Tuesday 15 January 2019

KDYMM Sultan Pahang ke-VI ikrar teruskan legasi pemerintahan utamakan kepentingan rakyat.


“Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda yang berpaksikan kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, ‘Raja dan rakyat sehati sejiwa' akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya,” titah Baginda

TERMASYHURLAH, KDYMM SULTAN PAHANG KE-VI... 


BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN – KDYMM Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Ke-VI bertitah untuk terus mengutamakan kepentingan rakyat sepanjang pemerintahan Baginda.

Baginda yang mewarisi taktha daripada Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, berikrar untuk meneruskan legasi pemerintahan yang selama ini dekat di hati rakyat dan sentiasa menjaga kepentingan mereka terutama apabila dilanda musibah.

“Saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak.’ Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah, dan menumpang kasih apabila berduka.

“Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda yang berpaksikan kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, ‘Raja dan rakyat sehati sejiwa’ akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya,”
titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultan Pahang Ke-VI  pada pagi Selasa, 15 Januari di sini. Ini sepertimana dipetik daripada laporan berita oleh Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA).

YAM TENGKU MUDA PAHANG... Tenang dalam menyempurnakan pemasyhuran Paduka Kekanda sebagai KDYMM Sultan Pahang Ke-VI.


YAM TENGKU MUDA SEMPURNAKAN PEMASYHURAN

Pemasyhuran disempurnakan oleh oleh YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak;

“Telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj D.K, S.S.A.P, S.I.M.P, D.K Terengganu, D.K Johor; Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi Raja Pemerintah;

“Yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuatkuasa 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah,”
katanya.

SEBAK DALAM MENGENANGKAN PADUKA AYAHANDA... 


KDYMM SULTAN PAHANG, AL-SULTAN ABDULLAH RI‘AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan tengah hari ini oleh Setiausaha Sulit kepada KDYMM Sultan Pahang menyebut bahawa gelaran kepada Baginda KDYMM Sultan Pahang Ke-VI kini ialah;

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang membawa maksud, Sultan Abdullah pembela agama yang terpilih oleh Allah.

KDYMM Sultan Pahang turut menitah-serukan semua kepimpinan negeri di setiap peringkat supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab serta menjunjung sifat ketakwaan.

Baginda turut menitah-ingatkan bahawa hanya pemimpin yang bertakwa sahaja yang akan menginsafi bahawa setiap perbuatan dan keputusan mereka bakal dihitung di akhirat.

“Sesungguhnya, kekuatan sebuah negeri adalah kerana raja pemerintah, manakala kekuatan raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya. Kerana itu, pepatah Melayu lama ada berpesan - ‘Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya’,” titah Baginda.


IKRAR TAAT SETIA MEWAKILI AHLI-AHLI MMK NEGERI, WAKIL RAKYAT-WAKIL RAKYAT, PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN, BADAN-BADAN BERKANUN SERTA RAKYAT SELURUH NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR... Dato' Sri Wan Rosdy menyampaikan ucapan 9-minit 44-saatnya.
MEWARISI TAKHTA DARIPADA RAJA PEMERINTAH YANG ADIL

Baginda turut bertitah betapa Baginda merasa amat kerdil dan insaf apabila dipertanggungjawabkan mewarisi takhta negeri Pahang daripada Paduka Ayahanda Baginda, Sultan Ahmad Shah.

“Baginda merupakan seorang Raja Pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat jelata. Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda tiada bandingannya. Ia akan terpahat segar dalam lipatan sejarah,” titah KDYMM Sultan Pahang.

Titah penghargaan turut diberikan kepada YAM Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, paduka-paduka kekanda dan adinda, serta Jumaah Pangkuan Diraja negeri Pahang yang telah memberikan kepercayaan untuk melantik dan memasyhurkan Baginda sebagai Sultan Pahang Ke-VI.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; dan Kerajaan Negeri atas khidmat bakti mereka bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan Pahang. – BERNAMA/Khabar