Saturday 9 March 2013

Lagi geran 'one-off' RM500 kepada pelajar lanjut pelajaran dari sijil/diploma kepada ijazah; RM1,000 pula bagi ke peringkat sarjana/PhD, bermula tahun ini - Menteri Besar

… dengan kira-kira RM16 juta Yayasan Pahang (YP) keluarkan tahun lepas (2012) sahaja untuk pemberian geran ‘one-off’ ini, ia dijangka meningkat berlipat kali ganda ekoran pengumuman terbaharu ini.

HADIAH BUAT PELAJAR CEMERLANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada pelajar terlibat diperhatikan oleh Dato' Mohd Sharkar dan Syed Hamid di kanan dan kirinya. 

Yang turut menariknya majlis ini ialah paparan hubungan mesra dan profesional dalam kalangan kepimpinan negeri serta wakil rakyat termasuk dari pembangkang seperti Syed Hamid. 

Dan beliau (Syed Hamid) pula dalam ucapannya sebelum Dato' Sri DiRaja Adnan, telah menyingkap tentang perkenalannya dengan Menteri Besar sejak sama-sama bergiat aktif dalam pertubuhan Belia 4B lagi lalu disebutnya, "(Tercabut) nyawa dari badan sahaja yang (boleh) pisahkan kami berdua". 


SEKOLAH MENENGAH AGAMA AL-KHAIRIAH, TEMERLOH – Bermula tahun 2013 ini, pelajar-pelajar di insitusi pengajian tinggi (IPT) akan menikmati faedah tambahan dalam bentuk penerimaan geran ‘one-off’ RM500 kali kedua.

Jika sejak pengenalannya pada tahun 2000 hingga tahun lepas (2012), mereka menerima sekali sahaja geran itu semasa hendak memasuki IPT kali pertama sama ada peringkat sijil, diploma mahupun ijazah, dan tidak berhak untuknya apabila melanjutkan pengajian lebih tinggi selepas itu;

Tetapi kini, mereka turut berpeluang menikmatinya kali kedua apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi – daripada sijil/diploma kepada ijazah; dan, daripada ijazah kepada sarjana dan kedoktoran (PhD).

Malah, mereka yang akan melanjutkan pengajian hingga ke tahap sarjana dan PhD, akan diberikan geran bernilai lebih, yakni RM1,000!

“Sejak tahun 2000, Pahang berikan ‘one-off grant’, makna sekali beri sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang dapat masuk IPT. Dan kalau dia dapat RM500 semasa dia nak buat diploma, dia nak buat ijazah esok tak ada dah (dapat lagi RM500). Sekali sahaja.

SENTUHAN KASIH DAN MESRA MENTERI BESAR... Seorang daripada penerima hadiah kecemerlangan diberi kata-kata semangat oleh Menteri Besar. 


BERMULA DENGAN CUMA RM4 JUTA

“Tapi sekarang ni, kita beri dua (2) kali. Kalau dia buat sijil/diploma, sekali kita bagi RM500, tiba-tiba dia tamat pelajaran esok (peringkat diploma), (dia) nak buat (peringkat) ijazah pula, (maka) kita bagi lagi RM500 ‘one-off’ untuk beli alat-alat keperluan sebagainya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian kepada wartawan yang menemuinya bagi mendapatkan penjelasan kepada pengumuman yang dibuat mengenai geran ‘one-off’ itu dalam ucapan 32-minitnya ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar 2012 dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) ke-29 sekolah menengah agama ini pada pagi Sabtu, 9 Mac, di sini.

“Maknanya, ada peningkatanlah (dalam jumlah penerima serta nilai peruntukan bagi pemberian geran ‘one-off’ ini). Ini tak termasuklah pinjaman dan lain-lain – Biasiswa Sekolah Rendah, (Biasiswa) Sekolah Menengah (yang telah dan akan terus diberikan),” katanya yang juga Pengerusi YP.  

Semasa awal pengenalan pemberian geran tersebut pada tahun 2000 katanya, YP hanya membelanjakan RM4 juta tetapi pada tahun lepas (2012) sahaja, telah meningkat kepada hampir RM16 juta.

“Dan kita tak sibuk, kita tak gaduh (sama ada) kita ada duit ka. Dan kita tak komplen kalau kita tak ada duit. Tapi… ada tak ada duit, kita boleh bagi. Makna, kalau boleh beri tu, ada duitlah…,” katanya lagi.  

KHALAYAK YANG HADIR DALAM KALANGAN IBUBAPA PELAJAR... 


TARIF AIR BUKAN SAHAJA TERENDAH, MALAH TAK DISEMAK SEMULA SUDAH LEBIH 31 TAHUN

Menurut maklumat yang YP sediakan, dalam tempoh 13 tahun antara 2000 dan 2012, kira-kira RM60 juta telah dibelanjakan bagi pemberian geran ‘one-off’ tersebut melibatkan pelajar kira-kira 120,000 orang!

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan mengenai subsidi yang terus Kerajaan Negeri beri bagi memastikan pengguna air di negeri ini dapat menikmati pembekalan air dirawat pada kadar yang kekal rendah.

“Tarif air (kita) tak naik sejak 1982, tak pernah naik air ini,” katanya dan menambah kata betapa ekoran itulah juga, Kerajaan Negeri berbelanja kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayainya (subsidi tersebut).

Yang oleh kerana itulah juga maka, bagi setiap RM1 bil yang harus dibayar oleh pengguna di negeri ini, 60 sen daripadanya sebenarnya dibayar oleh Kerajaan Negeri (oleh sebab adanya subsidi) lalu pengguna hanya membayar 40 sen sahaja.  

Semakan dengan Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) juga mendapati betapa, bukan sahaja tarif tersebut tidak disemak-semula sudah lebih tiga (3) dekad atau 31 tahun (sejak 1982), malah Pahang ialah antara tiga (3) negeri yang mengenakan kadar paling rendah –
cuma kira-kira 41 sen bagi setiap meter padu (untuk kegunaan 20 meter pertama).

BAHASA INGGERIS TETAP TIDAK DIABAIKAN... Ini sepertimana terpampang pada satu sudut dinding dalam dewan di sekolah agama ini. 


KERAJAAN NEGERI MASIH SUMBANG RM50 JUTA TAMPUNG KOS OPERASI PAIP

(Sungguhpun Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang diperbadankan lalu wujudlah PAIP sejak Rabu, 1 Februari 2012, pada peringkat permulaan ini bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih perlu menyumbang kira-kira RM50 juta setahun untuk menampung kos operasi PAIP).  

Yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu di sekolah yang mempunyai 1,110 pelajar dengan 79 guru dan 32 kelas ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga wakil rakyat (BN – Lanchang);

Yang Dipertua, PIBG sekolah ini, Syed Hamid Syed Mohd yang juga wakil rakyat pembangkang (PAS – Semantan); Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Tarif Abdul Rahman; serta, Pengetua sekolah, Encik Mohd Nor Abdul Rahman. – Khabar