Friday 15 March 2013

Jangan cuba-cuba!!!


… tiga (3) perkara yang menurut Menteri Besar, tak boleh dicuba-cuba, termasuklah cuba-cuba untuk menukar Kerajaan yang ada, pimpinan Barisan Nasional.

ANAK-ANAK MUDA KEMASUL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan golongan belia Felda Kemasul ini sejurus berakhirnya majlis di sini, petang Jumaat itu. 


DEWAN ORANGRAMAI, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak ‘cuba-cuba’ menukar Kerajaan yang ada, yang telah memberikan perkhdimatan yang baik selama ini.

“Jangan cuba (cuba untuk menukarkan Kerajaan yang ada), nanti esok merana,” katanya yang juga wakil rakyat kawasan ini (BN - Pelangai), sebagai menjawab soalan wartawan pada persidangaan media sempena Majlis Mesra Kasih Warga DUN Pelangai Bersama Pemimpin petang Jumaat, 15 Mac di sini.

Mengulas lanjut katanya, ada tiga (3) perkara yang tidak boleh dicuba-cuba iaitu cuba-cuba untuk menghisap dadah yang akhirnya menyebabkan ketagihan, cuba-cuba hendak kahwin kemudian tidak jadi, dan, cuba-cuba untuk menukar Kerajaan yang ada.

“Kita telah lihat banyak tempat, saya tak sebut negara, tak payahlah… sama ada hasil daripada ‘Arab Spring’, ataupun sebelum ini di Jepun, di India, di Thailand; Kerajaan bertukar tapi akhir-akhirnya balik ke Kerajaan yang asal.

“Kalau mereka telah balik ke Kerajaan asal, kenapa kita yang ada Kerajaan asal ini, perlu tukar dengan Kerajaan lain? Jangan cuba-cuba, nanti kata ‘Ha, kita nak tengok mungkin yang ini (selain Kerajaan yang ada pimpinan Barisan Nasional) lebih baik’, jangan! Jangan cuba, nanti esok merana,” tegasnya.

BUAL-BUAL MESRA, DI PONDOK BICARA... Dengan bersahaja, Dato' Sri DiRaja Adnan singgah sambil berbual-bual dengan penduduk setempat di bawah pondok yang dinamakan sedemikian, sempena kehadiran buat julung-julung kalinya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke rancangan tanah ini pada Rabu, 5 Disember 2012 sempena Majlis Bicara Tokoh. 

Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Tengku Dato' Zulkifli (dua dari kiri, sebahagian terlindung tiang) serta Encik Shuib (bersongkok, dua dari kanan). 
   

JENAZAH DIKAPAN DENGAN TIKAR MENGKUANG SEMASA ZAMAN JEPUN

Beliau seterusnya menyingkap peristiwa yang beliau sendiri tempuhi ketika masih kecil terutamanya semasa ura-ura kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, bagi menggantikan pemerintahan Kerajaan Inggeris.

“… arwah nenek saya bercerita, sebelum kedatangan Jepun, tali barut-tali barut yang terdiri daripada orang-orang di Tanah Melayu pada masa itu – orang Melayu, orang Cina; menyatakan, ‘Mari kita sokong Jepun, halau British keluar dari Tanah Melayu’.

“(Kata tali barut-tali barut itu) pakaian (akan menjadi) murah. Makanan mewah. Akhir-akhirnya bila Jepun datang, pakaian tidak ada, makanan akhirnya ubi kayu. Orang Melayu, orang Islam yang meninggal duniapun, bukan dikapan dengan kain kapan, (tetapi) dikapankan dengan tikar mengkuang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Jangan cuba-cuba. Nak cakap susah… jangan cuba-cuba benda ni!” tegasnya. 

Kalaupun tidak berpuas hati dengan Kerajaan yang ada, perasaan tersebut serta usaha untuk membetulkan perkara yang menjadi ketidak puasan hati itu katanya, hendaklah dilakukan dari dalam Kerajaan sendiri.

SIAP-SIAGA... Inilah bilik gerakan UMNO cawangan Felda Kemasul yang turut sempat dikunjungi oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, bagi meninjau kesiap-siagaannya menjelang pilihanraya umum yang semakin tiba. 


PEPATAH INGGERIS YANG DIFAHAMI MAKSUD TETAPI SENGAJA DIPUTAR-BELITKAN PEMBANGKANG

“Cuba kita tengok sekarang ni, Dato’ Sri Najib,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi; “Apakah yang rakyat suarakan tidak puas hati yang Dato’ Sri Najib tidak buat? Lapan (8) tuntutan mengenai (penambaikan sistem) pilihanraya, tujuh (7) telahpun dibuat, satu (1) sahaja belum lagi. Maknanya, kita (Kerajaan yang ada) ikut…

“Jadi kalau misalannya Kerajaan yang ada boleh mengikut cakap kita (rakyat) maka, apa salah kita kekalkan (Kerajaan yang ada).

“Saya lebih suka ada seorang ketua yang boleh mendengar cakap pengikut daripada saya tukar ketua itu yang saya akan dapat ketua yang baharu, yang belum tentu lagi buruk-baiknya,” katanya sambil menyebut terjemahan pepatah Inggeris yang asalnya – “Better the devil that you know, than the angel that you don’t”.

Perdana Menteri sendiri menurutnya, bekerja siang malam dengan berusaha merangkulkan semua golongan termasuk yang muda dalam kalangan warga ‘netizens’ seperti ‘bloggers’, ‘facebookers’ dan rakan ‘tweeters’.

“Jadi, janganlah kita ikutkan hawa nafsu. Saya takut esok, kita ingat nak makan tebu, tebang-tebang terkena ke teberau. Teberau macam tebu juga, tapi tak boleh makan, keras, air tak ada.

PRASARANA KESIHATAN DI DUN PELANGAI... Pembangkang mungkin mahu sengaja menafi atau menidakkan, namun hakikatnya, pembangunan terus berlaku di Dewan Undangan Negeri Pelangai termasuk di Chemomoi ini, dengan wujudnya unsur-unsur fizikal seperti Klinik Kesihatan Chemomoi ini. 

Foto ini dirakam tatkala penulis melepasi sempadan Rancangan Tanah Felda Kemasul, memasuki dan melalui pula Rancangan Tanah Felda Chemomoi untuk perjalanan pulang ke Kuantan pada petang Jumaat itu.   


DARIPADA AHLI NGO, AKHIRNYA POLITIK JUGA

“Gajah sukalah, sebab gajah ingat tebu tu teberau, tapi dia makan (sebab) gigi gajah besar, tak apalah. Yang kita ni, kita ingat tebu tiba-tiba teberau, tak boleh nak makan lagi dah,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai Pengerusi, Himpunan Hijau, Encik Wong Tuck – seorang yang kuat membantah projek kilang pemprosesan tanah jarang Lynas malah pernah mengugut untuk membakarnya; yang telah dicalonkan untuk bertanding atas tiket parti pembangkang DAP di parlimen Bentong pada pilihanraya umum kali ini.   

Encik Wong Tuck katanya lagi, memang asalnya dari Bentong khususnya Telemong Estate, yang kemudian ketika berumur 20 tahun, telah dihantar oleh ayahnya berpindah ke Sabah.

“Dan sekarang, dia hendak balik pula ke Bentong, ha eloklah…,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Tapi insyaAllah, kalau calon Barisan (Nasional) tu Dato’ Sri Liow (Tiong Lai, ahli parlimen Bentong sekarang)), menang kita. Pengundi Melayu rata-rata saya ingat dalam 80 peratus menyokong Barisan Nasional, insyaAllah. Dan pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir sama banyak.

AKHIRNYA SELUANG KE TEPI PANTAI JUGA

“Jadi Wong Tuck ni, ibarat kata, ‘sirih pulang ke gagang’lah. Ha biarlah. Ibarat kata, seluang ni, dia dulu pergi ke tengah (laut) akhirnya ke tepi (pantai) juga,” katanya lagi sambil mengakui betapa dalam kalangan kepimpinan Himpunan Hijau sekarangpun sudah menggesa Wong Tuck meletak jawatan ekoran pencalonannya itu.

Antara yang turut hadir pada Majlis Mesra Kasih Warga DUN Pelangai Bersama Pemimpin ini ialah Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Pahang (DPMP), Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad;

Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad; Pengurus, Rancangan Tanah Felda Kemasul ini, Encik Ahmad Dali Saleh; dan tuanrumah iaitu Ketua Peneroka yang juga Ketua UMNO cawangan rancangan tanah ini, Encik Shuib Chin. – Khabar