Friday 6 July 2018

RM2,200 juta daripada RM3,200 juta hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan lupus, jadi geran


“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula  bekalan air di negeri Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri.


SERIUS MENERANGKAN... Aksi Dato' Sri Muhammad Safian pada persidangan media khas petang Jumaat ini. 


BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sebanyak RM2,200 juta perbelanjaan berkaitan air daripada RM3,200 juta hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan lupus, menjadi geran; dengan berlakunya penstrukturan bekalan air kelak.

Demikian kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media khas mengenai tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai di sini.

“Kita berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.2 billion. Kita tak ada masalah sangat nak membayarnya kerana, pertama ialah, daripada jumlah itu, RM2.2 billion adalah untuk bayaran berkaitan dengan bekalan air.

“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula  bekalan air di negeri Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang.

“Jadi kita dalam proses sekarang ini, menstrukturkan pengurusan PAIP ini. Kita punyai agensi yang berkaitan dengan air ini ialah PAIP – Pengurusan Air Pahang Bhd. So bila kita strukturkan semula esok, semua ini akan dijadikan sebagai geran.

PINJAM DIANGGAP HUTANG RM200 JUTA BAIKI KEMUDAHAN SEMASA SUKMA

“Jadi, RM2.2 billion hutang tadi, habis. Tinggal RM1 billion lagi,” katanya dan menambah betapa baki hutang RM1,000 juta ini pula ialah berkaitan tiga (3) perkara; pembinaan rumah kos rendah, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan perbelanjaan semasa banjir besar beberapa tahun lepas.

Dengan tindakan Kerajaan Negeri untuk mengutip semula tunggakan sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang berjumlah RM9.74 juta katanya, boleh digunakan untuk membayar kembali hutang di bawah kategori ini.

Semasa penganjuran SUKMA pula katanya, pinjaman kira-kira RM200 juta untuk pembinaan kemudahan sukan seperti kolam renang dan lapan sasar menembak serta kerja-kerja pembaikan stadium telah dianggap sebagai hutang.

Begitu juga semasa negeri ini dilanda banjir besar beberapa tahun lepas, apabila pinjaman sebanyak RM40 juta untuk menanganinya kata Dato’ Sri Muhammad Safian, juga dianggap Kerajaan Persekutuan sebagai hutang.

“Kita sekarang merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya menganggap ia sebagai geran, tidak sebagai hutang.

BAKI HUTANG SEPATUTNYA TINGGAL RM760 JUTA

“Jadi, kalau ada hutangpun, ‘balance’nya adalah lebih kurang RM760 juta. RM760 juta ini kita ada cara kita, termasuklah kita akan mengutip hutang-hutang kita dengan TNB umpamanya.

“Sebab dia (TNB) menggunakan air untuk ‘generate power’ – air di Cameron Highlands, air di Empangan Tekai. Kita akan tuntut bayaran. Diapun berhutang juga dengan kita,” katanya lagi.

‘Berapa lamakah tempoh untuk selesaikan perkara ini?’ tanya susulan wartawan kanan Berita Harian, dan Dato’ Sri Muhammad Safian secara spontan menjawab, “Saya diberi mandat oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, selesaikan sebelum hujung tahun ini”.  – Khabar