Thursday 17 January 2019

Masih mengungkit perkara yang telah ada penyelesaian, kata Menteri Besar

DARIPADA KETUA KERAJAAN NEGERI PEMBANGKANG JADI PEMIMPIN KANAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PH SEKARANG... Inilah imej Encik Lim ketika pada awal pagi berkenaan, merayu bantuan Kerajaan Persekutuan berkaitan banjir. (IMEJ dipetik dari laman internet).


TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Seperti memutarkan semula ‘piring hitam lama’, Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng pada ceramah politiknya di Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1 malam tadi, telah mengungkit kembali soal hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya bukan lagi isu ekoran penyelesaian yang telah tercapai.

Penyelesaiannya ialah – hutang RM2,200 juta (RM2.2 billion) yang berkaitan dengan kerja-kerja serta sistem pembekalan air di negeri ini – menaik taraf Loji-loji Rawatan Air (LRA) dan menukar paip-paip usang daripada jenis asbestos kepada PVC, yang sepanjang kira-kira 12,000 KM di negeri ini;

Akan terlupus dan menjadi geran apabila berlakunya penstrukturan bekalan air seluruh negara yang sedang rancak dilaksanakan sekarang, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ‘entry’ terbaharu laman sosial ‘Facebook’nya .

Perkara ini menurutnya, telahpun dinyatakan oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada persidangan media di Wisma Sri Pahang, Kuantan 6 Julai lepas.

“Kita berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.2 billion. Kita tak ada masalah sangat nak membayarnya kerana pertama ialah, daripada jumlah itu, RM2.2 billion adalah untuk bayaran berkaitan dengan bekalan air.

HUTANG TERLUPUS DENGAN PENSTRUKTURAN SEMULA SISTEM PEMBEKALAN AIR

“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutun; apabila kita strukturkan semula bekalan air di negeri Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang.

“Jadi kita dalam proses sekarang ini, menstrukturkan pengurusan PAIP ini. Kita punyai agensi yang berkaitan dengan air ini ialah PAIP – Pengurusan Air Pahang Bhd. So bila kita strukturkan semula esok, semua ini akan dijadikan geran.

“Jadi, RM2.2 billion hutang tadi, habis. Tinggal RM1 billion lagi,” sepertimana kata Dato’ Sri Muhammad Safian pada persidangan media tersebut.

Dan baki hutang RM1,000 juta (RM1 billion) itupun menurutnya, ialah yang berkaitan dengan perkara-perkara asas demi kesejahteraan rakyat seperti bagi pembinaan rumah kos rendah dan perbelanjaan sebagai bantuan mangsa-mangsa banjir tahun 2014, serta kos penganjuran SUKMA XV Pahang 2012.

Kos penganjuran SUKMA XV Pahang 2012 dengan kerja-kerja membina baharu dan menaik taraf kemudahan-kemudahan sukan, melibatkan kira-kira RM200 juta manakala bagi bantuan mangsa-mangsa banjir ialah kira-kira RM40 juta.

‘WISER AFTER THE EVENT’

Hutang-hutang ini sepatutnya dianggap sebagai geran memandangkan ia turut mempunyai kepentingan nasional sepertimana penganjuran SUKMA XV Pahang 2012 tersebut.

Maka, kalau adapun hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, nilainya sepatutnya adalah kurang, cuma RM760 juta yang mana jauh kurangnya daripada RM3.1 billion yang diuar-uarkan secara negatif oleh Menteri Kewangan tersebut.

Oleh kerana itulah juga, setelah menjadi ‘wiser after the event’ atau terhantuk baru tergadah, Kerajaan Negeri kini ada caranya untuk menambahkan hasil negeri yang daripadanya boleh digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

Antaranya ialah, dengan meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) misalnya, membayar Kerajaan Negeri atas jumlah air yang digunakan oleh stesen-stesen janakuasa hidro bagi menghasilkan elektrik.

Dengan hasil tambahan ini insyaAllah kata Dato’ Sri Wan Rosdy, akan dapat mengukuhkan lagi kewangan negeri yang saban tahun menerima hasil kira-kira RM700 juta daripada sumber-sumber tradisional seperti tanah dan hutan.

PERTANGGUNGJAWABAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

Sungguhpun begitu dan walau apapun status atau nilai yang Kerajaan Negeri berhutang dengan Kerajaan Persekutuan katanya, Encik Lim tentunya sedar akan pertanggungjawaban Kerajaan Persekutuan ke atas Kerajaan Negeri.

Pertanggungjawapan ini pula melibatkan Kerajaan Persekutuan, dengan hasil yang dijangkakan di bawah Belanjawan 2019 kira-kira RM261,800 juta (RM261.8 billion), berbanding hasil yang dijangkakan di bawah Bajet Negeri Pahang 2019 kira-kira RM703.80 juta sahaja.

Atau dalam ertikata lain, hasil yang dijangkakan diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2019 ini ialah kira-kira 372 kali ganda lebih besar daripada hasil yang dijangka diperolehi oleh Pahang pada tahun ini.
Hasil-hasil yang dikutip oleh Kerajaan Pesekutuan pula katanya, tentulah besar kerana ia diperolehi meliputi ke seluruh negara, yang melampaui sempadan sesebuah negeri.

Ini sememangnya selaras dengan bidangkuasa Kerajaan Persekutuan yang lebih luas sepertimana termaktub di bawah Senarai Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan.

HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN BESAR SEBAB LIPUTAN KUTIPAN CUKAINYA KE SELURUH NEGARA

Terdapat 25 perkara dalam Senarai Persekutuan itu, antara lainnya meliputi hal-hal berkaitan pertahanan, hal-hal luar negeri, keselamatan dalam negeri, kewarganegaraan serta perdagangan, perniagaan dan industri.

Di bawah Senarai Negeri pula, terdapat cuma sembilan (9) perkara antara lainnya ialah hal-hal berkaitan jentera Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, tanah, perhutanan dan pertanian, serta, undang-undang Islam, agama dan adat Melayu.

Oleh sebab itulah maka hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan juga besar, termasuklah cukai-cukai yang dikutip oleh misalnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daripada perdagangan, perniagaan dan industri di seluruh negara.

Dan di Pahang sahaja, antara tahun 2006 dan 2013, jumlah yang dikutipi oleh JKDM tersebut ialah kira-kira RM744 juta, yang belum lagi apa yang diperolehinya dari negeri-negeri lain.

Menerusi kutipan hasil-hasil inilah, Kerajaan Persekutuan dapat mengemukakan Belanjawan Negaranya, yang menyediakan peruntukan-peruntukan tertentu kepada setiap Kementerian di bawahnya.

PERUNTUKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK LIPUTI SELURUH NEGARA

Di bawah Belanjawan Negara 2019 misalnya, Kementerian Pendidikan ialah penerima peruntukan terbesar – kira-kira RM60,200 juta (RM60.2 billion) yang dengan itulah, menjadi tanggungjawab Kementerian ini pula untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan ke seluruh negara termasuk Pahang – negeri yang diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam hal ini, tidak menghairankan juga tatkala Pulau Pinang dilanda banjir dan ribut semasa Encik Lim masih sebagai Ketua Menteri, beliau telah membuat panggilan awal pagi kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, merayu Kerajaan Persekutuan pimpinan BN membantu Kerajaan Negeri pimpinan DAP!

Sebagai Kerajaan Persekutuan BN yang tahu tanggungjawabnya ke atas sesebuah negeri, sudah tentulah bantuan segera dihantar bagi membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang tersebut.

Maka kini, sebagaimana Kerajaan Persekutuan BN terdahulu yang memahami akan tanggungjawabnya ke atas negeri-negeri kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi; begitulah juga yang diharapkan daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang.

Bukannya dengan membuat pelbagai tohmahan dan sindiran, semata-mata untuk menghina negeri-negeri yang bukan se-Pakatan Harapan dengannya, demi maraih undi untuk memastikan kemenangan calonnya pada Pilihanraya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini. – Khabar

.