Friday 17 July 2020

Lagi kelongggaran bagi operasi premis perniagaan/aktiviti sosial, berkuatkuasa 15 Julai



SUDAH BOLEH DIBUKA... Foto ini sekadar hiasan.


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Lagi kelongggaran bagi operasi premis perniagaan/aktiviti sosial


Alhamdulillah, Pahang berjaya mengekalkan status kes sifar wabak pandemik COVID-19 bagi tempoh 33 hari berturut-turut pada 16 Julai 2020. Kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 13 Jun 2020.

Keseluruhannya, Pahang merekodkan kumulatif 365 kes positif wabak pandemik COVID-19 dengan 358 kes sembuh dan tujuh (7) kematian.

Sungguhpun kes aktif dan kes baharu wabak pandemik ini telah tiada namun saya ingin menasihatkan rakyat Pahang agar kekal patuh dengan arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kerajaan tetapkan.

Selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan pembukaan operasi perniagaan bagi sektor berikut berkuatkuasa 15 Julai 2020, iaitu –

1) Pusat Hiburan Keluarga; melibatkan arked permainan/taman ‘funfair indoor’, hiburan pendidikan (edutainment), ‘gym’ permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi, dan pusat karaoke keluarga.

Kelab malam, ‘pub’ dan disko bagaimanapun, masih TIDAK DIBENARKAN.

2) Gelanggang Sukan dan Rekreasi yang melibatkan acara –

i) Sukan Tiada Bersentuhan Fizikal (non-contact sports) dan sukan individu tanpa penonton seperti sukan permotoran termasuk perlumbaan permotoran (lumba motorsikal dan kereta) di litar, pertandingan dan kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, jimnastik perseorangan, terjun papan anjal, kejohanan catur dan seumpamanya.

ii) Sukan dan Rekreasi Bersentuhan Fizikal (contact sports activity) – sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw, skuasy dan sukan tempur (karate, silat, taekwondo, dan sebagainya).

Penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton (local competition and tournament without spectator) hanya dibenarkan mulai 15 Ogos 2020 (seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melibatkan Liga Super dan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan, Liga Ragbi Malaysia (MRL)).

iii) Penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara/kejohanan tempatan sahaja, tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan peserta yang ramai (mass gathering).

Sukacita dimakulmkan bahawa, waktu operasi bagi semua premis perniagaan yang dibenarkan adalah mengikut lesen perniagaan yang telah diluluskan.

Kesemua premis perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan sepertimana dipaparkan pada laman sesawang MKN (www.mkn.gov.my) dan portal Kerajaan Negeri Pahang (www.pahang.gov.my).

Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan DIWAJIBKAN menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko/kesihatan.

Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial dan rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan, latihan, jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam adalah mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial.



DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
17 Julai 2020 – Khabar