula RM123.32 juta tunggakan-tunggakan cukai tanah, cukai taksiran dan sewa PAKR seluruh Pahang, berkuatkuasa serta-merta.


“Tindakan kita ini bukan bermakna bahawa kita ini tak ada duit sangat, ‘no’.

“Ini adalah untuk mengelakkan mereka terus dengan tunggakan yang lebih besar dari semasa ke semasa, sehingga menyebabkan satu ketika esok, mereka tidak lagi mampu untuk membayar,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

DATO' SRI MUHAMMAD SAFIAN... Ketua jentera pelaksana kita, setelah arahan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri mengenai tunggakan hasil tanah dan sewaan PAKR yang perlu dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya.  


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pentadbiran Negeri hari ini mengumumkan langkah serta-merta yang akan diambil bagi mendapatkan semula kira-kira RM123.32 juta tunggakan-tunggakan cukai-cukai tanah dan taksiran am, serta sewaan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) seluruh Pahang.

Tunggakan-tunggakan ini ada yang sejak lebih 40 tahun (sejak 1970-an) seperti di bawah cukai taksiran am atau cukai pintu; serta purata tiga (3) tahun dan empat (4) tahun bagi masing-masing cukai tanah (quit rent) dan sewaan PAKR.

Menurut pecahan, RM123.32 juta ini meliputi RM63.54 juta bagi tunggakan cukai tanah (quit rent); RM50.04 juta bagi tunggakan cukai taksiran am atau cukai pintu; dan, RM9.74 juta bagi tunggakan sewa PAKR.

Bagi yang masih gagal membayar tunggakan-tunggakan ini dalam tempoh-tempoh yang ditentukan; tindakan akan dikenakan antaranya ialah rampasan tanah dan rumah bagi tunggakan-tunggakan cukai tanah dan sewa PAKR, dan, penyitaan ke atas premis-premis bagi tunggakan cukai taksiran am.

Ini dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media khas mengenai tunggakan-tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai di sini.

DIBERI TEMPOH-TEMPOH ‘REASONABLE’

“Dan saya sangat mengharapkan orangramai, orang-orang yang terlibat; supaya mengambil tindakan sewajarnya. Kita akan berikan tempoh-tempoh yang ‘reasonable’ untuk mereka membayar,” katanya.

“Tindakan kita ini bukan bermakna bahawa kita ini tak ada duit sangat, ‘no’. Ini adalah untuk mengelakkan mereka terus dengan tunggakan yang lebih besar dari semasa ke semasa, sehingga menyebabkan satu ketika esok, mereka tidak lagi mampu untuk membayar.

“Kita tidak mempunyai pilihan lain, dan ini juga sejajar dengan konsep kita untuk menguatkuasakan undang-undang di negeri Pahang ini. Dan kita mengharapkan juga semua jabatan/agensi yang berkaitan dengan tindakan-tindakan sebagaimana saya nyatakan tadi, dapat mempersiapkan diri masing-masing untuk mula mengambil tindakan,” tegasnya.

Berkaitan tunggakan cukai tanah katanya, Pentadbiran Negeri akan mengelurkan notis kepada semua pemilik tanah yang berkenaan supaya menjelaskan tunggakan-tunggakan itu dalam tempoh-tempoh yang diberikan.

“Untuk maksud ini, kegagalan seseorang itu membayar boleh mengakibatkan tanah ini diambil balik, dalam ertikata mengikut undang-undang – dirampas balik (berdasarkan Notis 8A) selepas kita mengeluarkan Notis 6A.

PADA PERSIDANGAN MEDIA KHAS PETANG JUMAAT... Selain Dato' Sri Muhammad Safian; antara yang turut kelihatan ialah Dato' Indera Roslan (berbaju kebangsaan, bersongkok) dan Dato' Indera Nazri (di sebelahnya).  


PROSES RAMPAS TANAH ANTARA 3 DAN 5 BULAN

“Proses hendak mengambil balik ini mengambil masa lebih kurang tiga (3) hingga lima (5) bulan,” katanya sambil berkata, sasaran utama ialah terhadap mereka yang tunggakannnya terlalu lama serta yang nilainya besar.

Sasaran juga menurutnya, ialah ke atas 141 pelbagai jenis syarikat yang mempunyai tunggakan melebihi RM10,000, dengan nilai tunggakan RM22.655 juta melibatkan 361 keping geran tanah.

Antara langkah yang akan diambil untuk menangani masalah tunggakan hasil tanah katanya, ialah cadangan penurunan kuasa kepada Pentadbir Tanah bagi pembayaran tunggakan cukai tanah dan denda lewat secara ansuran, berdasarkan Kaedah 24 (2) Kaedah Tanah Pahang (KTP) 1992.

Begitu juga katanya, dengan pemasangan papan tanda, poster peringatan membayar cukai tanah di tempat-tempat strategik seperti persimpangan-persimpangan jalan, taman-taman perumahan, kawasan industri, balairaya, masjid, surau dan lain-lain tempat yang bersesuiaan.

Mengenai tunggakan sewa PAKR pula katanya, ia melibatkan 86 projek di seluruh negeri ini yang mana rumah-rumah ini telahpun diberi kepada rakyat golongan berpendapatan rendah dengan ‘end financing’nya disediakan oleh Kerajaan Negeri.

RUMAH GAH TAPI MASIH TAK BAYAR HUTANG

“Untuk ini, kita juga akan mengeluarkan notis-notis kutipan kepada pemilik-pemilik rumah kos rendah yang gagal menjelaskan bayaran bulanan mereka. Ini juga kita mengikutkan tempoh masa,” tegasnya.

“Dan tindakan yang boleh kita ambil ialah, ‘lead’ kepada perampasan rumah juga. Tapi, kita tengok dulu rumah-rumahnya. Kerana, ada rumah-rumah kos rendah ini tak nampak ia sebagai seorang rumah kos rendah. Rumahnya begitu gah, tapi masih tak bayar hutang.

“Tapi kalau kita tengok rumah dia tu memang, daripada mula beli rumah murah sampai sekarang keadaannya masih begitu, yang itu kita akan cari kaedah untuk (mereka) menjelaskan bayaran-bayaran tunggakan mereka. Kita lebih bertolak ansur daripada segi itu,” kata Dato’ Sri Muhammad Safian lagi.

Antara yang turut hadir pada persidangan media khas ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; serta Yang Dipetua-Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Daerah-daerah dan Majlis Daerah; serta, Pegawai-pegawai Daerah. – Khabar