Thursday 16 July 2020

Ambil peluang, kemukakan cadangan, saran Menteri Besar

… sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Deraf Rancangan Kawasan Khas Tanjung Gemok

GONG DIPALU TANDA RASMILAH...


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUALA ROMPIN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan agar penduduk khususnya di Tanjung Gemok dekat sini, memberi cadangan dalam tempoh Program Publisiti dan Penyertaan Awam Deraf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Gemok.

Tempohnya bermula 1 Julai lepas, selama sebulan sehinggalah 31 Julai 2020.

“… terpulang kepada rakyat untuk membuat cadangan, bantahan kemudian tu kita ‘collect’ dan mana yang kita rasa boleh menambah-baik dan sebagainya, Kerajaan Negeri akan laksanakanlah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

“Kita tak boleh buat sesuka hati kita. Kita kena mendangar pandangan rakyat (sebab) itu kita beri ‘ample time’ selama sebulan kepada rakyat untuk (buat cadangan/bantahan),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Deraf Rancangan Kawasan Khas Tanjung Gemok pagi Khamis, 16 Julai di sini.

Kepada soalan tentang peruntukan bagi melaksanakan pelbagai cadangan yang dikemukakan dalam Deraf RKK Tanjung Gemok ini katanya, Kerajaan Negeri akan ‘support sikit’ selain cuba memperolehinya daripada Kerajaan Persekutuan.

TANDA SOKONGAN KEPADA DRAF RKK TANJUNG GEMOK... 


TANJUNG GEMOK SEBAGAI ‘ENTRY POINT’

Menurutnya, kedudukan Tanjung Gemok adalah strategik; selain ia sebagai ‘entry point’ ke Pulau Tioman, juga pintu masuk ke negeri ini dari selatan Semenanjung Malaysia terutamanya sebagai tarikan pelancong domestik.

“Kita tak boleh kekal dengan keadaan ‘status quo’. Kita kena sentiasa – hari ini lebih baik daripada hari semalam tapi ‘takes time’lah, bermula dengan Deraf Rancangan Kawasan Khas,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Menurut maklumat yang disediakan oleh PlanMalaysia@Pahang, RKK Tanjung Gemok merupakan rancangan pemajuan yang disediakan sebagai panduan dan pemudah-cara (ENG; ‘enabler’) kepada sektor-sektor pelancongan, ekonomi dan aktiviti maritim.

Ia akan menjadi rujukan utama kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) dalam melakukan tindakan pembangunan dengan kadar segera setelah mengenalpasti isu-isu perancangan dan pembangunan setempat.

Kedudukannya di tengah-tengah laluan utama antara Johor Bahru dan Kuantan, menjadikan Tanjung Gemok semakin berpotensi untuk dikunjungi lebih ramai pelancong jika peranannya sebagai hab transit pelancongan diperkukuhkan.

BUAT KENANGAN...


KELUASAN 351 HEKTAR

Luas kawasan liputan RKK Tanjung Gemok ialah kira-kira 351 hektar atau hanya 0.07 peratus daripada seluruh daerah Rompin seluas 524,705 hektar.  

Sebanyak 122 projek dicadangkan di bawah RKK Tanjung Gemok ini iaitu 17 di bawah Projek Impak Tinggi (PIT); 58 di bawah Projek Utama (PU); dan, 47 di bawah Projek Sokongan (PS)

Antara PIT ialah – pembinaan Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu; hotel berkonsep unik dan menarik; meningkatkan pengeluaran industri pemprosesan makanan dan sejuk beku; pembinaan pemecah ombak dan mendalamkan Sungai Endau; pengwujudan ‘Steet Art Tanjung Gemok; dan, Laman Tok Jenang.

Antara PU ialah – membina tempat letak kereta bertingkat; menganjurkan ‘River Cruise Tanjung Gemok’ dan ‘Corniche Fish Market’ sepertimana misalnya di Doha, Qatar); serta, Inap Desa konsep perkampungan desa pinggir laut di Tanjung Pahang.

Antara PS pula ialah – kerja-kerja menaik taraf pasar Tanjung Gemok; menaik taraf Perpustakaan Desa; merobohkan rumah kampung terbiar; dan, menaik taraf persimpangan Jalan Tanjung Pahang/Jalan Sungai Nipah

YANG TURUT HADIR

Yang turut hadir pada majlis ringkas pagi Khamis ini ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri – Dato’ Sri Johari Husin dan Encik Abdul Rahim Muda; Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hassan Ariffin;

Ketua Pengarah PlanMalaysia, Dato TPr Mohd Anuar Maidin; Pegawai Daerah Rompin, Encik Ahmad Nasim Mohd Sidek; dan Pengarah, PlanMalaysia@Pahang, Puan Harizah Hassan. – Khabar