Friday 3 July 2020

Banyak isu selesai


… menutupi kempen PRK N23 Chini

MENINJAU KE PUSAT MEDIA DI KAMPUNG SALONG INI... Mengambil kesempatan berada di Kampung Salong pagi dan tengah hari Jumaat, 3 Julai; Dato' Sri Wan Rosdy diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Sri Azmin Ali telah meninjau ke pusat ini sebaik-baik selepas menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid berhampiran.

Pusat Media ini dikelolakan oleh Jabatan Penerangan Negeri yang di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). 

PUSAT MEDIA, KAMPUNG SALONG, PEKAN – Betul sangatlah kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai isu-isu dibangkitkan pada kempen Pilihanraya Kecil (PRK) N23 Chini, yang kebanyakannya sama ada sudah selesai mahupun ke arah penyelesaian.

Isu-isu ini ialah tentang pembekalan air bersih/terawat, projek rumah untuk generasi kedua FELDA yang terbengkalai, peluang pekerjaan, usaha penyelamatan alam sekitar Tasik Chini, pembelaan nasib Orang Asli dan projek tapak ujian dan latihan bagi kenderaan dan peralatan kenderaan tentera. 

Yang turut dijadikan isu pada awal penamaan calon tetapi kemudian ‘sejuk’ ialah tentang calon yang merupakan anak kelahiran Kedah. Hakikat bahawa dia sudah bermastautin lebih 40 tahun – belajar, bekerja, berkahwin, dan terlibat aktif dalam kerja-kerja NGO setempat; telah meredakannya.

Sebelum ini lagi, Dato’ Sri Wan Rosdy telah menyatakan betapa Pahang berada pada kedudukan kewangan kukuh bersandarkan hakikat bahawa hasil sebenar yang ia perolehi tahun lepas (2019) ialah RM847.3 juta iaitu peningkatan 20 peratus berbanding anggaran hasil RM703.8 juta sepertimana nilai Belanjawan Negeri 2019.

Belanjawan Negeri 2019 ialah Belanjawan Negeri pertama dibentangkannya sebagai Menteri Besar Ke-15 pada Isnin, 19 November 2018, kira-kira enam (6) bulan selepas pelantikan ke jawatan ini pada 15 Mei 2018.

Peningkatan dalam kadar cukai balak yang tidak dinaikkan sejak 31 tahun lepas lagi; ialah antara penyumbang utama kepada peningkatan hasil negeri itu dan betapa, ia hanya melibatkan mereka dalam industri pembalakan itu, tidak melibatkan rakyat-jelata secara am.

Berikut ialah lagi isu yang telah ditangani bagi penyelesaian –

SESUATU YANG MENARIK PERHATIAN... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menunjukkan sesuatu kepada Dato' Sri Azmin.


BEKALAN AIR BERSIH/TERAWAT

1) Panggilan tender untuk pembinaan kolam takungan hiliran (ORS; Off River Storage) di muka sauk Sungai Mentiga, dekat Loji Rawatan Air (LRA) Chini dilaksanakan pada 22 Jun lepas (2020), disusuli pembinaan dalam tempoh setahun dan dijangka siap pada hujung Ogos 2021.

2) Projek dijangka lebih RM18 juta ORS ini bagi mengatasi masalah bekalan air bersih/terawat melibatkan kira-kira 33,000 pengguna/penduduk Chini dan persekitarannya.

3) Projek ini di‘perjuangkan’ sejak 2017 lagi oleh Kerajaan Negeri, terutamanya oleh bekas Ahli Dewan Negeri kawasan Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun.

4) Sepatutnya dilaksanakan pada 2018 tetapi atas sebab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika itu menghentikan peruntukan, menyebabkan projek ini tergendala.

5) Dengan peruntukan RM18 juta juga, ORS yang dicadangkan hanya boleh menakung air bagi menampung setakat selama 11 hari sahaja musim kemarau sedangkan purata musim kemarau di sini antara 20 ke 24 hari.

Dato’ Sri Idris Jusoh selaku Pengerusi Felda, telah bersetuju dengan permintaan Kerajaan Negeri supaya daripada 11 hari dapat ditingkatkan saiz/kapasiti ORS kepada selama 22 hari, demikian juga dijangka peningkatan kepada kos RM18 juta.

MENANDATANGANI BUKU PELAWAT... Yang turut kelihatan di belakang kedua-dua Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Azmin ialah Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri, Encik Mohd Salmun Mustafa (berdiri, dua dari kiri) dan Timbalannnya (berdiri, dua dari kanan) Encik Mazli Hamdan serta pegawai-pegawai lain. 


SEBANYAK 29 UNIT RUMAH GENERASI KEDUA FELDA TERBENGKALAI 

1) Isu 29 unit rumah generasi kedua FELDA terbengkalai di Rancangan Tanah FELDA Chini 3 menghampiri penyelesaian susulan peruntukan RM9.5 juta Kerajaan Persekutuan luluskan sejak April (2020) lagi.

Dan kerja-kerja pemulihan/penyiapan akan dilaksanakan bermula September 2020 ini.

2) Ini antara perkara diperjuangkan oleh Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar, tetapi tidak sempat menyaksikan hasilnya setelah pulang ke Rahmatullah pada lewat malam 6 Mei (2020) lepas.

3) Sebelum inipun, pada bulan-bulan Julai dan Oktober 2018 lagi, FELDA telahpun mengemukakan cadangan Pelan Penyelamatan dan Pelan Penyiapan bagi projek ini, kepada Kerajaan Persekutuan.

4) Peruntukan RM9.5 juta ini, ia akan digunakan bukan sahaja untuk memulih dan menyiapkan projek terbengkalai membabitkan 29 unit rumah teres setingkat di bawah Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) ini.

Ia juga (peruntukan RM9.5 juta) bagi pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur untuk keseluruhan tapak asal bagi pembinaan 100 unit rumah berkenaan, termasuk kerja-kerja ‘blasting’ (meletupkan) kawasan berbatu di tapak sama.

5) Bagi menyempurnakan pembinaan baki lagi 71 unit rumah jenis sama, FELDA sedang menunggu peruntukan dipohon kira-kira RM6.4 juta (atau kos kira-kira RM90,000 seunit) daripada Kerajaan Persekutuan.

MASIH SEMPAT DITEMUBUAL OLEH WARTAWAN MEDIA CETAK...Selain Dato' Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Timbalan Pengerusi BN Negeri, Dato' Sri Hassan Ariffin (dua dari kiri) yang juga Ahli Parlimen Rompin; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri sekali) yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan Bebar.  


ALAM SEKITAR TASIK CHINI DIPULIHARA/DIPELIHARA

1) Meneruskan komitmen pemuliharaan dan pemeliharaan hutan termasuk di sekitar kawasan sensitif Tasik Chini –

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 13 Mac 2019 lagi, menetapkan Dasar Khas bagi aktiviti perlombongan sekitar Tasik Chini di bawah Mukim Penyor ini. 

2) Antara intipati Dasar Khas ini, Kerajaan Negeri tidak lagi meluluskan Pajakan Melombong (ML; Mining Leasing) baharu di sekitar tasik tersebut, demi memelihara alam sekitarnya.

3) Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat MMK sama pada 13 Mac 2019, bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di sekitar Tasik Chini sebagai Hutan Simpanan Kekal (H.S.K) Chini.

4) Keluasan ini (4,498 hektar) bersamaan saiz hampir 6,000 padang bolasepak berukuran 0.77 hektar atau 7,700 meter persegi (110 meter X 70 meter) setiap sebuah padang bolasepak tersebut.

5) Mengenai perlombongan haram di sekitar Tasik Chini, pelbagai usaha penguatkuasaan dilakukan dan akan terus dilakukan termasuk tindakan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan berkaitan.

Antaranya – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Jabatan Perhutanan; Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; dan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan

Bagi menguatkan keberkesanan kerja-kerja penguatkuasaan, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk membangunkan ‘Pangkalan Data Perhutanan – Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS)’ dan pemantauan termasuk penggunaan Teknologi LIDAR (Light Detection Radar).  

KILANG KERTAS RM80 JUTA SEDIA 3,000 PELUANG PEKERJAAN 

1) Kilang kertas RM80 juta – NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd (NGPP) di Paloh Hinai, Pekan dalam Dewan Negeri (DN) Chini, bakal menyediakan 3,000 pekerjaan untuk anak tempatan, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) tahun.
 2) Fasa 1 yang sedang dalam peringkat akhir pembinaan dan bakal menawarkan 250 peluang pekerjaan, dijangka siap pada suku terakhir tahun 2020 ini.

3) Kilang NGPP ini ialah milik syarikat tersenarai di Bursa Malaysia iaitu NextGreen Global Bhd yang juga pemaju Taman Teknologi Hijau (GTP; Green Technology Park) di kawasan seluas 166 hektar (410 ekar) di Paloh Hinai, bersebelahan Lebuhraya Tun Razak Kuantan-Segamat.

4) Keseluruhan GTP bernilai pelaburan RM2,000 juta (RM2 billion) dan dibangunkan dalam tempoh lima (5) tahun.

Kilang NGPP menganjurkan ‘teknologi hijau’ dengan usaha menghasilkan kertas menggunakan tandan kosong buah kelapa sawit yang boleh diperolehi secara mudah dari kilang-kilang kelapa sawit di daerah Pekan termasuk Chini.

5) Pada 19 Jun 2020, Dato’ Sri Wan Rosdy telah mengiringi bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkunjung dan meninjau persiapan terkini kilang ini.

6) Pada lawatan ini, mereka turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kilang NGPP dengan Kumpulan Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF).

12) Antara intipati MoU itu ialah –

I) NGPP melantik KPF sebagai agen pembelian/penjualan buah tandan kosong (EFB; Empty Fruit Bunches) dan pelepah sawit (OPF; Oil Palm Fronds) melalui pertubuhan peneroka di rancangan-rancangan tanah FELDA berhampiran.

II) NGPP turut melantik KPF serta syarikat-syarikat kumpulannya, sebagai agen pemasaran baja organik yang juga akan NGPP hasilkan.

III) NGPP beri kerjasama untuk melatih generasi kedua FELDA, kemudian untuk diserapkan bekerja di mana-mana kilang yang bakal didirikan di Taman Teknologi Hijau (GTP).  

13) Selain itu, NGPP turut mengambil inisiatif memperkenalkan program perantis (apprenticeship) dan latihan industri dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang berdekatan.

14) Seramai 50 pelatih akan diambil di bawah program selama enam (6) bulan dengan elaun RM300 sebulan dan yang mana difikirkan sesuai, akan diserapkan bekerja dengan NGPP.

RTK KHAS UNTUK ORANG ASLI

1) Atas sikap mengambil berat secara berterusannya terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri sendiri mewujudkan secara perintis program pembangunan tanah – Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas bagi Orang Asli.

2) Seramai 133 peserta Orang Asli terlibat dalam RTK Khas ini, setiap seorang menerima 2.43 hektar bersamaan enam (6) ekar, yang berkeluasan keseluruhan kira-kira 323.75 hektar bersamaan 800 ekar.

3) Sepertimana program pembangunan tanah anjuran agensi Kerajaan Persekutuan seperti FELDA; RTK Khas bagi Orang Asli ini akan dibangunkan dengan tanaman sesuai oleh syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC).

Peserta akan menerima dividen/saham atas nilai hasil pengeluaran kelak.

4) Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tahap ekonomi masyarakat Orang Asli. Suratan hakmilik tanah juga akan dikeluarkan kepada para peserta apabila tiba masanya kelak.

TAPAK UJIAN TROPIKA KEMENTERIAN PERTAHANAN 

1) Kerajaan Negeri telah meluluskan tanah seluas 12 hektar (30 ekar) di Kampung Bintang bagi Kementerian Pertahanan melaksanakan projek bernilai RM60 juta pembinaan Tapak Ujian Tropika.

2) Kelulusan tanah dan usaha membawa projek ke Kampung Bintang dalam Dewan Negeri (DN) kawasan Chini ini, turut disumbangkan/hasil perjuangan bekas Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar.

3) Projek ini mungkin tidak menyumbang banyak kepada pengwujudan peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan, tetapi ia secara tidak langsung akan membawa limpahan ekonomi sewajarnya ke kawasan persekitaran. 

4) Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah memaklumkan, projek RM60 juta ini iaitu RM40 juta untuk kos pembangunan dan lagi RM20 juta kos peralatan; kini dalam proses panggilan tender.

5) Projek ini ialah sebagai projek kecemerlangan bagi membuat percubaan daripada segi kesesuaian cuaca negara ini ke atas kenderaan dan peralatan kenderaan tentera yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan. – Khabar