Wednesday 26 September 2012

Ihsan dan simpati Pahang yang tidak dihargai



... berkaitan dengan perjanjian pembekalan air mentah pada kadar rendah ke Selangor

SIMPAN AIR KE DALAM BALDI... Buat hadapi masa sukar


Oleh YOPE KEY-DARE

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Susu yang diberi, tuba yang dibalas! Inilah keadaannya merujuk kepada ihsan dan simpati Kerajaan Pahang kepada Kerajaan Selangor bagi membekal air mentah demi mengatasi krisis air di Lembah Kelang, tetapi diperlekehkan oleh Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu.

Antara perlekehan itu termasuklah kenyataan-kenyataan oleh pemimpin kerajaan PR tersebut mahupun daripada pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendokonginya, yang memperkecilkan-kecilkan hasrat murni Kerajaan Pahang ini.

Sudah tentulah, perlekehan yang terbesar ialah terhadap Kerajaan Persekutuan sendiri, dengan sikap berdolak-dalik kerajaan PR Selangor kepada cadangan membina Loji Rawatan Air Langat 2, di negeri itu.

Dan, cadangan pembinaan loji rawatan air ini merupakan lanjutan kepada usaha membekalkan air mentah melibatkan negeri ini dengan Selangor menerusi Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

Sejak mula lagi, penglibatan Kerajaan Pahang dalam PPAMPS ialah sekadar menjalankan tanggungjawab sosial serta atas dasar belas-kasihan, bagi membantu negeri berjiran, Selangor serta Lembah Kelang, yang bakal menghadapi krisis bekalan air dalam beberapa tahun sahaja lagi.   

ASALNYA, MINTA BEKAL 2.26 JUTA METER PADU

Sementelah pula, Pahang dengan begitu banyak lembangan sungai seperti lembangan-lembangan Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin; menyumbang air mentah sehingga kira-kira 12.661 juta meter sehari yang berkesudahan dengan aliran keluar ke Laut China Selatan di sebelah timurnya.

(Menurut kajian, keperluan penduduk Pahang sendiri untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050pun, ialah sekadar 1.888 juta meter padu sehari maka jumlah besar air mentah kira-kira 12.661 juta meter sehari  tersebut adalah lebih daripada memadai untuk diproses bagi menampung keperluan penduduk negeri ini).

Maka, apalah salahnya jika air mentah yang banyak ini disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti Selangor dan Lembah Kelang, yang turut meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Asalnya, Pahang diminta membekalkan sehingga 2.26 juta meter padu air mentah sehari, yang dengan itu memerlukan pembinaan empangan untuk kerja-kerja takungan bukan setakat sebuah tetapi dua (2) – sebuah di Raub dan sebuah lagi di Bentong.

Namun, atas faktor-faktor keselamatan dan alam sekitar, Kerajaan Pahang meminta jumlah itu dikurangkan dan dimuktamadkan kepada cuma 1.893 juta meter padu sehari lalu, daripada dua (2) empangan yang harus dibina diturunkan kepada satu sahaja di Klau, Raub dan ketinggian asal empangan ini juga direndahkan.

MENJUNJUNG TITAH PERINTAH KDYMM SULTAN PAHANG

Lanjutan kepada itu ialah perbincangan demi perbincangan khususnya pada peringkat pegawai, tentang kadar yang harus dikenakan oleh Kerajaan Pahang dan perlu dibayar oleh Kerajaan Selangor.

Dalam hal ini, Kerajaan Pahang terus dengan sikap ihsannya tetapi, turut akur kepada titah KDYMM Sultan Pahang sendiri yang dalam ucapan Baginda merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri pada 13 April 2007 menitahkan;

“Sungai merupakan sumber air yang penting untuk kehidupan manusia dan rakyat sekeliannya. Tambahan pula negeri Pahang akan membekalkan air mentah ke negeri Selangor.

“Dalam hubungan ini, Beta ingin menyeru kerajaan Beta supaya mengadakan rundingan secara serius dan teliti bagi memastikan ianya tidak berat sebelah dan supaya negeri dan rakyat tidak terbeban pada masa akan datang”.

Oleh sebab itulah, apabila Kerajaan Selangor yang ketika itu masih di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) mengemukakan cadangan untuk membeli air mentah tersebut  cuma pada kadar dua (2) sen semeter padu, Kerajaan Pahang terpaksa menolak.

TAK MAHU PENGGUNA/RAKYAT DIBEBANKAN

“Jadi, kami akan kenakan kadar cuma 10 sen (semeter padu) ke atas Selangor,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapannya menyentuh tentang pembekalan air mentah berkenaan, pada makan malam di Kuantan meraikan delegasi 14 duta dari Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) ke negara ini pada 26 Mac 2007.

“Kami tidak boleh kenakan kadar lebih tinggi kerana jika kami berbuat demikian, kenaan itu akan dialihkan kepada pengguna maka pengguna di Selangor dan (kedua-dua) Wilayah Persekutuan akan menanggung beban harga yang tinggi dalam bentuk, dikenakan tariff air yang lebih tinggi pula.

“Tetapi, kami akan cuba tegaskan pada mesyuarat esok bahawa kadar yang ditetapkan itu perlulah disemak-semula pada setiap lima (5) ke enam (6) tahun atau, menyemaknya semula secara berjadual pada dan apabila tiba masa yang difikirkan sesuai,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang keesokannya, 27 Mac, menghadiri mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Akhirnya, pada 22 November tahun yang sama (2007), termeterailah perjanjian bagi pembekalan/pembelian air mentah tersebut. Tetaplah sudah bahawa jumlah yang akan dibekalkan ialah 1.893 juta meter padu sehari pada kadar 10 sen semeter padu.

Kedua-dua menteri besar menyaksikan pemeteraian perjanjian ini yang diadakan di sebuah hotel lima bintang di Kuantan ini – Dato’ Sri DiRaja Adnan mewakili Pahang manakala Dato’ Sri Dr Mohd Khir Toyo mewakili Selangor.

APALAH SANGAT RM69 JUTA BERBANDING RM90 KUTIPAN SEKARANG

Dengan kadar 10 sen semeter padu, jangkaannya ialah Pahang akan menerima kira-kira RM69.094 juta setahun tetapi nilai inipun sebenarnya, tidaklah sebesar mana memandangkan kutipan Kerajaan Pahang daripada penjualan dan pembekalan air dirawat kepada penduduk dan industri di negeri ini selama inipun ialah kira-kira RM90 juta setahun.

Segala-galanya kelihatan berjalan lancar selepas itu hinggalah kepada pilihanraya umum pada Mac 2008, yang menyaksikan Kerajaan Selangor diambil-alih oleh PR daripada Barisan Nasional (BN).

Semasa peringkat awal pengambil-alihan Kerajaan Selangor oleh PR, wartawan ada bertanyakan kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan mengenai perjanjian November 2007 tersebut khususnya kini, Selangor diterajui oleh PR.

Bagaimanapun, beliau sekadar menjawab betapa Kerajaan Pahang pimpinan BN akan bersikap budiman lalu hendak terus akur dengan perjanjian yang menawarkan kadar 10 sen semeter padu yang rendah itu.

Tetapi kini, selepas kira-kira empat (4) tahun berlalu, dengan Kerajaan PR Selangor menunjukkan sikap berdolak-daliknya dengan Kerajaan Persekutuan berhubung dengan projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia telah turut mengecewakan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

KEKECEWAAN MENTERI BESAR

Apa tidaknya? Projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah lanjutan kepada PPAMPS. Kerajaan Pahang tiadapun masalah dalam menyumbang kepada kelancaran pelaksanaannya maka tentu mengecewakan apabila mendapati ia akan menjadi sia-sia hanya kerana projek Loji Rawatan Air Langat 2 menghadapi masalah pelaksanaan ekoran gelagat Kerajaan PR Selangor sekarang.

Lalu, kekecewaan itu dihamburkan buat pertama kalinya pada pagi Ahad, 23 September lepas dalam ucapan sempena Mini MAHA dan Jelajah Kesihatan Daerah Bentong yang turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi, BN Selangor.

“Saya akan dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang (Negeri). Kalau perlu batal, (kita akan) batal(kan). Tak apalah, dia tak nak (pembekalan air mentah berkenaan).

“Tapi esok (atau pada hari-hari kemudian), kalau dia (Kerajaan Selangor) nak balik (pembekalan air mentah tersebut), tak boleh 10 sen dah. Harga lainlah,” kata  Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media kemudiannya.

Dan kita amat memahami kenyataan yang lahir daripada pemimpin nombor satu kita itu, yang telah lama dibendungnya, yang hanya selepas kira-kira empat tahun diluahkannya pada majlis yang turut dihadiri oleh pemimpin kedua tertinggi BN Selangor tersebut. – Khabar


MATA KE MATA :

*** Sejak mula lagi, penglibatan Kerajaan Pahang dalam PPAMPS ialah sekadar menjalankan tanggungjawab sosial serta atas dasar belas-kasihan, bagi membantu negeri berjiran, Selangor serta Lembah Kelang, yang bakal menghadapi krisis bekalan air dalam beberapa tahun sahaja lagi.   

*** Asalnya, Pahang diminta membekalkan sehingga 2.26 juta meter padu air mentah sehari, yang dengan itu memerlukan pembinaan empangan untuk kerja-kerja takungan bukan setakat sebuah tetapi dua (2) – sebuah di Raub dan sebuah lagi di Bentong.

Namun, atas faktor-faktor keselamatan dan alam sekitar, Kerajaan Pahang meminta jumlah itu dikurangkan dan dimuktamadkan kepada cuma 1.893 juta meter padu sehari lalu, daripada dua (2) empangan yang harus dibina diturunkan kepada satu sahaja di Klau, Raub dan ketinggian asal empangan ini juga direndahkan.

*** “Sungai merupakan sumber air yang penting untuk kehidupan manusia dan rakyat sekeliannya. Tambahan pula negeri Pahang akan membekalkan air mentah ke negeri Selangor.

“Dalam hubungan ini, Beta ingin menyeru kerajaan Beta supaya mengadakan rundingan secara serius dan teliti bagi memastikan ianya tidak berat sebelah dan supaya negeri dan rakyat tidak terbeban pada masa akan datang”.

 *** Dengan kadar 10 sen semeter padu, jangkaannya ialah Pahang akan menerima kira-kira RM69.094 juta setahun tetapi nilai inipun sebenarnya, tidaklah sebesar mana memandangkan kutipan Kerajaan Pahang daripada penjualan dan pembekalan air dirawat kepada penduduk dan industri di negeri ini selama inipun ialah kira-kira RM90 juta setahun.