Sunday 23 September 2012

Batalkan perjanjian pembekalan air mentah Pahang-Selangor?


… ekoran dolak-dalik Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat sekarang mengenai projek loji rawatan air Langat 2 – satu lagi komponen lanjutan kepada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)    

PENGGERUDIAN... Ini merupakan sebahagian daripada kerja-kerja yang dilakukan ke arah menyempurnakan PPAMPS. Menerusi terowong bawah tanah inilah akan disalur air mentah kira-kira 1.893 juta meter padu sehari untuk diproses di loji rawatan air Langat 2. 


DATARAN BENTONG, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membayang kemungkinan Kerajaan Negeri membatalkan perjanjian pembekalan air mentah ke Selangor ekoran karenah Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu dalam isu pembinaan loji rawatan air Langat 2, di Hulu Langat.

“Saya akan dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang (negeri). Kalau perlu batal, (kita akan) batal(kan). Tak apalah, dia tak nak (pembekalan air mentah berkenaan).

“Tapi esok (atau pada hari-hari kemudian), kalau dia (Kerajaan Selangor) nak balik (pembekalan air mentah tersebut), tak boleh 10 sen dah. Harga lainlah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian pada persidangan media selepas merasmikan Mini Maha dan Jelajah Kesihatan Daerah Bentong pada pagi Ahad, 23 September di sini. Beliau diminta mengulas perkara sama yang turut disentuhnya dalam ucapan 23-minitnya sebelum itu.     

Menurutnya, beliau telahpun menanda tangani perjanjian tentang pembekalan air mentah tersebut dengan Kerajaan Selangor (pada petang Khamis, 22 November 2007) yang di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) oleh Menteri Besar Dato’ Sri Khir Toyo ketika itu.

MEMPROMOSIKAN PROGRAM MINI MAHA DAN JELAJAH KESIHATAN DAERAH BENTONG... 


‘DIA TAK NAK, RAKYAT DIA MARAH KE DIA’

“Saya ‘sign’ (perjanjian bagi membekalkan air mentah 1.893 juta meter padu sehari dengan harga 10 sen semeter padu) dengan Dato’ Sri Khir Toyo ketika itu. Tapi Kerajaan Selangor sekarang tak ‘honour agreement’ tu…

“Dia tak nak, biar kita tengok. Dia tak nak, rakyat dia marah ke (terhadap) dia… Tapi yang pastinya, 2012, 2013, Selangor, (Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur (dan Putrajaya)  kurang air, confirm,” katanya.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan betapa kadar 10 sen semeter padu tersebut tercapai sebagai jalan tengah setelah Kerajaan Selangor memohon kadar cuma lima (5) sen semeter padu manakala Kerajaan Pahang mahukan 15 sen semeter padu.

Kemudian bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat mengambil-alih Kerajaan Selangor dan sejak itu, projek berkaitan pembekalan air ini khususnya mengenai pembinaan loji rawatan air Langat 2 telah dipolitikkan.  

“Kalau ikut ‘agreement’ yang dibuat oleh Dato’ Sri Khir Toyo dengan saya, senang. Tapi semua dah dipolitikkan. Sebab mereka tidak faham apakah itu pentadbiran. Pentadbiran ini, (jika) Kerajaan bertukar tapi apa yang dibuat oleh Kerajaan patut berterusan.

BUAT PERJANJIAN BAHARU, KADAR BAHARU?

“Saya tengah tunggu sahaja reaksi dari Selangor. Kalau masih tidak ada apa-apa, kita akan batalkan perjanjian itu, kita akan buat perjanjian baharu,” katanya.

Yang turut hadir pada Mini Maha dan Jelajah Kesihatan Daerah Bentong ini ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Noh Omar dan Menteri Kesihatan yang juga ahli parlimen kawasa Bentong, Dato’ Sri Liow Tiong Lai. – Khabar   


MATA KE MATA;

*** “Saya akan dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang (negeri). Kalau perlu batal, (kita akan) batal(kan). Tak apalah, dia tak nak (pembekalan air mentah berkenaan).

“Tapi esok (atau pada hari-hari kemudian), kalau dia (Kerajaan Selangor) nak balik (pembekalan air mentah tersebut), tak boleh 10 sen dah. Harga lainlah”.

*** “Dia tak nak, biar kita tengok. Dia tak nak, rakyat dia marah ke (terhadap) dia… Tapi yang pastinya, 2012, 2013, Selangor, (Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur (dan Putrajaya)  kurang air, confirm”.

*** Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan betapa kadar 10 sen semeter padu tersebut tercapai sebagai jalan tengah setelah Kerajaan Selangor memohon kadar cuma lima (5) sen semeter padu manakala Kerajaan Pahang mahukan 15 sen semeter padu.

*** “Kalau ikut ‘agreement’ yang dibuat oleh Dato’ Sri Khir Toyo dengan saya, senang. Tapi semua dah dipolitikkan. Sebab mereka tidak faham apakah itu pentadbiran. Pentadbiran ini, (jika) Kerajaan bertukar tapi apa yang dibuat oleh Kerajaan patut berterusan”.