Sunday, 17 March 2013

Bantuan tahunan pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) di Mesir akan naik?


… atas sikap ambil berat Kerajaan Negeri ekoran kenaikan mendadak harga barangan keperluan, yang bebankan kira-kira 130 pelajar kita di sana.

MULAKAN LANGKAH... Bergerak dari sekolah berdekatan - Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, mereka berjalan kaki kira-kira 1 km sebelum berhimpun semula di Padang F.A untuk mengikuti siaran langsung ucapan Perdana Menteri, dan kemudian ucapan Menteri Besar sendiri. 


PADANG F.A, JERANTUT – Kerajaan Negeri sedang meneliti usaha menaikkan bantuan tahunan pelajar-pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) di Mesir, ekoran kenaikan mendadak harga barangan keperluan hingga membebankan mereka di negara yang belum reda daripada pergolakan itu.

“Di Mesir sekarang ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “Kalau masa saya pergi dulupun telah naik (harga) barang. Semasa Perdana Menteri singgah sekejap di Kaherah baru-baru ni, pelajar-pelajar kita beritahu; dulu daging RM15 sekilo, sekarang RM45, RM50 sekilo.

“Terpaksa Perdana Menteri termasuk juga kita di peringkat negeri, Yayasan Pahang, fikirkan bagaimana nak naikkan elaun anak-anak ni untuk mereka berbelanja, sara hidup seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penghujung ucapan luar teks 13-minitnya sempena Majlis Pelancaran 1Malaysia Komuniti PerWani serta Program 1 Million Women Purple Walk Peringkat Negeri pagi Ahad, 17 Mac di sini yang dihadiri wanita berbaju-T ungu, kira-kira 20,000 orang.

Pelancaran peringkat negeri adalah serentak dengan peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di Pusat Pentabiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

CENDERAHATI BUAT 'CIKGU'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima cenderahati daripada Dato' Syed Mutalib, yang bukan sahaja bekas anak muridnya, tetapi juga bekas setiausaha sulit kanannya yang kini mengetuai pentadbiran sebuah daerah yang semakin pesat membangun. 


BILA KERAJAAN JATUH, BEREBUT PULA JADI PEMIMPIN

Adalah difahamkan, terdapat kira-kira 130 pelajar tajaan YP di Mesir era pasca gejala ‘Arab Spring’ ketika ini, yang sedang mengikuti kursus sama ada dalam bidang Pendidikan Islam ataupun Perubatan.

Berbanding bantuan tahunan yang baharu lagi dinaikkan kepada pelajar-pelajar Perubatan, pelajar Pendidikan Islamlah – yang menikmati RM6,000 setahun, yang bakal menerima manfaat daripada kata-kata terkini Menteri Besar ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian mengulangi gesaannya kepada rakyat agar tidak mudah-mudah mengambil langkah untuk menukar Kerajaan yang ada sepertimana kerajaan-kerajaan yang telah ditukarkan di Timur Tengah termasuklah Mesir.

Apatah pula katanya, apabila sahaja Kerajaan ditukarkan, akan berlaku perebutan kuasa antara mereka yang ingin menduduki tampuk kepimpinan Kerajaan yang baharu mengambil alih kuasa tersebut.

“Apabila Kerajaan ini tukar, keamanan tidak timbul (wujud) sebab orang akan berebut. Bila Kerajaan yang ada jatuh, maka orang akan kata dialah layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

MESRA BERSALAMAN... Dato' Sri DiRaja Adnan, disusuli isteri, Datin Sri DiRaja Junaini; sedang mesra bersalaman dengan sebahagian daripada 20,000 orang yang hadir pada majlis pagi minggu yang panas terik ini.  


‘SAYA TAK KATA BARISAN NI BAIK SANGAT, TAPI TENTU PEMBANGKANG NI JAHAT BENAR’

“Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekelian, fikirlah. Saya tak kata Barisan (Nasional, yang menerajui Kerajaan yang ada) ni baik sangat, tapi tentu pembangkang ni jahat benar. Itu je,” katanya lagi disambut ketawa hadirin tanda sokongan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas ucapan Dato’ Sri Mohd Najib yang dapat turut diikuti secara langsung menerusi paparan skrin besar di depan pentas di padang ini yang menurutnya, wanita bukan sahaja perlu disayangi malah dihormati.

“Kita kena sayangkan wanita sebab wanita ni, walaupun kita perkasakan dia, walaupun wanita ni hatinya kuat, semangat tinggi; tapi wanita tetap wanita. Wanita ni lembut, oleh sebab itu kita kenalah jaga dia,” katanya.

Beliau turut menyebut tentang kejadian pencerobohan oleh pengganas di Lahad Datu, Sabah yang masih berlaku di sebalik pasukan keselamatan negara khususnya polis dan tentera, telah melaksanakan tugas mereka dengan baik.   

“Maknanya, negara kita ni, walaupun aman-tenteram tetapi akan sentiasa diancam. Oleh sebab itu kita kena sentiasa berwaspada sama ada di Sabah, sama ada di Sarawak, sama aa di Johor, Kelantan, Terengganu, sempadan; kita mesti sentiasa berwaspada.

'SEMPOI', BERSAHAJA MENTERI BESAR KITA... Tanpa kekok, Dato' Sri DiRaja Adnan duduk bersila di depan khemah untuk menikmati juadah/makan tengah hari dalam pek plastik yang disediakan untuk para hadirin. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Ir Mohd Soffi (bertopi) dan Dato' Shafik Fauzan.     


SEMUA MESTI MAINKAN PERANAN JAGA KEAMANAN

“Oleh sebab itu, kita semua mesti mainkan peranan. Kita ada kampung masing-masing. JKKK ada ketua masing-masing, ada pengikut, ada jawatankuasa. Perhatikan orang keluar-masuk kampung kita.

“Kalau lain je, kalau kita tak kenal je, eloklah kita beritahu pihak berkuasa. Beritahu pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Dato’ Wan Rosdy Ismail dan Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Ahli Parlimen, Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman (BN – Lipis); Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Mutalib Syed Hassan; serta, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar  

Friday, 15 March 2013

Jangan cuba-cuba!!!


… tiga (3) perkara yang menurut Menteri Besar, tak boleh dicuba-cuba, termasuklah cuba-cuba untuk menukar Kerajaan yang ada, pimpinan Barisan Nasional.

ANAK-ANAK MUDA KEMASUL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan golongan belia Felda Kemasul ini sejurus berakhirnya majlis di sini, petang Jumaat itu. 


DEWAN ORANGRAMAI, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak ‘cuba-cuba’ menukar Kerajaan yang ada, yang telah memberikan perkhdimatan yang baik selama ini.

“Jangan cuba (cuba untuk menukarkan Kerajaan yang ada), nanti esok merana,” katanya yang juga wakil rakyat kawasan ini (BN - Pelangai), sebagai menjawab soalan wartawan pada persidangaan media sempena Majlis Mesra Kasih Warga DUN Pelangai Bersama Pemimpin petang Jumaat, 15 Mac di sini.

Mengulas lanjut katanya, ada tiga (3) perkara yang tidak boleh dicuba-cuba iaitu cuba-cuba untuk menghisap dadah yang akhirnya menyebabkan ketagihan, cuba-cuba hendak kahwin kemudian tidak jadi, dan, cuba-cuba untuk menukar Kerajaan yang ada.

“Kita telah lihat banyak tempat, saya tak sebut negara, tak payahlah… sama ada hasil daripada ‘Arab Spring’, ataupun sebelum ini di Jepun, di India, di Thailand; Kerajaan bertukar tapi akhir-akhirnya balik ke Kerajaan yang asal.

“Kalau mereka telah balik ke Kerajaan asal, kenapa kita yang ada Kerajaan asal ini, perlu tukar dengan Kerajaan lain? Jangan cuba-cuba, nanti kata ‘Ha, kita nak tengok mungkin yang ini (selain Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional) lebih baik’, jangan! Jangan cuba, nanti esok merana,” tegasnya.

BUAL-BUAL MESRA, DI PONDOK BICARA... Dengan bersahaja, Dato' Sri DiRaja Adnan singgah sambil berbual-bual dengan penduduk setempat di bawah pondok yang dinamakan sedemikian, sempena kehadiran buat julung-julung kalinya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke rancangan tanah ini pada Rabu, 5 Disember 2012 sempena Majlis Bicara Tokoh. 

Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Tengku Dato' Zulkifli (dua dari kiri, sebahagian terlindung tiang) serta Encik Shuib (bersongkok, dua dari kanan). 
   

JENAZAH DIKAPAN DENGAN TIKAR MENGKUANG SEMASA ZAMAN JEPUN

Beliau seterusnya menyingkap peristiwa yang beliau sendiri tempuhi ketika masih kecil terutamanya semasa ura-ura kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, bagi menggantikan pemerintahan Kerajaan Inggeris.

“… arwah nenek saya bercerita, sebelum kedatangan Jepun, tali barut-tali barut yang terdiri daripada orang-orang di Tanah Melayu pada masa itu – orang Melayu, orang Cina; menyatakan, ‘Mari kita sokong Jepun, halau British keluar dari Tanah Melayu’.

“(Kata tali barut-tali barut itu) pakaian (akan menjadi) murah. Makanan mewah. Akhir-akhirnya bila Jepun datang, pakaian tidak ada, makanan akhirnya ubi kayu. Orang Melayu, orang Islam yang meninggal duniapun, bukan dikapan dengan kain kapan, (tetapi) dikapankan dengan tikar mengkuang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Jangan cuba-cuba. Nak cakap susah… jangan cuba-cuba benda ni!” tegasnya. 

Kalaupun tidak berpuas hati dengan Kerajaan yang ada, perasaan tersebut serta usaha untuk membetulkan perkara yang menjadi ketidak puasan hati itu katanya, hendaklah dilakukan dari dalam Kerajaan sendiri.

SIAP-SIAGA... Inilah bilik gerakan UMNO cawangan Felda Kemasul yang turut sempat dikunjungi oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, bagi meninjau kesiap-siagaannya menjelang pilihanraya umum yang semakin tiba. 


PEPATAH INGGERIS YANG DIFAHAMI MAKSUD TETAPI SENGAJA DIPUTAR-BELITKAN PEMBANGKANG

“Cuba kita tengok sekarang ni, Dato’ Sri Najib,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi; “Apakah yang rakyat suarakan tidak puas hati yang Dato’ Sri Najib tidak buat? Lapan (8) tuntutan mengenai (penambaikan sistem) pilihanraya, tujuh (7) telahpun dibuat, satu (1) sahaja belum lagi. Maknanya, kita (Kerajaan yang ada) ikut…

“Jadi kalau misalannya Kerajaan yang ada boleh mengikut cakap kita (rakyat) maka, apa salah kita kekalkan (Kerajaan yang ada).

“Saya lebih suka ada seorang ketua yang boleh mendengar cakap pengikut daripada saya tukar ketua itu yang saya akan dapat ketua yang baharu, yang belum tentu lagi buruk-baiknya,” katanya sambil menyebut terjemahan pepatah Inggeris yang asalnya – “Better the devil that you know, than the angel that you don’t”.

Perdana Menteri sendiri menurutnya, bekerja siang malam dengan berusaha merangkulkan semua golongan termasuk yang muda dalam kalangan warga ‘netizens’ seperti ‘bloggers’, ‘facebookers’ dan rakan ‘tweeters’.

“Jadi, janganlah kita ikutkan hawa nafsu. Saya takut esok, kita ingat nak makan tebu, tebang-tebang terkena ke teberau. Teberau macam tebu juga, tapi tak boleh makan, keras, air tak ada.

PRASARANA KESIHATAN DI DUN PELANGAI... Pembangkang mungkin mahu sengaja menafi atau menidakkan, namun hakikatnya, pembangunan terus berlaku di Dewan Undangan Negeri Pelangai termasuk di Chemomoi ini, dengan wujudnya unsur-unsur fizikal seperti Klinik Kesihatan Chemomoi ini. 

Foto ini dirakam tatkala penulis melepasi sempadan Rancangan Tanah Felda Kemasul, memasuki dan melalui pula Rancangan Tanah Felda Chemomoi untuk perjalanan pulang ke Kuantan pada petang Jumaat itu.   


DARIPADA AHLI NGO, AKHIRNYA POLITIK JUGA

“Gajah sukalah, sebab gajah ingat tebu tu teberau, tapi dia makan (sebab) gigi gajah besar, tak apalah. Yang kita ni, kita ingat tebu tiba-tiba teberau, tak boleh nak makan lagi dah,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai Pengerusi, Himpunan Hijau, Encik Wong Tuck – seorang yang kuat membantah projek kilang pemprosesan tanah jarang Lynas malah pernah mengugut untuk membakarnya; yang telah dicalonkan untuk bertanding atas tiket parti pembangkang DAP di parlimen Bentong pada pilihanraya umum kali ini.   

Encik Wong Tuck katanya lagi, memang asalnya dari Bentong khususnya Telemong Estate, yang kemudian ketika berumur 20 tahun, telah dihantar oleh ayahnya berpindah ke Sabah.

“Dan sekarang, dia hendak balik pula ke Bentong, ha eloklah…,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Tapi insyaAllah, kalau calon Barisan (Nasional) tu Dato’ Sri Liow (Tiong Lai, ahli parlimen Bentong sekarang)), menang kita. Pengundi Melayu rata-rata saya ingat dalam 80 peratus menyokong Barisan Nasional, insyaAllah. Dan pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir sama banyak.

AKHIRNYA SELUANG KE TEPI PANTAI JUGA

“Jadi Wong Tuck ni, ibarat kata, ‘sirih pulang ke gagang’lah. Ha biarlah. Ibarat kata, seluang ni, dia dulu pergi ke tengah (laut) akhirnya ke tepi (pantai) juga,” katanya lagi sambil mengakui betapa dalam kalangan kepimpinan Himpunan Hijau sekarangpun sudah menggesa Wong Tuck meletak jawatan ekoran pencalonannya itu.

Antara yang turut hadir pada Majlis Mesra Kasih Warga DUN Pelangai Bersama Pemimpin ini ialah Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Pahang (DPMP), Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad;

Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad; Pengurus, Rancangan Tanah Felda Kemasul ini, Encik Ahmad Dali Saleh; dan tuanrumah iaitu Ketua Peneroka yang juga Ketua UMNO cawangan rancangan tanah ini, Encik Shuib Chin. – Khabar
 
              

Thursday, 14 March 2013

"Kongsi"


… kata kunci oleh Menteri Besar mengajak pemaju utama (master developer) Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) berkongsi dengan golongan peniaga tempatan di negeri ini, bagi menjayakannya. 

'IN TOTAL COMMAND, GARNERING TOTAL SUPPORT FROM LOCAL BUSINESS FRATERNITY'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapan luar teks 20-minitnya. 


HOTEL VISTANA, KUANTAN – “Marilah kita kongsi bersama ‘kek’ besar ini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ditujukan kepada pemaju utama (master developer) Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) – S.P.Setia Bhd dan Kumpulan Rimbunan Hijau Bhd.

Kata-kata ini diluahkan dalam ucapan luar teks 20-minitnya sempena Majlis Dialog Menteri Besar Dengan Komuniti Perniagaan Tempatan Mengenai Peluang Pelaburan Dalam MCKIP pagi Khamis, 14 Mac di sini.  

Dewan yang sepatutnya boleh memuatkan kira-kira 300 orang ini, ber‘limpahan’ apabila yang hadir dalam kalangan peniaga pelbagai kaum dan jenis perniagaan menurut penganjur, Bahagian Perancangan Ekonomi (B-PEN), Pejabat Setiusaha Kerajan Negeri, hingga kira-kira 450 orang!

“We don’t mean to put pressure on you (both S.P.Setia Bhd and Kumpulan Rimbunan Hijau Bhd). But, let us share the cake. The cake is very big and we know that S.P.Setia and Rimbunan Hijau will have to churn out a lot of money in the form of capital.

“Wherever you can assist the local players (local entrepreneurs and companies), please do so. Because, once we created a win-win situation, everybody will be happy,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

SALAMAN MESRA... Jika mula-mula menduduki jawatan nombor 1 di negeri ini, Dato' Sri DiRaja Adnan mengutarakan kepimpinan 'Mesra Rakyat, Mesra Pelabur'nya; kini, selepas kira-kira 13 tahun memimpin, pendekatan kepimpinan itu terus diamalkannya sepertimana terpancar pada foto ini. 

Mengekori beliau di belakang ialah Dato' Sri Muhammad Safian. 


‘JANGANLAH – YANG DAPAT, DAPAT SEMUA; YANG TAK DAPAT, TAK DAPAT LANGSUNG’

“Kita tak hendak, apabila berlaku keadaan – yang dapat, dapat semua; yang tidak dapat, tidak dapat langsung,” katanya, jelas merujuk kepada pelaburan kira-kira RM2,500 juta oleh pemaju-pemaju utama ini dalam membangunkan prasaran industri selain sudah ada komitmen kemasukan pelaburan kira-kira RM10,500 juta ke MCKIP, yang seluas kira-kira 607.5 hektar di Gebeng itu. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kembali akan kegagalan konsep ‘payung’ yang pernah Kerajaan perkenalkan dahulu, bertujuan agar kontraktor utama bagi satu-satu projek besar, memberikan kontrak-kontrak kecil kepada kontraktor-kontraktor kecil seterusnya dapat membantu mereka.

“Tapi sayang sekali, (kontraktor utama kepada sistem) ‘payung’ ini, dia buat syarikat kecil-kecil, bagi ‘payung’ (yakni projek-projek kecil) tapi yang di‘payung’ semuanya syarikat-syarikat dia juga. Ha, ini kita tak mahu,” tegasnya.

“So I hope, S.P.Setia Bhd and Kumpulan Rimbunan Hijau Bhd, will take note of my remarks, and must make sure that the local players must be given some opportunities. I don’t think they (will) demand special preferences but some form of justice must be given to them,” katanya disusuli tepukan, tanda sokongan oleh para hadirin.

Menurutnya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, tentunya sudah mengambil perhatian dalam hal ini dan pemilihan S.P Setia Bhd dan Rimbunan Hijau Bhd, ialah ekoran kedua-dua syarikat ini memiliki rekod yang ‘credible’.

BARISAN KEPIMINAN JITU KITA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian, yang turut kelihatan ialah Dato' Norzan (kiri sekali); Dato' Mahadiah (dua dari kanan); dan Tengku Dato' Zulkifli (kanan sekali).


‘PRESERVING CREDIBILTY THROUGH SHARING’

“I think, S.P.Setia Bhd and Rimbunan Hijau Bhd have been given this opportunity by the Prime Minister because both of you here, have credible standing. So please don’t damage this credibility.

“How to preserve your credibility? By sharing as much as possible, with us here,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan  lagi.

Beliau seterusnya mengakui, beliau bukanlah ahli perniagaan tetapi ahli politik yang terlibat dalam mentadbir negeri ini selaku Menteri Besar. “Kerja saya nak tengok mana peluang yang boleh kita dapat, untuk beri peluang pula kepada peniaga-peniaga supaya pertumbuhan ekonomi dapat dirancang dan tumbuh dengan baik,” katanya lagi.
       
“Kalau saya orang berniaga, saya akan tanya, apa saya (akan) dapat dari projek (MCKIP) ini? Apakh kaitan projek ini dengan perniagaan saya? Saya pembekal simen, saya pembekal ‘hardware’, saya kontraktor yang mahir dalam buat prasarana jalan sebagainya. Apakah saya ada peluang dalam projek ini? Itu penting.

“Dari segi Kerajaan, kita sudah pasti akan mendapat faedah yang banyak sebab setiap pelaburan yang datang ke negeri ini akan membawa sekali peluang-peluang pekerjaan dan ‘spin-off effects’ dan ‘multiplier effects’,” katanya.

KHALAYAK PAGI KHAMIS... Inilah antara khalayak yang hadir yang antaranya, khususnya di barisan paling depan, disebut dalam ucapan Dato' Sri DiRaja Adnan iaitu Dato' Wan Khalid (Pengerusi, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pahang) (kanan sekali); wakil rakyat, Dato' Davendran (tiga (3) dari kanan); seterusnya Dato' Ti (memandang lensa kamera); Dato' Sri Lim; dan Dato' Sri Lam Sing (sebelah-menyebelah). 


JAMINAN PENIAGA TEMPATAN DAPAT PELUANG NIAGA

Beliau juga berkata betapa; “Kalau tengok muka Dato’ Sri Lam Sing, Dato’ Sri Lim Ah Chap, Dato’ Ti Lian Ker, Dato’ Davendran dia tak berniaga tak apa; Dato’ Wan (Khalid) dan muka tuan-tuan dan puan-puan sekelian, ada nampak macam ada sikit kosong, (kot-kot) sedang fikir ‘apa aku boleh dapat? Ini MCKIP betul-betul ke aku dapat peluang? Boleh kasi aku peluang’…

“Saya ingin beri jaminan, InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan memastikan supaya pengusaha-pengusaha tempatan diberi peluang,” tegasnya.

Beliau turut menyebut tentang kecekapan Kerajaan yang dalam tempoh tidak sampai setahun selepas pelancaran China-Malaysia Qingzhou Industrial Park (CMQIP) pada 1 April 2012, MCKIP di Gebeng pula dilancarkan pada 5 Februari lepas.

Ini katanya, menandakan kecekapan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri yang kemudian turut menjalar ke peringkat negeri hinggalah ke peringkat jabatan-jabatan Kerajaan berkenaan.

“Kita bolehlah namakan (penyumbang kepada kecekapan seterusnya pelancaran MCKIP) – pejabat Menteri Besar tak payah sebutlah. Kalau Menteri Besar puji sendiri susahlah sikit; Pejabat Setiausaha Kerajaan, Majlis Perbandaran (Kuantan), jabatan-jabatan teknikal yang lain seperti JKR, TNB sebagainya.

WAKIL YTL SEDANG BERTANYA... Pengarah Eksekutif, YTL Land and Development Bhd, Dato' Hamidah Maktar sedang menanyakan tentang kerja-kerja pembesaran Pelabuhan Kuantan.   


‘WAKE UP CALL FOR EVERYBODY’

“Ini memudahkan pelabur-pelabur yang datang dan sikit sebanyak meningkatkan keupayaan kita, ataupun nama baik kita, ataupun ‘ranking’ kita di kalangan pelabur-pelabur antarabangsa,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang kejadian pencerobohan juak-juak dikatakan dari Kesultanan Sulu ke atas Lahad Datu yang menurutnya, “it is very unfortunate and like (what) Prime Minister (has) said, ‘this is a wake-up call for everybody’.

“We have been enjoying peace, stability for so long (so much so that, it is) putting us into a lull, into sleep, into dream and now, the wake up call. (Thus) we cannot take peace for granted (anymore),” katanya lagi.

Sementara itu, menurut maklumat yang disediakan sempena majlis dialog setengah hari itu, bagi tempoh 20 tahun lepas (1993 – 2012), Kerajaan Negeri telah menerima nilai pelaburan sebanyak RM36,900 juta dengan pengwujudan lebih 50,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

Kerajaan Negeri juga menurut maklumat yang sama, positif untuk terus menerima kemasukan pelaburan yang mana bagi tempoh tiga (3) tahun ini (2013 – 2015),  ia menjangka dapat menerima pelaburan bernilai kira-kira RM20,000 juta dengan jangkaan pengwujudan 18,500 peluang pekerjaan lagi.  

KEHADIRAN ‘WHO’S WHO’ SEKTOR NIAGA PAHANG

Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; wakil rakyat-wakil rakyat Dato' M.Davendran (BN - Sabai); Dato’ Pang Tsu Ming (BN – Semambu) dan Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norzan Ahmad;

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mahadiah Mohamad; Pengerusi, Dewan Perniagaan Melayu Pahang, Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad;  Pengurus Kanan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Puan Suryna Ali;

Pengurus Besar, S.P.Setia Bhd, Encik Stanley Saw; Pengarah Eksekutif, Kumpulan Rimbunan Hijau Bhd, Encik Peter Ng; serta, Pengerusi-pengerusi, Dewan Perniagaan Cina Pahang (DPCP); Dewan Perniagaan India Pahang (DPIP);

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pahang (PKMMP); Persatuan Pelombong Negeri Pahang; Persatuan Pengangkutan Negeri Pahang; Persatuan Pemaju Perumahan Negeri Pahang; Persatuan Pembinaan Pahang; dan, Persatuan Perusahaan Kecil & Sederhana Negeri Pahang. – Khabar


Monday, 11 March 2013

Serendah tahap 'politik jalang' sekalipun, janganlah sampai gadai kepentingan negara, rayu Dato' Sri DiRaja Adnan


MESRA-BAYI... Lihatlah betapa bersahaja dan selesanya bayi daripada keluarga kaum Cina ini dalam dukungan Dato' Sri DiRaja Adnan. 

Foto ini dirakam semasa Menteri Besar beramah-mesra dengan golongan wargatua yang hadir seramai 1,016 orang pada Majlis Penyampaian BR1M yang turut beliau sempurnakan pagi Isnin, 11 Mac di RTC Mini Kampung Shafie, dekat sini. 


DEWAN ORANGRAMAI, RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI KEMAHAL, BENTONG – Seseorang mungkin mahu meletakkan diri ke tahap serendah ‘haiwan politik’ yang amalkan ‘politik jalang’, namun, janganlah melakukan sesuatu hingga boleh menggadai kepentingan negara   

Ini merupakan rayuan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob terhadap pihak-pihak tertentu dalam kalangan kepimpinan parti-parti pembangkang, ekoran isu semasa yang telah mereka putar-belit lalu ditohmah dan difitnahkan terhadap kepimpinan Kerajaan yang ada.

Dalam kata ajuknya sendiri; “Macam-macam kita tengok sekarang ini sebagai contoh yang paling mudahnya, pencerobohan di Lahad Datu, konon dikatakan sandiwara UMNO.

“Janganlah kita (kepimpinan parti-parti pembangkang) sampai rendah sangat politik itu walaupun kita ni ‘haiwan politik’ ataupun ‘politik jalang’, tapi jangan sampai kita menggadaikan kepentingan negara”.

Rayuan ini dibuatnya pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM250 seorang kepada kira-kira 1,000 golongan muda pada petang Isnin, 11 Mac di sini.   

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH, MENGHARGAI JASA KERAJAAN YANG ADA... Ini ialah sebahagian daripada 1,016 wargatua yang hadir pada pagi Isnin, 11 Mac di RTC Mini Kampung Shafie. 


‘HALF-TRUTH’ YANG TIDAK TENTU HUJUNG-PANGKAL

Ternyata, Dato’ Sri DiRaja Adnan tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap pelbagai kenyataan dan tindakan kepimpinan parti-parti pembangkang dalam pada negara menghadapi sesuatu isu semasa.

Dalam menghadapi isu-isu semasa berkenaan katanya, semua pihak termasuk dalam kalangan kepimpinan pembangkang, perlulah menyokong kepimpinan negara ke arah  menangani seterusnya mengatasi isu-isu berkenaan.

“… tapi yang kita perhatikan dalam ‘tweet-tweet’, semua berunsur fitnah. ‘Tweet’ pemimpin parti pembangkang, tak payah sebutlah; berkisar kepada fitnah ataupun ‘half truth’ iaitu kenyataan yang tidak tentu hujung-pangkal, akan benar atau tidak,” katanya.  
   
“Sepatutnya kita ambil contoh masa dalam konfrantasi (Malaysia-Indonesia), saya ingat lagi, tahun 1964. Pemimpin-pemimpin parti apa juga fahaman, bersatu. Walaupun ada parti pembangkang digunakan sebagai alat, sebagai barisan hadapan; tapi rata-rata rakyat Malaysia bersatu-padu masa itu,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata, betapa ‘trend’ menyebar fitnah terhadap Kerajaan yang ada, berleluasa sepertimana merujuk kepada ‘posting’ yang dimuat-naikkan ke dalam media sosial seperti ‘blog’,  ‘facebook’ dan ‘tweeter’.

BR1M RM250 BAGI YANG MUDA... Bagi golongan muda ini, BR1M RM250 yang diterima daripada Menteri Besar sendiri pada petang Isnin, 11 Mac di sini, tentu sesuatu yang amat dihargai lalu sokongan mereka kepada Kerajaan yang ada, akan kekal berterusan. 


KRITIKAL LWN HAKIKAT

“Kita bangga dengan masyarakat kita yang kita katakan terpelajar, ‘educated’. Betul, ‘Oh, kita semua orang terpelajar sekarang, kita ‘educated’. Janganlah orang cuba memutar-belitkan fakta’.

“Yang saya ingin ingatkan ialah, kita memang terdiri daripada golongan terpelajar, tidak ada lagi orang yang buta huruf. Tetapi saya merayu kalau boleh, kita gunakan akal fikiran iaitu kewarasan, yang didokongi oleh akal fikiran untuk kita memahami sesuatu keadaan.

“Kita bercakap tentang berfikiran secara kritikal. Kritikal ini (bermakna), memerhatikan sesuatu perkara dengan banyak sudut, mengkaji buruk-baik, pro-kontra; tapi pada ketika yang sama, jangan kita menafikan kenyataan, hakikat.

“Kita mesti menggunakan akal yang rasional untuk kita imbangi fikiran yang kritikal tadi,” katanya, seterusnya menegaskan betapa, “Satu kenyataan yang palsu tidak akan menjadi betul semata-mata kerana ramai orang menyokong”.

Beliau seterusnya menyatakan persetujuannya betapa dalam zaman globalisasi sekarang, kepimpinan Kerajaan yang ada termasuk di peringkat persekutuan, seharusnya bersikap terbuka dan boleh ditegur kelemahan dan kesilapannya.

MELAYANI ADUAN RAKYAT SUNGGUHPUN BERADA DI MEJA MAKAN... Jasa disumbang tak kira tempat mahupun masa. 

Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melayani aduan kakak ini sungguhpun masih berada di meja makan, belumpun sudah menjamah makanan yang dihidangkan. Sedia membantu di belakang beliau ialah pegawai serta pembantunya. 
  

KEPIMPINAN PM SANGAT TERBUKA

“Dan, kalau kita lihat kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak sekarang ini, Perdana Menteri, sangat-sangat terbuka… Orang boleh kata macam-macampun tak ada hal lagi. Orang boleh menyebarkan fitnah tak ada hal lagi.

“Kita harus ingat, dalam keterbukaan itu, jangan (sampai) ia menjejaskan perpaduan, keamanan (negara, seterusnya kesejahteraan rakyat), itu yang penting,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Antara yang turut hadir ialah Penghulu, Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad; serta Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor. 

TEMPAT BERTANDANG, TETAP DIKENANG... Inilah kedai makan di Rancangan Tanah Felda Chemomoi yang sering ditandang oleh  Dato' Sri DiRaja Adnan apabila sahaja melawati kawasan ini sejak menjadi wakil rakyat biasa lagi (BN - Pelangai). 

Pada kunjungan luar-jadualnya ke kadai makan ini petang Isnin, 11 Mac lepas, kebetulan pemilik kedai sedang hendak menyiapkan dinding batu pada kedainya, lalu menyilakan wakil rakyat mereka ini melakukan kerja 'ikat-bata' yang beliau tanpa ragu-ragu melakukannya.     

MENCUBA ACARA BOLING KELAPA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang membuat balingannya selepas hadir sebentar pada Majlis Santai Bersama Pemimpin anjuran Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Rancangan Tanah Felda Chemomoi. – Khabar





Sunday, 10 March 2013

"Kita dah ada enam (6) Perdana Menteri cuma kita takut, jangan ada pula enam (6) jahanam," kata pelakon veteran, Dato' Aziz Satar.


“Kalau adapun,” katanya tegas, “kita jahanamkan terus!”

SANTAI MENTERI BESAR BERSAMA ARTIS VETERAN KITA... Selain Dato' Aziz, Encik Hamid Gurkha serta artis-artis veteran lain; ialah Dato' Shafik Fauzan (berdiri, dua dari kiri). 


LORONG SUNGAI ISAP 53, PERKAMPUNGAN SUNGAI ISAP, KUANTAN – Pelakon veteran Dato’ Aziz Satar mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap individu seperti ‘enam (6) jahanam’, yang boleh membawa kesan buruk kepada negara.

“Kita dah ada enam (6) Perdana Menteri, cuma kita takut, jangan ada pula enam (6) jahanam. P.Ramlee dah buat (filem berjudul) ‘Enam Jahanam’. Mudah-mudahan tak adalah ya… Kalau adapun, kita jahanamkan terus!” katanya tegas.

Dato’ Aziz yang juga Pengerusi, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia berkata demikian ketika ditemubual oleh kru RTM Pahang yang sempat menemuinya pada majlis makan tengah hari ala-kampung, Ahad, 10 Mac, di sini.

Ini sementara menunggu kehadiran Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada majlis tersebut yang turut dihadiri kira-kira 40 artis veteran. Mereka berada di Kuantan sejak semalam, menyertai pelbagai program kemasyarakatan anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang.

Antara artis-artis tersebut ialah Dato’ Zulkifli Zain dan isteri, Datin Normala Omar; Mariani; Mimi Loma; Sofia Ibrahim; Halil Chik; Zalifah Ibrahim; Tawil; Zaibo; Wazata Zain; Hamid Gurkha; Rama; Mubarak Majid; S.Mariam; Maria Kamal; Rozita Rohaizad; S.Rohani; R.Ismail; dan Aspalela Abdullah.

'DI MATAMU, KULIHAT SINARAN'... Dato' Zulkifli sedang berduet dengan isteri, Datin Normala menyanyikan lagu nyanyian asal Hail Amir dan Uji Rashid, sambil Encik Hamid turut serta bersama-sama di atas pentas untuk menghiburkan. 

Akrabnya hubungan sesama artis-artis veteran ini khususnya pasangan suami-isteri Dato' Zulkifli-Datin Normala sepanjang majlis tengah hari Ahad ini, benar-benar 'real' serta mengujakan.     


‘BARISAN NASIONAL YANG BUAT… TAK ADA PARTI-PARTI LAIN YANG BUAT’

Dato’ Aziz mengakui betapa penjelajahan anggota-anggota persatuannya ke seluruh negara ialah untuk membantu Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN), bagi menerangkan kepada umum mengenai isu-isu semasa.

“Kita akan menjelajah ke seluruh tanahair untuk membantu Kerajaan, di mana kami berpendapat, sepanjang 55 tahun Merdeka, kita sendiri dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri, kemajuan-kemajuan yang ada di seluruh Malaysia ini siapa yang buat? Barisan Nasional yang buat… Tak ada parti-parti lain yang buat.

“Jadi, berkemungkinan juga (ekoran) kejayaan-kejayaan ini, banyak parti-parti lain yang iri hati atas kejayaan ini. Jadi, kalau kita sudah tahu keadaan seperti ini, buat apa kita nak alihkan Kerajaan. Buat apa kita nak pilih orang lain, ya,” katanya.

“Maka kita mengharaplah, semua penduduk Malaysia janganlah terpedaya dengan kata-kata orang yang tak bertanggungjawab. Kita sudah nampak segala-galanya elok ya. Kalau boleh bila sampai masanya nak mengundi, janganlah fikir yang lain-lain lagi. Tutup mata, pangkah Barisan (Nasional), habis,” kata Dato’ Aziz lagi penuh yakin.

Menurutnya, sepanjang negara Merdeka selama 55 tahun dan pula mempunyai enam Perdana Menteri dan pula UMNO sudah berusia 66 tahun, “Angka enam dah kawin. Angka limapun dah kawin.

'PAK AZIZ' DITEMUBUAL MEDIA... 


‘TAKKAN KITA LUAKAN JASA…’

“Bila sudah bercantum antara angka ini, apa tidaknya kita orang Islam dan orang Melayu sebenarnya, kita bersatu balik seperti angka lima (dan enam) yang sudah bercantum. InsyaAllah, dalam masa yang singkat ini, kemungkinan orang Melayu akan bersatu balik,” katanya.  

Kepada soalan tentang kecenderungan segelintir artis-artis muda mutakhir ini yang lebih gemar menyertai parti-parti pembangkang katanya, mereka seharusnya memandang ke belakang sambil menghargai jasa yang telah Kerajaan BN laksanakan selama ini.

“(Dalam pada) kita pandang ke depan, kita (seharusnya juga) pandang ke belakang. Jadi, orang (Kerajaan BN) sudah berjasa kepada kita, takkan kita lupakan jasa dia orang (BN)… Umpama bapak dan mak kita yang sudah berkorban apa sahaja, kita nak lupakan jasa dia orang?” tanya kembali Dato’ Aziz.  

Menurutnya, enam Perdana Menteri kita sudah berkorban serta banyak berjasa kepada negara dan rakyatnya, yang tidak mungkin terbalas maka setidak-tidaknya, rakyat perlu membantu Kerajaan yang ada.

“Ini cogankata cukup baik sekali. Setiap rakyat kena berkorban apa saja. Sebab kita ini ibarat pembantu kepada Kerajaan. Kalau tak ada rakyat, tak ada Kerajaan; jadi sama-sama kita membantu,” katanya lagi.

Selain artis-artis serta juga penduduk setempat pelbagai peringkat umur bukan setakat yang tua sahaja; yang turut hadir ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif; dan, Pengarah, JASA Pahang, Encik Yusof  Jamaludin. – Khabar 

Saturday, 9 March 2013

Agenda terancang pembangkang untuk buruk-burukkan Perdana Menteri, bagi jatuhkan Kerajaan, kata Dato' Sri DiRaja Adnan


… lalu beliau berharap rakyat faham dan tidak mempercayai fitnah terhadap Perdana Menteri

TETAP 'ISTIQAMAH' DENGAN PENDIRIANNYA...  


SEKOLAH MENENGAH AGAMA AL-KHAIRIAH, TEMERLOH – “Ini adalah agenda terancang pembangkang untuk memburuk-burukkan peribadi YAB Perdana Menteri dengan tujuan untuk menjatuhkan Kerajaan, itu sahaja, tak lain tak bukan”.

Inilah kata-kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, merujuk kepada pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak sejak akhir-akhir ini.

Yang terbaharu ialah mengenai kejadian pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah oleh juak-juak yang didakwa mewakili Kesultanan Sulu di Filipina; dan yang lebih terbaharu ialah dakwaan pembabitan pegawai Perdana Menteri dalam isu kejadian liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.

“Saya berharap supaya rakyat jangan percaya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditemui wartawan pada majlis pagi Sabtu, 9 Mac di sini dan ditanyakan mengenai dakwaan berkenaan oleh bapa Saiful, Encik Azlan Lazim pada pagi semalam, Jumaat, 8 Mac.

“Dengar cakap Saiful sudahlah,” katanya lagi, merujuk pula kepada kenyataan akhbar Saiful yang dikeluarkan pada petang Jumaat itu juga sebagai menafikan apa yang telah diperkatakan oleh ayahnya, pada sebelah pagi.

PROPAGANDA, ‘TWISTED LOGIC’ DAN ‘DISINFORMATION’ PEMBANGKANG

Sekarang menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, ada usaha terancang oleh pihak pembangkang untk memburuk-burukkan Perdana Menteri sementelah pula pilihanraya umum semakin hampir.

“Dan mereka ini cuba menggugat sebab pada pandangan mereka – dengan propaganda, dengan ‘twisted logic’ (putar-belit) mereka dan dengan ‘disinformation’ (maklumat yang sengaja disalah-maklumkan) mereka buat ini, mereka anggapkan rakyat akan terpesong.

“Rakyat sebenarnya tahu (tentang usaha-usaha negatif pembangkang ini),” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Ini adalah gerakan  yang terancang, yang dibuat secara bersiri untuk memburuk-burukkan, memfitnahkan YAB Perdana Menteri. Sebab, tiba-tiba, tak semena-mena, berlaku peristwa di Lahad Datu… Kita tak mahu ulas lanjutlah, soal keselamatan sebagainya. Dan, Perdana Menteri berjaya mengatasi masalah ini, dapat menangani dengan baik.

“Apa cara (lagi untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri)? Oleh sebab mereka gagal di Lahad Datu itu, dia (pembangkang) ubah isu (maka timbul) isu ayah Saiful pula. Ia akan begitulah seterusnya… satu, satu,” katanya lagi.

REKAAN DAN FITNAH PEMBANGKANG SEMATA-MATA

“Apa yang telah berlaku ekoran dari kenyataan ayah Saiful ini tidak lain dan tidak bukan ialah gerakan terancang oleh pihak pembangkang dan golongan yang bersekongkol dengan mereka, untuk menyerang dengan memfitnah YAB Perdana Menteri secara peribadi.

“Sedangkan, ini hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata,” tegas beliau. – Khabar  


Lagi geran 'one-off' RM500 kepada pelajar lanjut pelajaran dari sijil/diploma kepada ijazah; RM1,000 pula bagi ke peringkat sarjana/PhD, bermula tahun ini - Menteri Besar

… dengan kira-kira RM16 juta Yayasan Pahang (YP) keluarkan tahun lepas (2012) sahaja untuk pemberian geran ‘one-off’ ini, ia dijangka meningkat berlipat kali ganda ekoran pengumuman terbaharu ini.

HADIAH BUAT PELAJAR CEMERLANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada pelajar terlibat diperhatikan oleh Dato' Mohd Sharkar dan Syed Hamid di kanan dan kirinya. 

Yang turut menariknya majlis ini ialah paparan hubungan mesra dan profesional dalam kalangan kepimpinan negeri serta wakil rakyat termasuk dari pembangkang seperti Syed Hamid. 

Dan beliau (Syed Hamid) pula dalam ucapannya sebelum Dato' Sri DiRaja Adnan, telah menyingkap tentang perkenalannya dengan Menteri Besar sejak sama-sama bergiat aktif dalam pertubuhan Belia 4B lagi lalu disebutnya, "(Tercabut) nyawa dari badan sahaja yang (boleh) pisahkan kami berdua". 


SEKOLAH MENENGAH AGAMA AL-KHAIRIAH, TEMERLOH – Bermula tahun 2013 ini, pelajar-pelajar di insitusi pengajian tinggi (IPT) akan menikmati faedah tambahan dalam bentuk penerimaan geran ‘one-off’ RM500 kali kedua.

Jika sejak pengenalannya pada tahun 2000 hingga tahun lepas (2012), mereka menerima sekali sahaja geran itu semasa hendak memasuki IPT kali pertama sama ada peringkat sijil, diploma mahupun ijazah, dan tidak berhak untuknya apabila melanjutkan pengajian lebih tinggi selepas itu;

Tetapi kini, mereka turut berpeluang menikmatinya kali kedua apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi – daripada sijil/diploma kepada ijazah; dan, daripada ijazah kepada sarjana dan kedoktoran (PhD).

Malah, mereka yang akan melanjutkan pengajian hingga ke tahap sarjana dan PhD, akan diberikan geran bernilai lebih, yakni RM1,000!

“Sejak tahun 2000, Pahang berikan ‘one-off grant’, makna sekali beri sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang dapat masuk IPT. Dan kalau dia dapat RM500 semasa dia nak buat diploma, dia nak buat ijazah esok tak ada dah (dapat lagi RM500). Sekali sahaja.

SENTUHAN KASIH DAN MESRA MENTERI BESAR... Seorang daripada penerima hadiah kecemerlangan diberi kata-kata semangat oleh Menteri Besar. 


BERMULA DENGAN CUMA RM4 JUTA

“Tapi sekarang ni, kita beri dua (2) kali. Kalau dia buat sijil/diploma, sekali kita bagi RM500, tiba-tiba dia tamat pelajaran esok (peringkat diploma), (dia) nak buat (peringkat) ijazah pula, (maka) kita bagi lagi RM500 ‘one-off’ untuk beli alat-alat keperluan sebagainya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian kepada wartawan yang menemuinya bagi mendapatkan penjelasan kepada pengumuman yang dibuat mengenai geran ‘one-off’ itu dalam ucapan 32-minitnya ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar 2012 dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) ke-29 sekolah menengah agama ini pada pagi Sabtu, 9 Mac, di sini.

“Maknanya, ada peningkatanlah (dalam jumlah penerima serta nilai peruntukan bagi pemberian geran ‘one-off’ ini). Ini tak termasuklah pinjaman dan lain-lain – Biasiswa Sekolah Rendah, (Biasiswa) Sekolah Menengah (yang telah dan akan terus diberikan),” katanya yang juga Pengerusi YP.  

Semasa awal pengenalan pemberian geran tersebut pada tahun 2000 katanya, YP hanya membelanjakan RM4 juta tetapi pada tahun lepas (2012) sahaja, telah meningkat kepada hampir RM16 juta.

“Dan kita tak sibuk, kita tak gaduh (sama ada) kita ada duit ka. Dan kita tak komplen kalau kita tak ada duit. Tapi… ada tak ada duit, kita boleh bagi. Makna, kalau boleh beri tu, ada duitlah…,” katanya lagi.  

KHALAYAK YANG HADIR DALAM KALANGAN IBUBAPA PELAJAR... 


TARIF AIR BUKAN SAHAJA TERENDAH, MALAH TAK DISEMAK SEMULA SUDAH LEBIH 31 TAHUN

Menurut maklumat yang YP sediakan, dalam tempoh 13 tahun antara 2000 dan 2012, kira-kira RM60 juta telah dibelanjakan bagi pemberian geran ‘one-off’ tersebut melibatkan pelajar kira-kira 120,000 orang!

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan mengenai subsidi yang terus Kerajaan Negeri beri bagi memastikan pengguna air di negeri ini dapat menikmati pembekalan air dirawat pada kadar yang kekal rendah.

“Tarif air (kita) tak naik sejak 1982, tak pernah naik air ini,” katanya dan menambah kata betapa ekoran itulah juga, Kerajaan Negeri berbelanja kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayainya (subsidi tersebut).

Yang oleh kerana itulah juga maka, bagi setiap RM1 bil yang harus dibayar oleh pengguna di negeri ini, 60 sen daripadanya sebenarnya dibayar oleh Kerajaan Negeri (oleh sebab adanya subsidi) lalu pengguna hanya membayar 40 sen sahaja.  

Semakan dengan Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) juga mendapati betapa, bukan sahaja tarif tersebut tidak disemak-semula sudah lebih tiga (3) dekad atau 31 tahun (sejak 1982), malah Pahang ialah antara tiga (3) negeri yang mengenakan kadar paling rendah –
cuma kira-kira 41 sen bagi setiap meter padu (untuk kegunaan 20 meter pertama).

BAHASA INGGERIS TETAP TIDAK DIABAIKAN... Ini sepertimana terpampang pada satu sudut dinding dalam dewan di sekolah agama ini. 


KERAJAAN NEGERI MASIH SUMBANG RM50 JUTA TAMPUNG KOS OPERASI PAIP

(Sungguhpun Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang diperbadankan lalu wujudlah PAIP sejak Rabu, 1 Februari 2012, pada peringkat permulaan ini bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih perlu menyumbang kira-kira RM50 juta setahun untuk menampung kos operasi PAIP).  

Yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu di sekolah yang mempunyai 1,110 pelajar dengan 79 guru dan 32 kelas ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga wakil rakyat (BN – Lanchang);

Yang Dipertua, PIBG sekolah ini, Syed Hamid Syed Mohd yang juga wakil rakyat pembangkang (PAS – Semantan); Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Tarif Abdul Rahman; serta, Pengetua sekolah, Encik Mohd Nor Abdul Rahman. – Khabar